Translate

Selasa, 10 Januari 2012

Media dan pilihan raya adil

Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Demokrasi adalah hak rakyat untuk menjadi hakim dalam sistem politik moden, sebagai satu proses untuk memilih kepimpinan mereka. Terminologi akar umbi “dēmokratía” yang berasal dari bahasa Greek ini memberi maksud – “rule by the people” atau “pemerintahan oleh rakyat”. Pemahaman terhadap maksud demokrasi ini yang pada pandangan Barat tidak mempunyai kaitan dengan Tuhan Yang maha Pencipta, telah diperkembangkan dan disuntik roh hubungan manusia-Tuhan menerusi pandangan para sarjana Islam dalam bentuk penulisan di sepanjang zaman kegemilangan Islam. Antaranya kitab-kitab hasil karangan para ulama Islam dalam aspek politik seperti karya tersohor Muqaddimah karangan Ibnu Khaldun (1332-1406 M), Al Mawardi (972-1058 M), Al Ghazali (1058 - 1111M), Imam Al Haramain Al Juwayni (1028 -1085M ), Ibnu Taimiyyah (1263 -1328M), Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1292-1350M) dan lain-lainnya yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah. Encyclopaedia Britannica (15thed.,Vol.9, p.148) antaranya memuatkan testimoni ahli sejarah British, Arnold J.Toynbee, memperakukan bahawa karya Muqaddimah adalah “membicarakan aspek falsafah sejarah yang paling hebat pernah ditulis oleh sesiapa di sepanjang zaman”.

Sebelumnya negara-negara Eropah yang dihimpit kezaliman terpaksa melakukan revolusi berdarah yang mengorbankan raja, pemimpin dan rakyat.

Sekiranya kita mengkaji hal ini secara lebih jauh dan mendalam, Al-Quran sebenarnya telah menceritakan kisah-kisah benar perjuangan para Rasul A.S. berdakwah, umpamanya Nabi Ibrahim dan Nabi Musa AS, para nabi ini dalam masa yang sama menentang kerajaan yang zalim, menindas dan memperhambakan rakyat, serta menyalah gunakan harta negara mengikut hawa nafsu. Walau pun tamadun kebendaannya tersergam menakjubkan, seperti 138 buah binaan Piramid di Mesir, Petra di Jordan, yang kesemuanya masih menjadi kesan sejarah yang dibanggakan sehingga zaman terkini, tetapi dilupakan betapa tamadun itu dibina di atas  mayat-mayat rakyat yang diperhambakan.

Semua  kerajaan zalim  ini dinamakan jahiliyyah, walau pun dianggap bertamadun, semuanya berakhir dengan kejatuhan yang meninggalkan nama-nama buruk yang dikutuk dalam catatan sejarah, walau pun meninggalkan bangunan dan binaan yang indah. Ramai yang tidak menyedari bahawa Allah SWT mengutuskan para Rasul memimpin rakyat menentang kerajaan-kerajaan yang sangat zalim itu.

Apabila Nabi Muhammad SAW berjaya menegakkan negara dengan petunjuk Al Quran dengan sempurna sehinggalah wafat meninggal dunia, Baginda SAW telah berjaya mendidik para sahabatnya. Dalam sejarah generasi awal Islam, khususnya di zaman Khulafa Rasyidin yang paling banyak menjadi teladan, setiap tokoh Khalifah yang dipilih secara musyawarah menyampaikan ucapan, bahawa ketaatan kepada pemimpin adalah tidak mutlak, dinyatakan syarat yang tegas, selagi pemimpin itu tidak zalim dan tidak menyeleweng daripada perintah Allah dan Rasul.

Para ulama tafsir Al Quran, Hadith, sehingga ilmu Tasawuf yang paling teliti mengecualikan takrif mengumpat yang dikira dosa besar, apabila mendedahkan kejahatan yang membawa fasik daripada seseorang yang bertaraf pemimpin di kalangan ulama dan umara (ketua negara), kerana kejahatan kalangan ini sangat mempengaruhi masyarakat umum. Mereka menamakan perkara Al Jarhu wa Ta’dil,  sehingga menjadi istilah ilmu Asanid(untuk mensahihkan sesuatu riwayat) dalam meriwayatkan hadith dan lain-lain sumber ajaran Islam.

Para ulama Islam dengan tegas menyatakan pendedahan kejahatan dan kebaikan seseorang menjadi hukum wajib apabila menjadi saksi di mahkamah, bagi menjamin berlakunya keadilan kepada hakim yang membuat keputusan. Saksi bohong pula berdosa besar dan boleh dijatuhkan hukuman mengikut ukuran sesuatu tuduhan.

Sistem Demokrasi Moden melantik rakyat menjadi hakim bagi menentukan pemimpin atau parti yang memerintah negara. Mengikut ajaran Islam pula, urusan politik memilih pemimpin adalah amanah yang sangat besar. Maka pilihan raya adalah mahkamah rakyat  dalam menunaikan amanah besar ini.

Semua negara yang maju menjadikan pilihan raya sebagai peluang untuk memilih kerajaan yang adil dan mampu memajukan negara serta membela rakyat. Setiap kelemahan dan kesilapan menyebabkan kerajaan dan pemimpin akan dihukum oleh rakyat dengan adil dan telus. Para pemimpin pula mempunyai maruah tinggi dan berjiwa besar, rela dihukum dalam pilihan raya atau meletakkan jawatan sebelum pilihan raya, kalau betul-betul bersalah atau walau pun tidak bersalah. Kalau sebab fitnah maka nilai tambahnya sangat besar, kalau pun bersalah maka peluang ini dimanafaatkan untuk bertaubat dan membaiki imej.

Dalam amalan Demokrasi adil, peranan media disemua lapangan, dikira sangat penting bagi pilihanraya yang adil, kerana mereka meletakkan media sebagai saksi kepada mahkamah rakyat untuk mejatuhkan hukuman dengan adil, kerana pengundi yang membuat keputusan adil wajib mendapat maklumat yang benar dan teliti. Adalah tidak adil bagi pengundi untuk membuat keputusan dengan kempen  sebelah pihak sahaja dengan pihak satu lagi mempunyai peluang yang sangat terhad, atau peluang yang tidak sama rata, tidak saksama dan adil. Keadaan terus menerus menjadi penyakit lebih parah hingga merosakkan negara kalau berlaku politik wang rasuah bagi mengabui pemikiran rakyat.

Maka cara yang benar dan adil ialah media diberi peluang secara bebas kepada semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya, sama ada kerajaan atau pembangkang. Sehingga bertaraf sama di sepanjang masa, supaya rakyat sentiasa melakukan muhasabah terhadap kerajaan, parti dan  wakil rakyat mereka. Tuduhan yang benar terimalah hukuman dengan adil, tuduhan fitnah pula terimalah padahnya, sama ada melalui undang-undang pengawalan dan pengawasan media atau keputusan rakyat dalam pilihan raya.

Ada negara yang memberi peluang secara lebih terperinci, dibuka peluang semua pemimpin utama parti berhujah dalam media, samada secara debat atau berdailog secara lansung dan terbuka.  Semua pihak bukan sahaja boleh menonton dalam kaca TV, bahkan boleh melibatkan diri dengan berbagai-bagai soalan. Seluruh rakyat boleh menilai secara langsung terhadap ketokohan dan peribadi pemimpin  atau bakal pemimpin dengan lebih teliti, kerana memilih pemimpin adalah amanah yang sangat  berat.

Selepas pilihan raya media tetap diberi hak sepanjang masa melakukan muhasabah bagi pihak rakyat dan negara. Pihak media yang salah laku juga boleh dihukum dengan tindakan undang-undang yang adil atau dipulau oleh rakyat.

Dalam sejarah Islam, apabila Khalifah Abu Bakar RA dipilih menjadi Khalifah selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. beliau menyampaikan ucapan sulungnya :
“Wahai tuan-tuan !, Saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, pada hal saya bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya berlaku baik tolonglah saya, sekiranya saya melakukan kesilapan perbetulkan saya, benar adalah amanah, bohong adalah khianat" .

Inilah contoh keterbukaan seorang pemimpin yang menjadi teladan, meminta semua pihak berlaku ikhlas dan berani, jangan mengampu sehingga berbohong, yang betul dibantu, yang salah diperbetulkan, yang silap ditegur secara beradab, kalau menjadi makhluk perosak maka diturunkan dengan cara setimpal.

Para ulama melaporkan dalam kitab-kitab karangan mereka, banyak contoh di zaman keemasan sejarah Islam, apabila penganutnya disemua peringkat, pemimpin dan rakyat bersikap terbuka memberi nasihat dan teguran menunaikan kewajipan muhasabah. Hasil penulisan yang berharga ini dipungut oleh para orientalis sehingga mempengaruhi perubahan Demokrasi Moden daripada Demokrasi purba.

Kita menyaksikan berlaku berbagai-bagai peristiwa dalam dunia terkini, sejak masa terdekat di abad yang lalu dan yang paling mutakhir, apabila negara-negara dunia yang bertanggungjawab sentiasa mengislahkan (menambah baik) amalan Demokrasi masing-masing. Demokrasi pilihanraya pula bukanlah semata-mata memangkah kertas undi, tetapi hak demokrasi berpilihan raya menjangkaui semua proses pendaftaran pengundi, peraturan yang adil, media yang bebas, pihak berkuasa yang berkecuali, sehinggalah kepada kebebasan rakyat memilih tanpa sebarang elemen rasuah yang boleh mempengaruhi mereka.

Di negara Eropah dan Amerika, mereka melaksanakan hak media menjadi saksi adil kepada rakyat, termasuklah juga di negara Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia dan Thailand. Rakyat menukarkan kerajaan berbagai parti silih berganti melalui pilihan raya, sehingga tidak ada parti yang boleh memerintah dalam tempoh yang terlalu lama apabila melakukan kesilapan atau mengalami kelemahan. Ada juga berlaku parti yang memerintah mengundurkan diri lebih awal, apabila dituduh dalam perkara besar, memberi peluang diadakan pilihanraya semula untuk mendapat kepercayaan rakyat seperti yang berlaku di Itali dan Greece  beberapa bulan lalu.

Ada yang sekadar mendapat kepercayaan di parlimen sahaja dengan memberi hak tanpa paksaan kepada wakil rakyat termasuk daripada parti kerajaan yang memerintah. Ada juga presiden atau perdana menteri atau menteri kabinet meletakkan jawatan lebih awal. Semuanya  berlaku apabila terdapat pendedahan media secara adil kepada rakyat dan semua pihak merasa bertanggungjawab menunaikan amanah.

Ada negara yang berani memberi kebenaran kepada Parti politik daripada media cetak sehinggalah memiliki stesyen TV yang boleh menyatakan dasar dan perjuangan dan perbezaannya dengan kerajaan dan Parti lain. Terpulanglah kepada rakyat untuk membuat penilaian sendiri, atau semua media ini diselia menerusi undang-undang yang mengawasinya.

Malangnya masih banyak kalangan negara membangun termasuk Malaysia,  ada yang mendakwa sudah bertahap maju, pada hal tercorot, bukan sahaja tercorot dalam  bidang ekonomi mengisi perut rakyat, bahkan tercorok juga dalam bidang minda kefahaman berpolitik sehingga membodohkan rakyat dengan kawalan media supaya berpihak kepada parti yang menjadi kerajaan sehingga  rakyat  menjadi jahil murakkab (jahil yang tidak tahu dirinya jahil dan merasa bijak).  Maka berlakulah minda tertutup dan terkongkong. Mana-mana pihak yang menegur kerajaan termasuk dalam kerajaan sendiri pun tidak diberi hak yang sewajarnya untuk membuka minda yang bijak memperkasakan rakyat dan kerajaan sendiri. Maka jadilah kerajaan itu Maha Suci daripada segala sifat kekurangan, walau pun pemimpinnya adalah makhluk manusia, cuma berada di singgahsana dan kerusi  memerintah negara  berlagak seperti Tuhan.

Menyekat kebebasan media boleh melemahkan kerajaan sendiri kerana sentiasa syok sendiri, tanpa menyedari kesilapan dan kelemahan, atau  menutup kelemahan dan kesilapan secara degil, atau sentiasa menipu diri sendiri  menggunakan  media, akhirnya tamat riwayat cara memalukan dan terkutuk sehingga telah mati tanpa taubat, dan  berada dalam kubur terus dikutuk masyarakat yang dizaliminya.

Peranan media mengikut Islam ditempatkan dalam medan Jihad Akbar sekiranya berani menyatakan benar dan adil, menentang kezaliman, kerana  pengaruhnya yang besar dalam masyarakat awam yang lemah. Banyak negara melahirkan tokoh media yang berani sehingga dibunuh dan dipenjara, seperti di negara komunis di zaman tabir dan kuku besi, negara barat dan negara Asia dan Afrika juga melahirkan tokoh Islah di kalangan media.

Bagi umat Islam kerajaan dan pemimpinnya adalah ujian dalam kehidupan dunia, sebelum dicabut nyawa dan disumbat kedalam kubur, memasuki alam akhirat. Maka menjadi hikmat besar apabila seseorang Islam disunatkan berwirid selepas solat dengan firman Allah SWT :

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (26) تُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَنْ تَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (27 ) آل عمران .
Maksudnya : “Katakanlah: "Wahai Tuhanku yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup dan Engkau beri rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab (batas)".

Menunjukkan bahawa Allah SWT tidak mengekalkan kerajaan yang memerintah selama-lamanya, sama ada adil atau zalim, yang kekal hanya kerajaan Allah yang mencipta dan memiliki seluruh alam. Kerajaan yang silih berganti adalah ujian menunaikan amanah dalam kehidupan dunia. Kerajaan yang adil menjadi teladan, kerajaan yang zalim menjadi iktibar.

Peranan Media wajib menjadi saksi yang adil kepada rakyat, menyatakan yang benar dan meyebarkannya dan mengkritik membina dan akhirnya mendedahkan kesilapan dan kezaliman, mengambil peluang fadilat sabda Rasulullah S.A.W. 

”Jihad paling besar pahalanya ialah menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim “.

Kalangan  ulama soleh menegaskan;”Orang yang diam menyembunyikan yang benar adalah syaitan bisu”.

Presiden PAS

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular