Kesahihan laporan kesihatan Sultan Kelantan yang kini menjadi pertikaian kelihatan lebih ‘kusut’ dengan laporan media hari ini menyebut baginda ternyata jauh lebih sihat berbanding gambaran sebelum ini.
Laporan Utusan Malaysia hari ini menyebut baginda dibenarkan meninggalkan Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk menghadiri majlis santapan sempena ulang tahun ke-59 Raja Perempuan Kelantan di sebuah hotel di republik itu.
Anakanda ketiga baginda, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry yang mempertikaikan laporan kesihatan yang diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat awal minggu ini juga mengambil bahagian dalam majlis tersebut
Dua hari lepas Nik Aziz mahu pihak istana sendiri menyelesaikan kemelut dalaman yang wujud sekarang.
Malah dalam majlis meraikan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid itu, baginda menikmati makanan dan minuman tanpa menggunakan alat bantuan pemakanan atau sambungan tiub ke perut.
Laporan itu menyebut realiti itu sama sekali bertentangan dengan laporan panel perubatan dilantik kerajaan negeri Kelantan bertarikh 24 Dis lalu yang diumumkan Nik Aziz Isnin lalu bahawa baginda makan menggunakan tiub dimasukkan ke dalam perut.
Menurut Nik Aziz, panel perubatan terdiri daripada pakar Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Institut Jantung Negara dan HKL.
Panel itu juga merumuskan baginda telah menunjukkan kemajuan hasil rawatan intensif yang diterima.
Bagaimanapun, laporan panel itu disangkal oleh Tengku Muhammad Fakhry kerana mendakwa ia tidak mendapat perkenan baginda malah rumusan kesihatan tuanku dibuat tanpa melawat baginda.
Tuanku Ismail Petra dikatakan kelihatan begitu ceria dan segar berbanding sebelum ini ketika berkesempatan bersama Raja Perempuan Kelantan dan tiga daripada empat anakanda baginda berdua Selasa lalu.
Selain Tengku Muhammad Fakhry turut hadir ialah anakanda kedua baginda yang juga Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz dan Tengku Amalin A’ishah Putri iaitu anakanda bongsu.
Turut bersama ialah bapa saudara Sultan Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan kira-kira 20 ahli keluarga terdekat baginda.
Pada majlis santapan pada pukul 5 petang semalam itu, Tuanku Ismail Petra tidak menggunakan kerusi roda. Sebaliknya baginda duduk di atas kerusi khas fisioterapi yang disediakan Hospital Mount Elizabeth dengan berlapikkan bantal di belakangnya.
Ketika menceritakan mengenai keadaan Tuanku Ismail Petra sepanjang majlis santapan itu, Tengku Muhammad Fakhry memberitahu Utusan Malaysia bahawa “baginda gembira dapat jumpa kami dan ahli keluarga.”
“Sesekali Tuanku ketawa. Tuanku ucap selamat hari lahir dan mendoakan kesejahteraan baginda Raja Perempuan.
“Tuanku juga tanya mengenai khabar rakyat Kelantan. Baginda gembira diberitahu rakyat sejahtera, baginda sangat ambil berat tentang rakyat.”
Mengenai kesihatan semasa Sultan Kelantan yang jauh berbeza dengan pengumuman Nik Aziz baru-baru ini, beliau berkata, beliau tidak faham mengapa ia berlaku.
“Sudah tiga bulan Tuanku tidak gunakan tiub untuk santap. Saya tak tahu bagaimana panel perubatan yang tidak diiktiraf Tuanku itu buat laporan, sedangkan mereka tidak pernah periksa Tuanku.
“Dengan berita terbaru perkembangan Tuanku ini, saya harap rakyat Kelantan dan masyarakat di Malaysia mengetahui kedudukan sebenar kesihatan Tuanku,” katanya.
Katanya, semasa santapan petang Selasa lalu Tuanku jelas semakin sihat, bukannya lemah tetapi stabil seperti disebutkan panel itu.
Dalam pada itu, Pengarah HKL Datuk Zaininah Mohd. Zain pula berkata pihaknya tidak pernah menerima permohonan daripada kerajaan Kelantan untuk menggunakan kepakaran mereka bagi membarisi panel yang mengeluarkan laporan itu.
Malah katanya, jika panel perubatan itu ditubuhkan secara rasmi, ia perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu sebelum diluluskan penubuhannya.
“Selain itu, kalau salah seorang pakar yang dipilih itu adalah dari HKL maka saya perlu mengetahuinya sebelum memberi kebenaran.
“Dalam hal ini, saya memang tidak tahu apa-apa dan kemungkinan kerajaan Kelantan melantik pakar perubatan ini secara tidak rasmi,” jelasnya.
Zaininah berkata, HKL sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pelantikan panel itu kerana ia membabitkan kakitangan di hospital itu.
“Itulah yang sepatutnya. Tapi mereka tidak maklumkan oleh itu saya rasa barisan panel ini hanya sementara dan tidak diluluskan oleh kementerian,” jelasnya.(MalaysiaInsider)
Jelas sekali ada sesuatu yang tidak kena dengan masaalah dalaman Istana Kelantan, dengan menyeret kerajaan negeri............ mungkin ada tangan-tangan ghaib yang cuba melaga-lagakan kerajaan negeri dengan pihak istana.
Jelas sekali ada sesuatu yang tidak kena dengan masaalah dalaman Istana Kelantan, dengan menyeret kerajaan negeri............ mungkin ada tangan-tangan ghaib yang cuba melaga-lagakan kerajaan negeri dengan pihak istana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan