Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), kelmarin telah menghantar
memorandum kepada Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah
berhubung bantahan terhadap isu penjualan Pulau Mentukod, Mengalum dan
Pandanan sebagaimana yang didedahkan akhbar tempatan baru-baru ini.
Memorandum diserahkan sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri
Sabah, Lahirul Latigu kepada wakil Setiausaha Politik Ketua Menteri,
Noorlaimah Marjan yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa
Aman.
Penyerahan dilakukan di Pejabat Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wisma Innoprise.
Dalam memorandum yang diserahkan, DPPNS mengalu-alukan kenyataan
balas yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk
Osman Jamal berkaitan isu penjualan pulau tersebut.
"DPPNS berpendapat kenyataan tersebut masih kabur tentang perihal hak dan khazanah negeri Sabah agar terus terpelihara.
"Timbul persoalan, bagaimana dengan mudahnya berlaku pertukaran tanah
atau land swap antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan
pemaju yang hanya dikenali sebagai Wisma Pertanian terhadap Pulau
Mengalum sedangkan ianya terletak di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) yang
sedia maklum sangat bernilai dan menjadi tarikan pelancong,” kata
Lahirul.
Tambah Lahirul, transaksi ini sebenarnya telah menyebabkan kerajaan
kerugian jutaan ringgit di samping kehilangan khazanah bernilai buat
Malaysia amnya dan negeri Sabah khususnya.
Beliau juga turut menggesa agar kerajaan negeri Sabah di bawah
kepimpinan Barisan Nasional agar menyatakan dengan jelas mengenai
siapakah Syarikat Pemaju Wisma Pertanian dan individu yang
bertanggungjawab di sebalik syarikat tersebut.
"Nyatakan siapakah individu terbabit dan jika urusniaga tersebut
dibuat tanpa autoriti pihak terbabit, maka ini boleh dianggap sebagai
pencabulan terhadap hak pulau tersebut.
"Perjelaskan juga, bagaimanakah Pulau Montukod dan Pandanan yang
berstatus Native Title (NT) boleh dijual di pasaran antarabangsa
sedangkan kebenaran (pulau-pulau berkenaan) hanya untuk aktiviti
pertanian,” tegas beliau.
DPPNS juga, katanya mempersoalkan mengenai status penganugerahan
pulau tersebut yang telah dilakukan pada sebelum ini daripada kerajaan
Barisan Nasional.
“Apa tindakan yang perlu dilakukan untuk memastikan kepentingan hak bersama terjaga?
"Sekiranya Jabatan Tanah dan Ukur boleh menguatkuasakan Seksyen 42,
Ordinan Tanah Sabah, Bab 8 bagi merampas hak Tanah Adat terhadap
penduduk-penduduk kampong dipedalaman, maka ia juga sepatutnya mampu
untuk menguatkuasakan undang-undang yang berada di ruang lingkup yang
sama bagi menjaga kepetingan rakyat Sabah secara keseluruhannya.
"Adalah memalukan jika pulau yang memiliki ratusan hektar, yang
mempunyai kepentingan maritime dan kedaulatan Negara dibiarkan sahaja
terlepas kepada pihak asing tanpa ada tindakan prerogative dan
bersungguh-sungguh pihak kerajaan mempertahankannya.
"DPPNS mengulangi pendirian agar pihak kerajaan menghalang penjualan
pulau-pulau tersebut memandangkan ia akan mendatangkan banyak kerugian
terutama kepada khazanah berharga yang menjadi hak kepada seluruh rakyat
Sabah," katanya.
Turut mengiringi adalah Ketua AMK Sabah Saudara Jefri Jomion bersama
AMK Sabah, wakil Pemuda DAP (DAPSY) Sabah di samping Pemuda Pas dan
penyokong. HarakahDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan