Translate

Sabtu, 13 November 2010

Zaman Kegelapan Islam Dan Ketibaan Era Kebangkitan Islam. (Bhg.11)


Ayat-ayat al-Quran menyeru manusia kepada etika keislaman. Melaluinya dunia akan menjadi tempat yang aman dan toleransi. Allah memerintahkan kita untuk memerintah dengan adil tanpa ada sebarang diskriminasi sesama manusia, untuk melindungi hak-hak manusia, tidak bertolak-ansur kepada kekejaman, menyokong pihak yang ditindas dengan kejam, dan menghulurkan tangan bagi membantu mereka yang memerlukan. Keadilan ini memerlukan seseorang untuk membuat keputusan dengan melindungi hak kedua-dua pihak, menganalisa peristiwa secara objektif, dan berfikiran tidak berat sebelah. Ia memerlukan keadilan, kejujuran, belas kasihan dan sayang-menyayangi.

Adalah jelas bahawa serangan-serangan tersebut seperti menentang penduduk awam tidak boleh dimaafkan. Seperti yang diterangkan di atas, cara tersebut tidak konsisten dengan ajaran Islam sama sekali. Apabila kita memeriksa ayat-ayat Al-Quran dan tingkah-laku Nabi Muhammad s.a.w., adalah jelas bahawa serangan terhadap penduduk awam bukan dari ajaran Islam. Sama ada semasa pembukaan Kota Makkah atau pun perang-perang yang lain, Baginda sangat berhati-hati melindungi hak-hak mereka yang tidak bersalah dan tidak bersenjata, dan menghalang mereka dari dicederakan. Baginda mengingatkan orang-orang Mukmin tentang perkara ini dalam pelbagai peristiwa, dan mengarahkan mereka supaya "Mulakan perang dengan nama Allah dan untuk Allah. Jangan letakkan tangan ke atas orang tua yang hampir mati, ke atas wanita, kanak-kanak dan bayi. Berbuatlah baik, yang mana Allah mencintai meraka yang berbuat baik dan beramal soleh" (Hadith riwayat Muslim). Umat Islam menentang kezaliman dan barbarisme, penggunaan senjata yang tidak perlu, dan segala macam praktis yang tidak adil.


Sewaktu peristiwa yang tercetus disebabkan oleh tindakan Israel membuka terowong yang telah ditutup selama berkurun-kurun, Menteri Kewangan Palestin telah diserang oleh askar-askar Israel yang menggunakan kayu (atas kiri). Israel menggunakan bom, peluru dan belantan bagi menentang perjuangan suci rakyat Palestin yang telah berlangsung selama lebih separuh abad.

Di dalam segala perbincangan tentang serangan ke atas penduduk awam Israel, topik lain yang mesti dilihat ialah tentang pembunuhan diri dalam Islam. Sesetengah golongan terlampau salah faham tentang Islam, percaya bahawa agama yang damai ini membenarkan serangan berani mati; ia jauh dari kebenaran. Hakikat bahawa Islam melarang seseorang dari membunuh diri, adalah seperti mana ia melarang seseorang dari membunuh orang lain. Allah mengutuk dengan jelas tentang perihal membunuh diri di dalam ayat "jangan membunuh diri." (An-Nisaa', 29). Tidak kira apa jua sebabnya, Islam mengharamkan seseorang dari membunuh diri. Nabi Muhammad s.a.w. turut mencela seseorang yang membunuh diri di dalam satu hadith, memberitahu bahawa mereka yang mengambil tindakan ini akan menerima azab keras untuk selama-lamanya: 

Sesiapa sahaja yang dengan sengaja terjun dari gunung dan membunuh diri sendiri, dia akan masuk Neraka dan jatuh di dalamnya dan kekal berada di dalamnya buat selama-lamanya; dan sesiapa yang meminum racun dan membunuh diri sendiri, dia akan membawa racun di tangannya dan meminumnya di dalam Neraka yang ia akan tinggal di dalamnya buat selama-lamanya; dan sesiapa yang membunuh diri dengan senjata besi, dia akan membawa senjata tersebut di tangan dan menikam-nikam perut dengannya di dalam Neraka tempat dia tinggal selama-lamanya. (Hadith riwayat Muslim)

Dunia sudah melihat apa yang sedang berlaku kepada Palestin selama lebih dari separuh abad. Penindasan yang kejam ini telah mendapat liputan akhbar-akhbar dari seluruh dunia setiap hari, dan dibaca pula oleh berbilion-bilion manusia.

Oleh itu, setiap umat Islam harus mengutuk insiden ini, yang menyulitkan lagi tindakan damai rakyat Palestin.

Haruslah diingat bahawa sebarang bentuk perjuangan yang diluar nilai-nilai Al-Quran - sebagai contoh, taktik "gerila" yang dicipta oleh ideologi komunis - adalah salah, dan tidak akan berjaya. Atas sebab ini, situasi semasa di Palestin mesti dipertimbangkan dengan berakal dan realistik, dan strategi baru yang konsisten dengan Al-Quran mesti diputuskan. Jika Palestin mahu melibatkan diri dalam perjuangan diplomasi dan budaya untuk menetang Israel, yang dari segi ketenteraan lebih berkuasa dari Palestin, berbanding jalan peperangan, ia bukan sahaja akan menjamin kejayaan yang lebih baik, malah akan mengakhiri penderitaan rakyat yang tidak bersalah.

Kesimpulan

Seseorang boleh berkata dengan lebih baik lagi, dan mengambil lebih banyak contoh tentang keadaan yang sedang berlaku di Palestin. Namun, apa yang tidak boleh kita lupa tanggungjawab setiap individu yang berkesedaran untuk berhadapan dengannya. Peristiwa di Palestin bukan hanya perang Arab-Israel. Ia mempunyai maksud yang lebih mendalam. Pertama sekali, umat Islam yang tanahnya telah dirampas sedang bergelut untuk mendapatkan keadilan. Tanah yang di per soalkan dianggap suci oleh keseluruhan dunia Islam. Rakyat Palestin menentang untuk meninggalkan Jerusalem, sebuah bandar kepunyaan dunia Islam. Inilah sebabnya mengapa setiap Mukmin mempunyai tugas untuk melancarkan peperangan idea terhadap ideologi-ideologi yang menyokong kepada penindasan berterusan di Palestin, dan juga turut berusaha mencari jalan penyelesaian.

Setiap mereka yang berkesedaran mesti memikirkan hakikat tersebut dan mencari jalan keluar. Seperti yang telah kami nyatakan di dalam bahagian lain di dalam buku ini, jalan keluarnya terletak pada usaha menyebarkan ajaran moral al-Quran kepada semua umat manusia di seluruh dunia. Ia satu-satunya cara untuk membawa kedamaian dan persaudaraan, sama ada di Palestin atau di negara-negara lain yang sedang mengalami peperangan dan konflik. Jika keadilan, kerjasama, kasih-sayang, cinta, sanggup berkorban dan saling bermaafan yang merupakan moral yang dituntut di dalam Al-Quran dapat menguasai dunia, kesannya dunia akan menjadi satu tempat yang adil, damai dan selamat. 

Melalui ayat "Dan hendaklah ada di antara kamu se golo ngan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; dan merekalah orang-orang yang beruntung" (Ali-Imran, 104), Allah menarik perhatian orang-orang yang beriman terhadap tugas yang mulia ini. Maka apa yang umat Islam perlu lakukan adalah hidup berdasarkan moral yang dapat menarik keredaan Allah, menerangkan kepada manusia lain, dan menyebarkan moral al-Quran ke serata pelusuk dunia.
Bersambung......

Harun Yahya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular