Translate

Jumaat, 17 Julai 2009

Terjatuh atau Menjatuhkan Diri Sendiri Atau Dijatuhkan.

mayat Teoh Beng Hock ditemui orang awam di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, petang semalam. Gambar ini dipamerkan semasa sidang akhbar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, malam tadi.
Kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini petang ini menimbulkan tanda tanya.

Menurut laporan awal, Beng Hock, 30, yang dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak pukul 5 petang semalam, dipercayai terjatuh dari tingkat 14 pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam itu.

Bagaimanapun Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull yang melawat tempat kejadian berkata, beliau tidak pasti bagaimana Beng Hock terbunuh.

‘‘Kita tak pasti dia terjatuh atau lompat atau apa. Kalau terjatuh dari tingkat mana kita pun tak tahu. Tunggulah hasil siasatan polis nanti,” katanya kepada pemberita.

Mayat Beng Hock yang ditemui oleh orang awam dalam keadaan terlangkup pada kira-kira pukul 1.30 petang dan kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada pukul 9 malam.

Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah itu merupakan salah seorang saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri semalam.

Hian Wah adalah antara dua Exco dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan itu. Semalam SPRM menyerbu pejabat Hian Wah di bangunan Sekretariat Negeri di sini untuk mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri dibelanjakan.

Mohd. Shukri berkata, Beng Hock dipanggil ke SPRM Selangor pada pukul 5 petang semalam untuk dirakam percakapannya bersama tiga lagi saksi selepas pihaknya menyerbu pejabat Hian Wah.

‘‘Tiga saksi telah dibenarkan pulang pada sebelah malam kecuali Beng Hock kerana percakapannya hanya selesai pada pukul 3.45 pagi.

‘‘Selepas itu Beng Hock dibenarkan balik oleh pegawai yang merakam percakapannya tetapi dia minta untuk berehat dan tidur sebentar di ruang tamu pejabat SPRM di tingkat 14 dan kali terakhir dia dilihat di situ ialah pukul 6 pagi.

‘‘Selepas itu dia tidak lagi kelihatan sehinggalah mayatnya ditemui pada pukul 1.30 petang ini,” katanya sambil menjelaskan SPRM kemudiannya terus membuat laporan polis.

Menurut Mohd. Shukri, sebelum dibenarkan pulang, Beng Hock berjanji untuk ke pejabat SPRM pagi ini bagi menyerahkan beberapa dokumen yang diperlukan bagi membantu siasatan.

Katanya, ruang tamu SPRM tidak dilengkapi sistem televisyen litar tertutup (CCTV).

Beliau menjelaskan, semasa percakapannya dirakam Beng Hock tidak menunjukkan reaksi takut atau gelisah dan memberikan kerjasama yang baik kepada pegawai SPRM.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, buat masa ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Bagaimanapun polis masih menunggu laporan daripada empat pakar patologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur dan HTAR,” katanya.

Tambah beliau, polis juga menawarkan kepada keluarga Beng Hock untuk melantik pakar patologi mereka sendiri.(Utusan Malaysia)

Satu Suruhanjaya patut dibentuk untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock yang memang amat mengejutkan banyak pihak. Kita bukan tidak percaya kepada polis tetapi kita hendakkan satu siasatan yang betul-betul telus dilakukan. Satu siasatan yang adil patut diberikan kepada keluarganya. Satu perkara yang amat memelikkan berlaku kerana beliau hanyalah seorang saksi dan bukannya dituduh. Beliau yang dikatakan akan mendaftar perkahwinan beliau pada hari ini, satu perkara yang amat mengembirakan beliau tetapi tiba-tiba beliau bertukar perasaan. Tidakkah itu satu perkara yang pelik. Kerana itulah Majlis Peguam dan NGO menuntut satu Suruhanjaya Diraja siasat punca kematian beliau.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular