Translate

Senarai Blog Saya

Jumaat, 31 Julai 2009

49 tahun lalu, PAS yakin ISA akan disalahguna

BERIKUT adalah sedutan ucapan Ahli Parlimen Bachok yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Zulkiflee Muhammad ketika bangun membahaskan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri di Dewan Rakyat pada 21 Jun 1960.

Tuan Yang Dipertua, di hadapan kita ini ada satu Rang Undang-undang yang bertujuan hendak memerangi subversif, dan di-dalam Undang-undang ini ada beberapa peraturan yang ditujukan kapada maksud itu.

Tuan Yang Dipertua, saya bangun di sini menyokong undang-undang ini. Tetapi saya hendak menceritakan beberapa perkara yang ada di-dalam Undang-undang ini yang pada fikiran saya akan boleh menimbulkan kepayahan dan kesusahan dan akan boleh digunakan bagi maksud yang lain daripada maksud yang asal Undang-undang ini.

Tadi, Timbalan Perdana Menteri (Tun Abdul Razak Hussain) sudah memberikan fikirannya dan di dalam ucapannya yang panjang itu dia telah memberi satu tegasan mengatakan bahawa Undang-undang ini tidak dimaksudkan untuk mencengkam kebebasan dan demokrasi di dalam negeri ini. Dan dia telah berjanji dan memberi jaminan tidak pula ada tujuan Kerajaan hendak menggunakan Undang-undang ini bagi maksud menahan perkembangan parti-parti politik yang bertentangan dengan Kerajaan.

Saya tidak tahu sama ada janji ini boleh dipegang atau tidak. Itu akan diterangkan oleh perbuatan-perbuatan yang akan ditunjukkan kepada Menteri itu; tetapi saya memberi amaran, Tuan Yang Dipertua. Di-dalam mempersetujukan ini saya memberi amaran bahawa kalau sah dan benar tujuan Kerajaan hendak mengawal, memelihara dan mengembangkan demokrasi di negeri ini maka amalkanlah Undang-undang ini menurut dasar pengubalannya.

Sebarang salah guna dari Undang-undang ini akan membawa satu reaksi yang buruk dan tidaklah menjadi mustahil kalau sesudah berjanji hendak dijalankannya dengan baik, tidak mustahil Kerajaan itu hendak menjalankan dengan tidak baik. Orang-orang atau setengah atau sebahagian daripada manusia daripada negeri ini akan menjadi komunis jika disalah pakai Undang-undang ini.

Kita tahu kesalahan-kesalahan dan penyakit-penyakit yang ada di dalam Undang-undang sebagaimana saya sebutkan, tetapi bagi kepentingan keselamatan negeri dan atas asas bahawa Undang-undang ini menuju kapada mencegah perkembangan subversif (komunis) dan terrorism (keganasan) maka kita sokong.

Tuan Yang Dipertua, apabila kami menyokong Undang-undang ini, kami tuntut kepada Kerajaan supaya meluaskan fahaman di dalam makna subversif tidak sahaja subversif dari komunis, tetapi sebarang anasir yang tidak diingini yang ingin menjatuhkan tatahidup demokrasi di dalam negeri ini hendaklah ditegah sama ada dia melakukan subversifnya itu dengan cara langsung atau tidak langsung.

Saya maksudkan puak-puak Amerika, puak-puak Inggeris, puak-puak apa sahaja yang cuba hendak menggunakan helah dan dayanya bagi menjahanamkan tatahidup di negeri ini di dalam subversif.

Sebabnya Tuan Yang Dipertua, "Prejudicial to the interest of this country" yang menjadi teras bagi perkara yang besar di dalam Undang-undang ini tidaklah semata-mata dihadkan kepada sesuatu puak sahaja. Saya bersetuju bahawa bahaya-bahaya komunis amatlah besar. Dan ada masanya iaitu akan bertambah besar. Cara-cara mengembangkan komunis di dalam negeri ini bukanlah payah. Sedikit kesilapan akan membalikkan sejarah negeri ini kepada apa yang telah berlaku.

Bagi pihak saya, sehinggakan pengisytiharan Perdana Menteri menyokong kemasukan China ke dalam United Nation (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) itu pun saya rasa, ada mempunyai bibit yang menyeronokkan orang-orang komunis di dalam negeri ini, dengan memberikan kekuatan kapadanya bahawa sekarang negara besarnya telah diakui dan komunisnya sa-kurang-kurangnya dihormati.

Sekurang-kurangnya Perdana Menteri kita telah memberi sadikit angin kepada goyangnya pokok komunis di Tanah Melayu ini dengan pengisytiharan yang saya tidak hendak bahaskan kerana itu soal luar negeri tetapi tidak di-nafikan adanya sokongan moral komunis.

Tuan Yang Dipertua, di-dalam Undang-undang ini, ada beberapa perkara yang tidak terang dan ini akan saya cuba menyebutkannya, supaya dengan menyebutkan perkara-perkara itu dapatlah Kerajaan itu betul-betul mengamalkan Undang-undang ini dengan jiwa dan roh Undang-undang. Ini tidak dengan jiwa dan roh yang lain dari dasar menggunakan Undang-undang ini.

Lagi sekali saya katakan, sebarang silap amal, salah gunakan Undang-undang ini bukan akan mengurangkan terrorist yang 400 orang itu bahkan akan menambah bilangannya. Sebarang penekanan yang tidak dibolehkan oleh Undang-undang ini akan mengakibatkan kesan balas yang tidak diingini.

Pergi kepada satu-satunya Undang-undang ini dan saya percaya Kerajaan ketika sekiranya orang menyokong satu Undang-undang Kerajaan itu maka berilah pertimbangan yang berat kepada fikiran yang dikemukakannya itu sebab dia tidak membangkang, cuma menyokong, kerana ada perkara-perkara yang dirisau, kok salah masuk maka akan sengetlah perjalanan jentera Undang-undang ini.

Tuan Yang Dipertua, di dalam mempersetujui Rang Undang-undang ini, Persatuan Islam Tanah Melayu memegang apa yang dicakapkan oleh Kerajaan bahawa dia tidak bertujuan hendak mencegah perkembangan politik yang sihat di dalam negeri ini. Sebab apa, Tuan Yang di-Pertua? Kerana kita memikirkan kepentingan keselamatan negara. Apa yang disyarahkan oleh orang-orang Persatuan Islam Tanah Melayu mudah sangat membawa kapada apa yang di-sebutkan di sini.

Dalam hal menentang terrorist (pengganas) ini, Tuan Yang Dipertua, kita tentulah tidak berapa risau sebab kategori atau jenis manusia yang disebutkan sebagai 'terrorist' adalah kurang orang yang mungkin dituduh. Maka apa yang ada dalam undang-undang ini yang menerangkan bahawa boleh kita maafkan, kalau pun ia itu terkeluar sedikit sesudah batas kebebasan hidup biasa. Sebab kita adalah berhadapan dengan 'terrorist'.

Walau bagaimana pun kalau ada kemungkinan kezaliman yang dapat dilakukan kepada orang yang kita rasa bukan dirinya penjahat maka patut dihindarkan dalam undang-undang atau yang menjalankan undang-undang ini.

Setelah saya menyebutkan dalam perkara ini tadi maka saya ingin mengemukakan kapada Tuan Yang Dipertua bahawa kami menyokong Rang Undang-undang ini demi kepentingan keselamatan negara, dan saya ulangkan peringatan yang diberi tadi bahawa sebarang salah guna di atas undang-undang ini akan mengakibatkan satu perkara yang sebaliknya.(Harakah)
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular