Translate

Senarai Blog Saya

Isnin, 27 Mei 2013

Kembali Ke Era Gelap Mahathir.

Ahmad Lutfi Othman

Tindakan Kementerian Dalam Negeri, melalui Unit Penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran merampas ketiga-tiga lidah rasmi PAS, KeADILan dan DAP, pada 23 Mei lalu, di seluruh negara, segera mengingatkan saya terhadap langkah sama bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, sejurus selepas BN dikejutkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum 1999.

(Harakah, Suara Keadilan dan Roket menjadi mangsa rampasan KDN baru-baru ini. Menurut pengedar Harakah di beberapa negeri, antaranya Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan, seawal jam 9 pagi, Khamis, ketika Harakah edisi Jumaat baru hendak diagihkan, penguatkuasa KDN bertindak pantas merampasnya. Difahamkan sebahagian besar Harakah itu masih belum dipamerkan untuk jualan. Lebih 4,000 naskhah Harakah dirampas walaupun angka rasmi dikeluarkan KDN hanya sekitar 1,000 sahaja).

Majoriti pengundi Melayu dalam PRU10 itu memberikan sokongan luar biasa kepada Barisan Alternatif. Ramai pemimpin Umno tewas, termasuk bekas menteri, khususnya kepada PAS. Dr Mahathir mengambil pendekatan "mendera" orang Melayu, antara lain dengan tidak memberikan sebarang tambahan kerusi Parlimen untuk tiga negeri Melayu, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, dalam persempadanan semula kawasan Parlimen, dan dalam masa sama, membanyakkan kerusi-kerusi pengundi campuran, sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Tionghua, yang menyelamatkan BN daripada kalah mengejut di peringkat persekutuan.

Tetapi, yang lebih menjolok mata ialah penderaan Dr Mahathir kepada beberapa penerbitan popular berbahasa Melayu -- Harakah, mingguan Eksklusif dan majalah dua kali sebulan Detik -- yang dikira telah menyumbang kepada kekalahan Umno, termasuk tumbangnya kerajaan Terengganu dan peningkatan mendadak pengaruh PAS di Kedah, terutama di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu.

Tiga bulan selepas PRU1999 itu, akhbar Harakah yang diterbitkan dua kali seminggu sejak pertengahan 1990 (Harakah mula diberikan permit penerbitan dalam kekerapan sekali seminggu pada Mac 1987) menerima hukuman cukup keras.


Apabila permit Harakah tamat (di negara ini, hayat setiap penerbitan hanya setahun) pada 28 Februari 2000, kekerapannya dipancung daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, yakni diterbitkan dalam tempoh 15 hari sekali! Dan permit baru itu hanya dikeluarkan KDN pada 6 Mac, sedangkan sepatutnya ia diperbaharui sebelum tempohnya berakhir. Di belakang permit, tertera dua syarat yang khusus buat Harakah dan tidak terdapat dalam permit penerbitan lain, iaitu syarat no 13 dan no 14.

Pihak pengurusan Harakah telah memohon permit baru pada 1 Ramadan 1420, bersamaan 9 Disember 1999, ketika pemimpin Umno berduka lara dengan keputusan PRU10. Sebenarnya KDN sudahpun memasanag perangkap untuk menjerat Harakah. Dalam suratnya pada 24 Disember, KDN memaklumkan bahawa telah melakukan dua kesalahan, mengenai penjualan akhbar Harakah kepada orang awam dan penjualan di tempat yang bukan pejabat atau markas PAS.

Ekoran "kesalahan-kesalahan" itu, KDN "bercadang untuk membatalkan permit penerbitan Harakah". Selain merupakan amaran paling keras pernah diterima Harakah, ia sebenarnya satu  mesej jelas bahawa akhbar alternatif yang dicetak hampir 400,000 naskhah ketika itu, bakal berdepan situasi lebih sukar.

Sehari sebelum KDN mengeluarkan surat amaran itu, Unit Kawalan Penerbitannya telah merampas lebih 2,600 naskhah Harakah di sekitar Lembah Klang. Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi, dalam kenyataannya menegaskan: "Jika gejala ini berterusan, kita akan memikirkan tindakan yang lebih keras lagi daripada apa yang kita lakukan sekarang."

Sebenarnya sebelum Harakah dihukum pancung kekerapan penerbitannya, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, KDN telah memaksa pelbagai syarat pelik, namun penguruisan Harakah tetap bersedia untuk melaksanakannya.

Misalnya, kira-kira pertengahan tahun 1998, KDN mengarahkan Harakah mengadakan rak khas supaya Harakah tidak bercampur dengan akhbar-akhbar lain di premis jualan. Hampir RM70,000 dibelanjakan untuk menempah rak tersebut bagi diagihkan kepada rangkaian penjual di seluruh negara.

Belum pun sempat rak itu selesai diedarkan, pada 26 Disember 1998, syarat baru dikeluarkan, iaitu Harakah hanya boleh dijual di markas atau pejabat PAS. Sebelumnya sudah KDN mengenakan syarat agar dicetak nota penting di muka depan Harakah, "Untuk Ahli PAS Sahaja".

Pada 3 Januari 2000, Harakah mengedarkan pekeliling kepada semua pengedar memaklumkan akhbar itu hanya boleh diedar dan dijual di markas dan pejabat PAS. Pengedar juga harus memastikan setiap peruncit di bawahnya menjual di tempat yang ditentukan itu atau menghantar ke rumah mereka yang melanggan.

Ketika itu, saya tidak bersama keluarga besar Harakah, tetapi mengendalikan penerbitan sendiri, yang mengusahakan majalah proreformasi, Detik; permitnya saya "sewa" dengan seorang sahabat baik, Allahyarham Samsuri Roslan.

Saya berkongsi dengan banyak pihak, yang merasakan tindakan KDN itu cukup keterlaluan dan tidak perlu diikuti Harakah. Apa pun, pihak pengurusan Harakah tetap cuba mematuhi apa jua syarat-syarat karut-marut KDN itu. "Sabar sungguh bos-bos Harakah melayani karenah KDN," kata seorang peguam.

Saya menimbulkan kembali cebisan cerita lama ini untuk menunjukkan "niat jahat" KDN kepada Harakah. Dalam setiap tindakannya, ternyata ia sarat dengan motif politik yang tebal. Malah, untuk menguatkuasakan syarat jualan hanya kepada ahli PAS, langkah merampas Harakah yang dijual di tempat awam boleh dipersoal. Keanggotaan PAS sudah melebihi satu juta orang, dan ahli-ahlinya berada di merata tempat.

Sebenarnya tindakan KDN merampas Harakah di tempat terbuka itu telah menafikan hak ahli-ahli PAS untuk membeli lidah rasmi parti mereka  di premis  yang mudah diperolehi. Bagi saya, ketika KDN sensitif sangat dengan jualan Harakah kepada orang awam, hak ahli PAS juga tidak boleh dihalang.

Apa pun, sebagai penggerak Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan wartawan yang mula bertugas dengan Harakah sejak keluaran sulungnya pada Mac 1987, bai saya, syarat-syarat karut-marut KDN itu harus dicabar di mahkamah dan dimansuhkan.

Mungkin KAMI patut memulakan inisiatif menggerakkan kempen membebaskan semua akhbar oposisi yang dikepung syarat-syarat tidak munasabah itu. Lebih malang, Suara Keadilan, yang ditamatkan permit penerbitannya ekoran isu "Felda bankrap", langsung tidak diberikan keizinan terbit.

PAS adalah sebuah parti politik berdaftar, yang ditubuhkan menurut peruntukan undang-undang lebih 62 tahun lalu. PAS tentulah dibenarkan untuk mengembangkan pengaruh dan menarik sokongan rakyat dari seluruh pelosok negara.

Justeru, akhbarnya juga harus dapat disebarkan kepada semua rakyat -- tidak terbatas kepada ahli-ahlinya saja -- tanpa sebarang halangan dan syarat-syarat represif. Bayangkan, dalam sebuah negara demokrasi, rakyatnya dihalang daripada membeli akhbar milik tiga buah parti politik, yang memperolehi undi popular 53 peratus!

Di zaman ledakan maklumat tanpa sempadan, apatah lagi dengan kerancakan media baru, amalan merampas akhbar ini adalah kerja kerajaan diktator zaman dahulu. Orang luar akan ketawa dengan "kerja gila" kerajaan BN yang "out of date" ini.

Inilah bahananya apabila Najib Razak -- diperkukuh dengan keghairahan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang baru, Zahid Hamidi dan Khalid Abu Bakar -- menerima pakai teladan yang ditunjukkan mentornya Dr Mahathir. Mungkin Najib risau jika Mahathir mula bersuara, menggesanya menuruti langkah Abdullah Ahmad Badawi yang terpaksa meletakkan jawatan kerana prestasi buruk BN dalam PRU12. Rekod Najib yang mengetuai BN pada PRU13 adalah lebih buruk daripada Abdullah.

Program transformasi politik Najib adalah satu pembohongan besar. Pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bukan saja tidak memberi sebarang makna kepada proses pendemokrasian, malah membuktikan ia langsung tidak menyentuh hal-hal fundamental dalam kebebasan akhbar, seperti keperluan permit, syarat-syarat mengarut KDN, kuasa tidak terbatas menteri dan peluang untuk merujuk kes ke mahkamah.

Pindaan itu sekadar tidak lagi mengehadkan tempoh permit kepada hanya setahujn seperti sebelumnya, tetapi masih mengekalkan kuasa menteri untuk menggantung dan menamatkan permit tanpa perlu sebarang alasan dan pihak yang terkilan tidak boleh membawanya ke pengadilan.


Ia menguatkan lagi keyakinan saya selama ini bahawa BN tidak pernah bersedia untuk memberikan ruang kebebasan bersuara buat warga Malaysia. Benar, dari segi akademik, tiada kebebasan akhbar di Malaysia. Peluang yang dibentangkan oleh medium internet bukan menunjukkan sikap terbuka kerajaan kepada amalan kebebasan bersuara tetapi "keterpaksaan" janji-janji Perdana Menteri pada 1997 semasa melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Sesungguhnya rampasan Harakah, Suara Keadilan dan Roket, serta siri tangkapan terhadap pemimpin dan aktivis oposisi, seperti Tian Chua,  Tamrin Ghafar dan Harris Ibrahim hanya akan menaikkan semangat juang rakyat, apatah lagi dengan penahanan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim, bakal menyemarakkan terus momentum PRU13.

Keputusan PRU13 rupanya tidak meredakan komitmen rakyat untuk menuntut perubahan, malah menggerakkan seluruh potensi yang ada bagi memastikan sistem dan proses pilihan raya negara kita dapat direformasikan seutuhnya. "Perlawanan" ini menuju pusingan lebih sengit. -- 17 Rejab 1434 H | 27 Mei 2013lutfi_detik@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular