Translate

Senarai Blog Saya

Ahad, 18 Disember 2011

SBPA: Jangan cetus ‘perang’ dengan kakitangan awam, Cuepacs beri amaran


Isu projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) turut menjadi perhatian perhimpunan membantah Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) petang ini, dengan pemimpin kanan Cuepacs memberi kerajaan amaran - jangan mencetuskan “perang” membabitkan kakitangan awam yang rata-rata tidak puas hati dengan sistem gaji baru ini.
Pelaksanaan SBPA dilihat akan menjadi satu lagi ujian kepada pentadbiran Najib menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.
Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail berkata, pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini, sudah pun mencetuskan rasa tidak senang di semua lapisan perkhidmatan awam khususnya mereka dalam Kumpulan Pelaksana.
Kumpulan Pelaksana sebelum ini dikenali sebagai kakitangan Kumpulan Sokongan I dan II.
“Saya minta kerajaan jangan cetuskan perang, kakitangan awam ada 1.4 juta orang, saya berharap kerajaan jangan wujudkan pertikaian dengan melaksanakan SBPA,” kata beliau yang menimbulkan isu NFC, projek ternakan lembu yang dikaitkan dengan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Shahrizat Abdul Jalil, yang juga Ketua Wanita Umno, dalam ucapannya.
Kemudian ketika ditemui The Malaysian Insider, Zainal yang juga pemimpin kanan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia berkata, ramai beranggapan bahawa projek NFC yang menggunakan RM250 juta dana awam itu sebagai satu pembaziran.
“Mengapa RM250 juta boleh dibazirkan dalam projek lembu, kata nak keluarkan lembu dalam setahun dalam sekian-sekian jumlah, tetapi tak jadi, gagal,” soal beliau yang menyamakan mengapa kerajaan tidak boleh memberi manfaat lebih baik bagi kakitangan awam menerusi SBPA.
Masalah dan kegagalan projek NFC ditimbulkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.
“Kerajaan kata gunakan hampir RM3 bilion untuk melaksanakan SBPA, siapa rasai jumlah yang besar? (Difahamkan) seramai 36 penjawat Kumpulan Premier dapat bahagian peruntukan (dalam bentuk perubahan gaji) hampir RM200 juta, hanya sekitar RM300 juta bagi Kumpulan Pelaksana,” katanya lagi.
Rata-rata kesemua pemimpin yang bercakap pada perhimpunan petang ini melahirkan rasa tidak puas hati yang timbul khususnya berkaitan perubahan gaji di bawah SBPA.
SBPA menyediakan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis sekarang.
Ketika membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perubahan gaji - kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus.
Ia sebahagian daripada langkah menjadikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Cuepacs mendakwa kenaikan gaji bagi kebanyakan kakitangan awam khususnya Kumpulan Pelaksana adalah kurang daripada tujuh peratus, yang turut menjadi harapan.
Satu slaid yang ditunjukkan kepada lebih 2,000 orang yang menghadiri perhimpunan hari ini menunjukkan penjawat kategori JUSA C menerima kenaikan hampir 45 peratus di peringkat permulaan gaji berbanding Sistem Saraan Malaysia (SSM).
SBPA akan menggantikan SSM.
Maklumat itu menunjukkan kategori Satu JUSA C menerima gaji permulaan RM$6,595 di bawah SSM dan akan dibayar RM$12,000 jika menerima SBPA, Kategori Dua (SSM RM$7,236; SBPA RM$12,645), Kategori Tiga (SSM RM$7,939; SBPA RM$13,345), Kategori Empat (SSM RM$8,710; SBPA RM$14,115) dan Kategori Lima (SSM RM$9,480; SBPA RM$14,885).
Cuepacs mahu membangkitkan lima poin komponen dalam SBPA semasa pertemuan dengan Najib minggu ini.
Dua poin utama ialah menangguhkan urusan penerimaan opsyen dan membatalkan dasar pemisah atau ‘exit policy’.TMI
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular