Translate

Senarai Blog Saya

Jumaat, 31 Julai 2009

Khir Toyo Alih Isu Gantung Yang Mencemar Imej Beliau

Bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendedahkan terdapat lebih 4,000 tempat judi, hiburan dan spa beroperasi secara haram sejak pakatan rakyat memerintah Selangor.

"Saya yakin kewujudan banyak pusat seperti ini di Selangor kerana ada ahli politik bertindak sebagai pelindung kepada kumpulan kongsi gelap memandangkan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN), lesen untuk pusat hiburan, judi dan spa dihadkan kepada 700.

"Secara rasmi memang lesen pusat tersebut tidak dikeluarkan lagi tetapi kalau kita lihat pusat judi, hiburan dan spa tumbuh macam cendawan di Selangor, saya percaya kesemuanya dibuka secara haram," dakwanya.

Betulkah dakwaan Khir terhadap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor? Atau Khir sengaja menimbulkan isu bagi menutup aib beliau digantung daripada Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor kerana gagal hadir pada pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Malah Khir juga dikatakan merancang sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara membuta tuli masuk menyiasat exco kerajaan negeri kerana mendakwa terdapat laporan mengatakan berlaku penyelewengan wang peruntukan Ahli Dun (Adun) sebanyak RM500 ribu setahun.

Malah kes tersebut menjadi bertambah panas apabila saksi yang disiasat SPRM meninggal secara mengejut sebagaimana diumumkan polis. Setiausaha politik kepada Exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock ditemui mati berhampiran pejabat SPRM sehingga kini masih dalam siasatan.

Khir sebelum ini juga cuba memfitnah kononnya kerajaan negeri tidak disenangi pihak istana bagaimanapun isu tersebut sepi dan ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri Selangor.

Pada Mac lalu, Selcat telah membicarakan penyelewengan wang Badan Amal dan Kebajikan isteri-isteri Selangor (Balkis). Keanggotaan Balkis terdiri daripada isteri wakil rakyat Selangor BN dikatakan mendapat sumbangan wang daripada syarikat anak kerajaan negeri Selangor.

Bekas Menteri Besar Selangor sepatutnya hadir pada perbicaraan umum itu kerana dikatakan banyak kuasa eksekutif dalam kes Balkis tetapi beliau hanya menghantar peguam bagi mengatakan tidak akan hadir pada pendengaran awam tersebut.

Malah Khir dalam sidang Dun boleh mendakwa beliau tidak diberi peluang membela diri sedangkan Salcet semasa itu banyak memberi kelonggaran kepada beliau walaupun beliau ketika itu sibuk bertanding Ketua Pemuda Umno tetapi tetap tidak hadir.

Selcat membawa kes beliau pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan (JKHK) yang kemudiannya membentangkan pada sidang Dun dan diluluskan pergantungan selama setahun ke atas Khir Toyo dan empat lagi Ahli Dun BN selama enam bulan kerana menghina dewan serta keistimewaan mereka dilucutkan dan elaun digantung.

Rakyat melihat hukuman tersebut paling mengaibkan dalam sejarah politik BN Selangor. Ini kerana dalam masa singkat kerajaan negeri Selangor berjaya mendedahkan penyelewengan yang dilakukan kerajaan BN dahulu sebagaimana dilaungkan dalam ceramah PKR, PAS dan DAP semasa pilihan raya umum Mac 2008 lalu, iaitu sebelum pakatan rakyat memerintah lima negeri.

Bagi rakyat penyelewengan kerajaan BN dahulu mesti didedah dan diambil tindakan supaya rakyat tahu ke mana hasil dan wang rakyat selama ini dihabiskan.

Sekarang rakyat sedang menunggu apakah kerajaan Kedah dan Pulau Pinang juga mampu mengesan penyelewengan kerajaan terdahulu dan mengambil tindakan sebagaimana kerajaan Selangor.

Jika tidak ceramah PKR, PAS dan DAP sebelum memerintah selama ini hanya dianggap ceramah kosong dalam mengatasi penyelewengan pemerintahan BN terdahulu.

Sementara, Pengerusi Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew mempersoalkan bagaimana Khir boleh mengetahui terdapat 4,000 pusat hiburan haram beroperasi di negeri itu.

Beliau mempersoalkan apakah pusat hiburan haram dibuka oleh kroni Khir, jika tidak bagaimana beliau boleh mengetahui banyak pusat hiburan haram wujud di Selangor.

Ini kerana katanya, semua permit pusat hiburan haram dikeluarkan oleh kerajaan Pusat dan tidak ada satu pun yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Pihak Majlis Berkuasa Tempatan (PBT) tambah beliau tidak mempunyai kuasa untuk menangkap dan menghukum pemilik pusat hiburan haram.

"Semua kuasa untuk menangkap dan menghukum pemilik pusat hiburan haram terletak di tangan pihak polis malangnya pihak polis tidak melakukannya," dakwa beliau.

Tambah beliau kuasa PBT hanya boleh menyita pusat hiburan tersebut tetapi kebanyakan selepas disita pemilik hiburan itu akan membuka semula dan beroperasi seperti biasa.

Menurut beliau, polis memang mempunyai kuasa untuk menghalang pusat hiburan haram daripada beroperasi tetapi polis negeri Selangor tidak memberi kerjasama yang baik dalam masalah ini.

Katanya, mereka lebih mendengar arahan daripada pihak kerajaan Pusat bukan daripada kerajaan negeri.(Harakah)
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular