Empat hari selepas pasukan elitnya menembak mati Osama bin Laden, Presiden
Barack Obama mengadakan pertemuan dengan anggota bomba dan polis semalam dan
melawat “Ground Zero” — tapak Pusat Dagangan Dunia yang ranap dalam serangan 11
September 2001.
George W. Bush, yang digantikan oleh Obama awal 2009, pernah berada di lokasi
itu tiga hari selepas peristiwa 11 September sambil mengisytiharkan bahawa
“mereka yang meranapkan bangunan ini akan dengar daripada kita dalam waktu
terdekat.”
Hampir satu dekad kemudian, Obama datang ke New York untuk mengatakan bahawa
janji itu telah ditunaikan.
Obama berkata kematian Osama memberitahu kepada dunia bahawa “apabila kami
mengatakan kami tidak akan melupakan, kami melakukan apa yang dikatakan.”
Presiden itu mengadakan kunjungan ke balai Engine 54 yang kehilangan 15
anggotanya, angka tertinggi pada 11 September 2001 berbanding mana-mana balai,
sebelum menuju ke Lower Manhattan untuk bertemu dengan anggota polis sebelum
meletakkan kalungan bunga di “Ground Zero”.
Obama juga mengadakan pertemuan dengan keluarga-keluarga mangsa.
Dua pesawat merempuh menara berkembar Pusat Dagangan Dunia pada pagi 11
September, sekali gus mengejutkan satu dunia.
Rangkaian Al-Qaeda mengambil tanggungjawab atas peristiwa itu.
Obama memberitahu anggota bomba di stesen Pride of Manhattan: “Saya datang ke
sini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda.”
“Ini adalah lokasi simbolik pengorbanan luar biasa yang dibuat pada hari yang
cukup dahsyat hampir 10 tahun lalu,” katanya.
“Tidak kisah siapa yang mengambil tanggungjawab, kita hendak memastikan
bahawa penyebab tindakan dahsyat itu — mereka terima penghakiman,” kata beliau
lagi.
Amerika Syarikat akan menyambut ulang tahun peringatan ke-10 peristiwa 11
September tahun ini.
Osama terbunuh dalam serangan pasukan elit Amerika Syarikat di timur laut
Islamabad, Pakistan awal pagi Isnin lalu. — Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan