Translate

Senarai Blog Saya

Khamis, 3 Disember 2009

PAS Telah Membawa Aku Mengenali Islam.

Hidupku penuh dengan dosa-dosa yang tidak tertanggung oleh aku sebagai insan yang lemah. Kehidupanku penuh dengan onak dan duri, apakah Allah s.w.t. akan menerima taubat aku ini. Aku mula terlibat dengan dadah sejak tahun 1980.

Lokap polis adalah rumah kedua aku, mahkamah adalah pejabat aku. Aku sudah tiga kali menghuni penjara dan dua kali dihumbangkan kepusat pemulihan dadah serenti. Kehidupan aku seharian adalah memikirkan bagaimana untuk mencari bekalan dan kewangan untuk membeli dadah.

Dalam keadaan masyarakat hidup senang, perasaan cemburu sentiasa melingkari pemikiranku. Memang aku cemburu dengan masyarakat yang tidak seperti aku, ada keluarga, ada pekerjaan dan tidak perlu memikirkan tentang tabiat buruk aku.

Kerana bagi duniaku sehari-hari ialah memikirkan bagaimana untuk aku mendapat bekalan. Siang hari aku memikirkan bagaimana untuk aku mencari bekalan dan malam pula, sebelum tidur aku memikirkan pula bagaimana untuk aku mencari wang untuk membeli dadah.

Disini aku ingin nukilkan akan bagaimana dadah telah meletakkan aku sebagai sampah masyarakat. Setelah keluar daripada penjara kali ketiga pada tahun 1996 setelah dijatuhi hukuman penjara selama 6 tahun, aku mula mengenali PAS melalui insan yang Musafirlalu, iaitu En Said.

 Kalau solat tiada langsung didalam hati ini, apatah lagi dengan puasa dibulan Ramadham. Apakah itu semua perlu bagi aku, insan yang tak berguna ini. Satu sahaja yang aku tidak lakukan ialah mencuri walau pun aku seorang penagih. Walau pun sehari aku boleh dapat RM 70-RM100 untuk penagihan aku itu kerana aku akan jadi kaki cari barang yang mendapat upah dari usaha aku itu.


 Setiap kali keluar penjara atau pun pusat serenti, aku sentiasa cuba berubah tetapi masyarakat sentiasa memandang serong. Aku dipinggirkan kerana anggapan mereka tetap menganggap aku ini sampah masyarakat. Walau pun aku tidak melakukan jenayah baik mencuri atau menyamun atau mengajar anak-anak mereka mengikut jejak langkah aku.

Kerana itulah aku akan balik semula tabiat lama aku itu dan begitulah seterusnya aku keluar masuk penjara. Sehinggalah aku berjumpa dengan En. Said (Musafirlalu) yang memberi aku harapan. Bagi beliau, aku bukan sampah masyarakat, tetapi insan yang kurang bernasib baik.

Rupa-rupanya masih ada insan yang boleh menerima aku seadanya dan beliau tidak kekok berkawan dengan aku. Beliau banyak memberi tunjuk ajar kepada aku tentang kehidupan dan sikap jangan pedulikan apa orang kata.

Sememangnya aku ini insan jahil yang tidak mengetahu tentang Islam. Walaupun aku boleh solat dan menghafal beberapa suruh pendek tanpa mengetahu tajwid, yaitu aku tidak mengenali langsung abjad, apatah lagi dengan hukum-hukum bacaan seperti hukum Izhar, Ikhfa, Idgham, Iqlab.

Beliau mula mengubah pemikiranku dengan nilai-nilai Islam, dengan mengajar aku tentang agama yang telah lama aku tinggalkan. Beliau mengajar aku mengenal tajwid sehinggakan sampai sekarang aku sudah khatan  Al-Quran berbelas kali. Mengajar aku bersolat dengan betul tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan, malah beliau juga membantu aku serba sedikit kewangan.

Apabila aku betul-betul pulih daripada dadah, aku ada memohon sedikit bantuan dari pihak berkuasa untuk menjalankan sedikit perniagaan. Jangan kata nak membantu, bila tengok muka aku sahaja pun dah dihalau. Inikah sikap kerajaan dalam membantu rakyatnya sendiri seperti yang selalu dicanangkan, amat malang dan memalukan bila rakyat sendiri terpaksa minta sedekah dinegara sendiri.

Apakan daya, aku bukan anak orang kaya yang ada kuasa untuk diberi bantuan. Sudah 12 tahun aku buang tabiat penagihan dadah dan sampai sekarang aku tidak pernah menerima apa-apa bantuan atau pinjaman untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa aku pun boleh berjaya walau pun aku  bekas seorang penagih dadah.

Bagi aku yang sudah masak dengan lokap, penjara dan pusat serenti ingin menyatakan bahawa kesesakkan yang berlaku kepada ditempat-tempat tersebut adalah kerana kerajaan tidak mahu mengambil peduli persalah-persalah tersebut selepas dibebaskan. Dan tidak terkecuali juga sikap segelintir masyarakat yang sentiasa buruk sangka terhadap orang-orang seperti kami.

Sebenarnya banyak lagi cerita untuk diceritakan, tetapi aku bukan seorang yang pandai mengarang. Jika boleh aku ingin menulis bagaimana kerajaan tidak dapat menghapuskan dadah seperti yang kerajaan umumkan. Kalau umur panjang, akan aku cerita lagi jika Musafirlalu benarkan aku menulis dalam blog dia.

Tidak lupa untuk aku mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saudara Musafirlalu yang sentiasa memberi sokong kepada aku. Walau pun beliau tidak ingin namanya dikaitkan dengan cerita ini tetap aku tidak mengendahkannya, kerana beliau terlalu baik hati sangat. Sekian terima kasih dan jumpa lagi.

PS..... Jika anda ingin membantu saudara Mat (atas permintaannya agar nama beliau ditulis Mat sahaja). anda boleh salurkan bantuan anda A/C No. 0813-0000069-10-0.... Cimb Islamic... (Husnaida Agro), dan SMSkan sahaja bantuan anda ke No. 019-5721105 dengan hanya menulis Mat sahaja Ini kerana untuk memudahkan saya mengasingkan bantuan untuk Saudara Mat daripada sumbangan lain.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular