Harga petrol RON95 dijangka mengalami kenaikan
20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga
kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika,
demikian menurut AmResearch. Firma penyelidikan pelaburan itu menganggarkan
Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95
berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia
naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan
paras AS$100 setong pada 2008.
Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen
kepada RM1.90 seliter. RON97 sudah naik empat kali tahun ini termasuk awal bulan
ini untuk dijual RM2.90 seliter sekarang.
Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin
berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.
Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai
rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan.
Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang
sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia.
Kalau kekal dengan keadaan sekarang kemungkinan besar dari segi unjurannya,
kata beliau, subsidi akan bertambah daripada RM10.3 bilion kepada RM17
bilion.
AmResearch juga berkata, subsidi petrol akan menyebabkan defisit fiskal
kerajaan meningkat sehingga enam peratus berbanding 5.4 peratus jika RON95 kekal
dengan harga semasa RM1.90 seliter sepanjang tahun ini.
“Kesemua faktor menunjukkan ke arah kenaikan harga RON95,” kata firma itu
sambil menambah, dengan mengambil kira kenaikan berterusan harga global bagi
minyak mentah dan kemungkinan naik lagi pada masa depan, kerajaan kini tersepit
antara mengamalkan urus tadbir fiskal seimbang dan keperluan menggambarkan ia
mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
Justeru, AmResearch berkata kerajaan boleh memberi rebat dan menyusun semula
skim saraan sektor awam untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah, yang
dihimpit dengan beban pemotongan subsidi.
Firma itu juga menambah, ia menjangkakan bahawa kadar inflasi akan naik
mendadak ke arah empat peratus dalam waktu terdekat susulan pusingan pertama
impak potongan subsidi ke atas makanan, pengangkutan dan tenaga.
“Secara purata, inflasi tahun ini mungkin melepasi kadar 3.5 peratus yang
telah diramalkan sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ia akan masih rendah berbanding 8.5 peratus, paling
tinggi dalam 25 tahun, yang dialami pada Julai dan Ogos 2008.
Semalam, Ismail Sabri (gambar) berkata, kerajaan pusat akan
mengumumkan perkembangan langkah rasionalisasi subsidi termasuk pelarasan harga
petroleum minggu ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan kaedah paling
sesuai untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan itu.
“Tunggulah (pengumuman) dalam masa seminggu ini... kita akan membuat
keputusan sama ada ingin meneruskan subsidi petrol, diesel dan gas memandangkan
jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat dari RM8 bilion kepada
RM18 bilion,” katanya.
Dalam satu kenyataan petang semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim menjangkakan tarif elektrik dinaikkan bulan depan, tetapi mahu
pentadbiran Najib mengkaji balik konsesi pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan
Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak membebankan rakyat.
Di sebalik kenyataan demi kenyataan mengenai kemungkinan pemotongan bakal
dibuat oleh Putrajaya, beliau berkata, beliau sudah sekian lama menegaskan
sekitar RM22 bilion subsidi gas yang diberi kepada IPP tidak memberi makna
kepada rakyat, sebaliknya ia hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan
kroni rapat dengan pemerintah.
The Malaysian Insider difahamkan Kabinet dalam mesyuarat mingguannya
esok akan menyentuh soal itu.
Ketua Umum Pakatan Rakyat ini berkata, merujuk kepada kenyataan demi
kenyataan dikeluarkan oleh beberapa menteri berkaitan, kemungkinan tarif
elektrik dijangka naik bulan depan.
Anwar berkata, isu kenaikan tarif elektrik negara ini berkait rapat dengan
perjanjian berat sebelah dipaksa ke atas TNB untuk dimeterai bersama dengan IPP
terutamanya dengan pengeluar tenaga swasta generasi pertama. Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan