
Dalam perbualan dengan Bernama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar ekonomi mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis lalu.
Muhyiddin dilaporkan menyeru rakyat Malaysia supaya mempersiapkan mental masing-masing untuk menghadapi kenaikan harga pelbagai produk berikutan kenaikan harga minyak dan penurunan jumlah bekalan makanan yang diakibatkan oleh perubahan iklim sejagat.

"Jika ini dilakukan, orang ramai tidak akan terlalu merasai bebannya apabila negara menghadapi kenaikan kos dan inflasi kelak," katanya.
Kuasa pasaran
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N Marimuthu berkata, dalam menghadapi hakikat baru ekonomi ini, orang ramai perlu diberi kefahaman mengenai perkara penting dalam kehidupan mereka seperti kuasa pasaran, sistem dan mekanisme penetapan harga serta penyusunan semula subsidi.

“Orang ramai perlu disedarkan bahawa kita tidak boleh melarikan diri daripada kesan kenaikan harga minyak dan perubahan iklim, yang kesemuanya merupakan fenomena global," kata Marimuthu (atas, kiri).
Beliau berkata, oleh kerana faktor luaran mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap harga, maka orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi keadaan yang amat mencabar pada masa akan datang.

Ekonomi global
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Maamor Osman pula berkata, beliau menerima hakikat bahawa memang bukan mudah untuk mengubah mentaliti orang ramai, tetapi beliau berharap mereka akan kurang membeli barangan yang tidak begitu diperlukan agar mereka mempunyai lebih banyak wang untuk membeli barangan keperluan.

Orang ramai juga perlu berusaha meningkatkan kemampuan membeli masing-masing termasuk dengan meningkatkan kemahiran diri untuk membolehkan mereka menambah pendapatan.
Mengenai cara untuk menambah bekalan makanan, kata beliau, walaupun penduduk bandar menghadapi masalah untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan akibat kekurangan tanah, persatuan penduduk boleh menggunakan tanah kosong, termasuk di bawah talian bekalan elektrik, untuk bercucuk tanam dan berkongsi hasilnya.

Kata beliau mentaliti ini perlu dikikis secara berperingkat dan walaupun inflasi serta harga barangan perlu dikawal, orang ramai juga perlu berhenti daripada membazirkan sumber, tidak kira sama ada yang murah atau mahal seperti tenaga elektrik, air dan bahan bakar.
Gurmit berkata oleh kerana harga tenaga elektrik di Malaysia adalah antara yang termurah di rantau ini, maka ramai rakyat Malaysia tidak begitu mengambil berat untuk mengunakannya secara cekap.
Bazir elektrik
"Orang miskin dan orang kaya semuanya membazirkan tenaga elektrik; mereka rasa, oleh kerana ia murah, maka mereka boleh membazirkannya. Mereka sepatutnya sedar bahawa sumber itu tidak boleh dibazirkan...mereka kena belajar memuliharanya," katanya.

"Ada orang memandu kereta ke kedai berhampiran rumahnya semata-mata untuk membeli senaskhah surat khabar. Kenapa mereka tidak berjalan saja? Ini bukan hanya menjimatkan bahan bakar, tetapi juga suatu senaman yang baik," katanya.
Beliau juga menyeru rakyat negara ini supaya mengamalkan sikap berjimat-cermat dan menikmati kehidupan berkualiti.

Dr Yeah Kim Leng, pakar ekonomi kumpulan RAM Holdings Berhad, berkata syarikat perniagaan dan pengguna perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan kenaikan harga yang berpunca daripada hakikat baru ekonomi.
Buat pilihan
Untuk membolehkan mereka menyerap kenaikan kos, beliau berkata syarikat perniagaan perlu memberi fokus terhadap usaha meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

"Pengguna juga patut memilih barangan atau perkhidmatan yang lebih murah...terdapat begitu banyak pilihan di pasaran,' katanya.
Di samping menyeru pengguna supaya mengamalkan sikap berhemat dalam berbelanja dan tidak membeli barangan yang tidak begitu diperlukan, beliau juga menegaskan bahawa penyusunan semula subsidi perlu dilakukan untuk memastikan ekonomi negara berada dalam keadaan sihat dan defisit pula dapat dikurangkan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan