Walaupun agak sukar menempuh kemenangan, namun sambutan rakyat semasa berkempen secara terbuka dan rayu undi rumah ke rumah kepada PR memberi petunjuk yang sangat memberangsangkan.
Pilihan raya Umum (PRU) yang lalu, perkampungan orang Melayu di Sibu sangat sukar ditembusi oleh pembangkang.
PRK kali ini dengan adanya PAS membantu calon DAP, sebuah bilik gerakan PR yang dikendali sepenuhnya oleh jentera PAS dapat ditubuhkan di Kg.
Hilir di DUN Nangka. PAS belum ada cawangannya di Sibu, namun kehadiran PAS tidak pula janggal kepada penduduk di situ. Bendera DAP dan PAS berkibaran di Kg. Hilir. Beberapa buah rumah turut mengibarkan bendera PAS, markas PAS tersergam di tengah-tengah Kg. Hilir.
Saban malam ada sahaja ceramah di adakan di markaz PAS, orang kampung masih belum bersedia menjadi tuan rumah.
Tetapi mereka sentiasa datang mendengar ceramah-ceramah oleh pimpinan PAS, PKR dan juga DAP. Di Kg. Hilir memang tidak pernah sebelum ini adanya ceramah-ceramah politik anjuran pembangkang.
Selain ceramah ada sahaja kegiatan di situ seperti khidmat dan rawatan kesihatan percuma, kaunter semakan daftar pemilih dan kaunter daftar ahli PAS dan ahli Dewan Himpunan Kelab Penyokong PAS. Setiap hari ada sahaja beberapa orang yang mendaftar sebagai ahli PAS dan ahli Kelab Penyokong PAS.
Kunjungan petugas PAS untuk merayu undi dari rumah ke rumah juga sangat positif sambutannya, walaupun cawangan PAS tidak wujud di situ, dan pimpinan PAS tidak pernah berkunjung ke situ sebelum ini, namun mereka tetap mengenali Tok Guru Nik Abd. Aziz, Tok Guru Hj Abd. Hadi, Mat Sabu, dan juga YB Dato' Seri Hj Nizar. Bila sebut sahaja Hj Nizar, mereka segera mengenalinya. Kesantunan YB Hj Nizar mengunjungi penduduk-penduduk tempatan memikat mereka.
Di Kg. Jeriah majoriti pengundinya juga Melayu. Kunjungan calon dengan diiringi oleh YB Dr. Zulkifli Ahmad, YB Dr. Maria, YB Senator Mumtaz Nawi dan beberapa pimpinan PR yang lain turut disambut dengan baik.
Mereka menemui pengundi dari rumah ke rumah. YB Hj Nizar juga sepatutnya turut mengiringi calon. Kami menukar strategi setelah melihat sekumpulan kaum wanita sedang berkumpul di masjid Kg. Jeriah.
Rombongan kami diketuai oleh YB Hj Nizar. Setelah menyapa dan memperkenalkan diri serta memberitahu tujuan kunjungan, mereka menyambut dengan mesra dengan baik. Saya memperkenalkan YB Dato' Seri Hj Nizar, tanpa diperkenalkan siapa Hj Nizar yang sebenar, mereka segera mengenalinya, spontan sebahagian yang hadir menjerit kecil ' ini Menteri Besar Perak'.
Rupanya mereka sedang menunggu kehadiran pegawai Amanah Ikhtiar yang dipanggil cikgu oleh mereka, hari ini adalah pertemuan mingguan peserta Amanah Ikhtiar.
Saya terus meminta izin untuk YB Hj Nizar berucap daripada Ketua kumpulan peserta Amanah Ikhtiar sementara menunggu cikgu mereka sampai. Spontan sahaja mereka menjawab tanpa berfikir panjang untuk membenarkannya. YB Hj Nizar pun menyampaikan ucapan dan berkempen, ucapan ringkas Hj Nizar disambut dengan tepukan. Reaksi orang ramai begitu positif.
Dalam masa yang sama, saya hubungi YB Dr. Maria untuk datang ke majlis yang tidak disangka-sangka menjadi program kempen PR. Sebaik Dr. Maria sampai, program Amanah ikhtiar baru sahaja dimulakan dan peserta Amanah Ikhtiar juag semakin ramai. Tidak juga disangka, pegawai tersebut turut memberi peluang dan kesempatan.
YB Dr. Maria, YB Mumtaz dan seorang anak tempatan menyampaikan ceramah ringkas. Walaupun ringkas, Penerangan mereka begitu menarik, mereka kelihatan seronok dan bertepuk tangan apabila mendengar penerangan-penerangan yang begitu menarik.
Dalam masa yang sama juga, YB Hj Nizar sempat menyapa dan membeli barangan jualan hasil pertanian penduduk tempatan sambil merayu undi.
Beberapa hari berada di Sibu sejak Isnin lepas, didapati mentaliti kebanyakan rakyat Sibu terutama bumiputera asli dalam politik masih rendah, begitu juga Melayu Melanau. Kefahaman terhadap politik semasa masih ketinggalan, ini berpunca dari kurangnya maklumat yang sampai kepada mereka.
Berbeza dengan pengundi Cina di bandar-bandar dan pinggir bandar. Mereka sangat terbuka pemikirannya dan bersedia menerima perubahan. Ini kerana akhbar-akhbar berbahasa Cina sangat adil dalam membuat liputan.
Namun pemikiran mereka masih terbuka sekiranya mereka diberi peluang untuk mendengar. Buktinya mereka bersedia mendengar dan tidak menyanggah apabila kita diberi peluang memberi penerangan.
Mereka tidak fanatik sebagaimana fanatiknya pengikut-pengikut UMNO BN di Semenanjung, suasana kempen juga tenang, tidak ada provokasi dari mana-mana parti. Tidak ada poster dan kain rentang yang dikoyak, mereka mengikut arahan SPR dan pihak polis.
Cuma apabila petugas-petugas UMNO BN dari Semenanjung mula membanjiri Sibu dan menumpu di kawasan majoriti Melayu, barulah bibit-bibit provokasi mula kelihatan.
Petugas-petugas muslimat diugut bukan oleh petugas tempatan tetapi pemuda-pemuda UMNO BN dari Semenanjung, petugas kita kenal bahasa yang mereka gunakan. Petugas-petugas muslimat yang sejak awal berada di Sibu merayu undi rumah ke rumah tidak merasa terancam keselamatan mereka oleh penduduk tempatan, hanya bila petugas UMNO BN dari Semenanjung mulai sampai, barulah terasa bibit-bibit provokasi oleh mereka sebagaimana yang biasa berlaku dalam PRK di Semenanjung sebelum ini.
Apapun angin perubahan tetap kelihatan di Sibu, terutama PAS yang sebelum ini tidak pernah dikenali di bumi Sibu, satu cawangan PAS pun tidak ada di Sibu, apatah lagi program-program PAS.
PRK kecil merupakan peluang keemasan untuk PAS diperkenalkan kepada rakyat Sibu terutamanya penduduk Islam. Hendaknya PAS negeri Sarawak bekerja dengan lebih keras bagi membolehkan PAS Kawasan dapat ditubuhkan selepas ini bagi membolehkan PAS bergerak lebih aktif dalam bidang dakwah, kemasyarakatan dan politik.
Ustaz Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Politik YAB Datuk Seri Nizar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan