Kerajaan akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95
bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya, kata
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob hari ini.
Beliau berkata kajian semula oleh kementerian itu
bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan
Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) akan menentukan sama ada harga sedia ada
kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.
"Mengikut
pelan Rasionalisasi Subsidi, satu kajian semula akan dibuat enam bulan sekali
terhadap subsidi semua produk. Jadi untuk petrol RON95, diesel dan LPG (gas
cecair asli) kajian terakhir dibuat pada Disember tahun lepas.
"Ini
bermakna bulan ini atau awal Jun akan berlaku kajian semula untuk pertengahan
tahun...saya tidak boleh memberi gambaran apa yang akan berlaku, tetapi kajian
akan berlaku dan tanggungan subsidi oleh kerajaan adalah tinggi," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat di
Ipoh hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan
semasa harga petrol RON95 berikutan harga petrol RON97 kini meningkat kepada
RM2.90 seliter.
Harga RON97, yang diapungkan mengikut harga pasaran
minyak semasa, naik 20 sen ke RM2.70 seliter pada 2 April lepas ekoran krisis
Timur Tengah manakala kali terakhir harga RON95 naik adalah pada Disember tahun
lalu iaitu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.
Ismail Sabri berkata
walaupun sebelum ini beliau berkata harga minyak tidak dinaikkan pada masa
sekarang, tetapi ia tidak menjamin harga minyak akan kekal selama-lamanya kerana
tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum pada masa sekarang adalah
tinggi.
"Tahun lepas, tanggungan subsidi kerajaan (bagi produk petroleum)
adalah RM8 bilion apabila harga minyak dunia meningkat, dan tidak nampak trend
itu akan menurun. Kalau keadaan itu berterusan, tanggungan subsidi kerajaan akan
menjadi RM18 bilion tahun ini iaitu kenaikan RM10 bilion,"
katanya.
Beliau berkata sekiranya subsidi dikurangkan, jumlah peruntukan
RM10 bilion itu dapat digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, jalan-jalan
kampung, projek perumahan rakyat serta memberi lebih banyak bantuan
pelajaran.
Katanya rakyat perlu sedar jumlah subsidi besar yang
ditanggung kerajaan sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi
manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat. MK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan