KABUL 18 Jan. - Sekumpulan militan Taliban,
sesetengahnya pengebom berani mati, melancarkan serangan ala komando ke
atas beberapa bangunan kerajaan Afghanistan dan lokasi lain di pusat
bandar raya Kabul hari ini.
Pegawai Afghanistan berkata, sekurang-kurangnya lima orang termasuk
seorang penduduk awam terbunuh manakala 38 lagi cedera dalam
pertempuran yang meletus antara militan dengan pasukan keselamatan.
Serangan nekad itu menunjukkan situasi keselamatan yang goyah di
Kabul dan adalah antara yang paling dahsyat di ibu negara Afghanistan
ini dalam tempoh hampir setahun.
Bunyi tembakan dan letupan kuat kedengaran di seluruh Kabul dengan
kepulan asap tebal menjulang dari sebuah pusat membeli-belah yang
terletak di tengah-tengah medan pertempuran antara kedua-dua pihak.
Menjelang tengah hari, serangan utama ke atas istana Presiden dan
beberapa kementerian di pusat bandar raya dipercayai telah dipatahkan,
dan sekumpulan pemberontak bertahan di dalam pusat membeli-belah yang
terbakar dan dikepung oleh pasukan keselamatan Afghanistan.
Ketika pertempuran bersenjata meletus, seorang pengebom berani mati
meletupkan kenderaan yang dipandunya di luar sebuah lagi pusat
membeli-belah berdekatan, menyebabkan beberapa anggota pasukan
keselamatan terbunuh, menurut sumber keselamatan.
Satu lagi letupan kemudiannya dilaporkan dekat sebuah pawagam beberapa ratus meter dari situ.
Lebih tiga jam selepas militan melancarkan serangan-serangan itu,
Presiden Hamid Karzai mengeluarkan kenyataan mengatakan keadaan sudah
terkawal dan pasukan keselamatan berjaya memulihkan ketenteraman.
Taliban mendakwa 20 pejuangnya terlibat dalam serangan bersepadu
yang disasarkan ke atas istana Presiden, Kementerian Kehakiman,
Kementerian Perlombongan dan sebuah bangunan pentadbiran Presiden,
kesemuanya terletak di pusat bandar.
Kejayaan militan itu menembusi pusat ibu negara dengan begitu mudah memperlihatkan cabaran besar yang dihadapi oleh Karzai.
Ia juga memberi tamparan kepada inisiatif terbaru beliau untuk
memujuk pejuang Taliban meletakkan senjata, inisiatif yang ingin
diumumkannya pada persidangan antarabangsa di London bulan ini.
Inisiatif tersebut adalah komponen penting dalam strategi baru
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang turut melibatkan
30,000 askar tambahan AS dikerahkan untuk memerangi pemberontak Taliban.
Serangan hari ini dilancarkan ketika sebilangan anggota Kabinet baru
Karzai mengangkat sumpah selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya
Presiden pada akhir tahun lepas.
Dalam serangan di ibu negara sebelum ini, pejuang Taliban menggempur
Kementerian Kehakiman dan bangunan kerajaan lain pada Februari lalu. -
Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan