Translate

Khamis, 4 November 2010

Dun Galas : Kira Undi.... Wakil Calon PAS Serah Surat Bantahan.


Wakil Calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas, Abdullah Hussein, membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membuat pengiraan undi di pusat pembuangan undi yang melibatkan empat daerah mengundi.
 
Abdullah yang hadir bersama peguam, Hisham Fauzi menyerahkan surat bantahan itu kepada Penolong Pengurus PRK Dun Galas, Mohammad Yusof Hassan, di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, dekat sini kira-kira pukul 3.15 petang ini.
 
Empat daerah terbabit adalah Belatin, Balar, Bihai dan Hau.
 
Bantahan tersebut dibuat berikutan keputusan SPR itu tidak memenuhi Seksyen 23A(1) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya 1981).
 
“Sungguhpun pihak SPR diberikan budi bicara di bawah perenggan (2) seksyen yang sama untuk mengarahkan supaya kertas-kertas undi dikira di tempat lain, budi bicara itu hendaklah digunakan dalam kes-kes yang ekstrem dan mempunyai kewajaran yang khusus,” katanya ditemui di pekarangan pejabat berkenaan.
 
Abdullah berkata, pengiraan undi perlu dilakukan di tempat pembuangan undi memandangkan jumlah pemilih di kesemua daerah terlibat terlalu kecil jumlahnya iaitu antara 160 hingga 278 orang.
 
“Oleh itu masa yang diperlukan untuk proses pengiraan adalah pendek iaitu kurang dari dua jam termasuk proses pengiraan semula, jika perlu,” katanya.
 
Beliau berkata, waktu mengundi di kesemua daerah mengundi tersebut ditutup jauh lebih awal iaitu jam 1.00 tengahari berbanding dengan pusat-pusat mengundi di daerah-daerah mengundi lain yang ditutup pada jam 5.00 petang.
 
Oleh itu tambahnya, proses pengiraan boleh dilakukan seawal jam 1.30 tengahari dan selesai selewatnya jam 3.30 petang.
 
“Tidak timbul masalah kelewatan atau kesukaran untuk membawa keputusan dan kertas-kertas undi yang telah dikira ke pusat penjumlahan kerana proses pengiraan selesai jauh lebih awal berbanding dengan daerah-daerah mengundi lain yang mungkin akan selesai dikira paling awal jam 6.30 petang,” katanya.
 
Tambahnya, jika kertas-kertas undi boleh dibawa keluar dengan helikopter untuk pengiraan, kaedah yang sama boleh digunakan untuk membawa keluar keputusan dan kertas-kertas undi yang telah dikira di pusat-pusat mengundi tersebut.
 
“Tambahan helikopter yang digunakan dilengkapi dengan peralatan avionic yang canggih untuk terbang dalam apa jua keadaan cuaca termasuk cuaca yang tidak baik,” sambungnya.
 
SPR memutuskan kesemua kertas undi tersebut akan dibawa ke Dewan Pusat Sivik, Bandar Baru Gua Musang untuk dikira.
 
Pada masa sama PAS juga mempersoal tindakan SPR tidak membenarkan wakil calon parti termasuk calon Barisan Nasional (BN) untuk menaiki helikopter bagi memastikan keselamatan peti undi tersebut.
 
Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff manakala PAS, yang mewakili Pakatan Rakyat, meletakkan Dr Zulkefli Mohamad yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang.
 
Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

HarakahDaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular