Pakatan Rakyat (PR) memberi khuatir kadar
kenaikan harga makanan sekarang jika tidak dikawal akan menyebabkan rakyat
terpaksa membayar 30 peratus lebih tinggi berbanding enam tahun lalu dan
berulangnya situasi 2008.
“Pada kadar kenaikan harga makanan, dijangka pada akhir 2011 (tahun ini),
rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih dari harga kos setiap jenis makanan
berbanding 2005.
“Sepanjang enam tahun tersebut harga makanan telah naik sebanyak 30 peratus
sedangkan kenaikan upah di negara ini puratanya sekitar 2.6 peratus dari tahun
2001 sehinggga 2010,” kata Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim
(gambar).
Anwar, bekas menteri kewangan berkata, statistik inflasi terbaru dikeluarkan
Bank Negara untuk empat bulan antara Januari dan April lalu begitu
membimbangkan.
“Saya prihatin dengan kenaikan sebanyak 4.9 peratus harga makanan dan minuman
tidak beralkohol dari bulan Januari sehingga bulan April tahun ini sekiranya
dibandingkan dengan harga makanan serta minuman tidak beralkohol untuk jangka
masa yang sama tahun lepas,” katanya.
Kata beliau, jika kenaikan itu tidak dibendung dan kekal untuk bulan
seterusnya, tahun ini akan mencatatkan kenaikan harga makanan kedua tertinggi
semenjak 2006.
“Kenaikan ini akan menambah derita rakyat sepertimana pada tahun 2008 lalu
apabila harga makanan naik sehingga 8.8 peratus, akibat kenaikan mendadak harga
minyak dan petrol” kata beliau lagi.
Dalam kenyataan itu, kata Anwar, harga makanan di Malaysia naik dua kali
ganda jika dibandingkan dengan harga makanan seluruh dunia sepanjang empat bulan
pertama tahun ini.
Katanya, perbandingan antara Indeks Harga Pengguna (CPI) dilaporkan oleh
Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan
statistik dikeluarkan Bank Negara menunjukkan ramai rakyat Malaysia bakal
terkesan dengan tindakan terburu buru kerajaan merasionalisasi subsidi.
Malah kata Anwar, PR yakin wujudnya kaitan akibat dari penarikan subsidi buat
rakyat Malaysia dengan kenaikan harga makanan sebagaimana yang dicatatkan
sepanjang empat bulan pertama tahun ini.
Oleh itu kata Ketua Pembangkang di Parlimen, alasan kerajaan untuk menarik
kembali subsidi atas alasan boleh meringankan beban defisit belanjawan ternyata
lemah.
“Jelasnya rakyat yang terkesan akibat daripada program rasionalisasi tersebut
sedangkan pembaziran serta ketirisan yang mengakibatkan defisit tidak pula
diatasi sesegera mungkin.
“Rakyat mula muak dengan tatakelola ekonomi yang lemah oleh BN apabila mereka
terpaksa menanggung derita sedangkan kroni dan mereka yang dekat dengan
pemerintah mendapat keuntungan yang bukan sedikit malah tidak pula dihukum,”
katanya lagi.
Ahli Parlimen Permatang Pauh ini berkata, PR telah merangka langkah yang
jelas dan beriltizam untuk mengurangkan defisit belanjawan negara serta berusaha
memastikan upaya itu tidak membebankan rakyat sebagaimana terkandung dalam Buku
Jingga.
“Langkah ini termasuklah menarik kembali subsidi korporat berjumlah RM19
bilion yang diberikan kepada elit serta syarikat yang dekat dengan pemerintah
termasuklah syarikat IPP.
“Kita juga akan berusaha menghapuskan rasuah yang telah merugikan kerajaan
persekutuan sekitar RM28 bilion setiap tahun,” katanya lagi. MK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan