Translate

Rabu, 28 November 2012

Analisis: Umno Semakin Goyah Untuk PRU13.



Umno mengadakan Perhimpunan Agung mereka mulai semalam  hingga 1 Disember ini. Tema himpunan ini dipercayai menjurus kepada kesatuan dan perpaduan dalam Umno dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bagi memperkemaskan agenda perpaduan ini, Umno menubuhkan satu pasukan khas untuk mendisiplinkan ahli-ahli dan pimpinannya, dari membuat tindakan mensabotaj Umno dari dalam.

Persoalannya, kenapa agenda ini terpaksa dicanangkan Umno menjelang pilihan raya umum ke 13 ini? Ramai yang berkata, ia berkait rapat dengan kebimbangan besar Umno sekarang dalam isu ini.

Dimaklumkan juga bahawa, antara punca presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak gagal membubarkan Parlimen walaupun beberapa percubaan dibuat, adalah kerana isu perpaduan ini. Sampai sekarang, Umno belum berjaya mencapai kata putus tentang senarai calon-calonnya.

Pun begitu, mahu tidak mahu, pilihan raya perlu diadakan juga selewat-lewatnya Mac tahun depan walaupun Najib boleh membuatnya selepas tarikh itu apabila Parlimen terbubar dengan sendiri.

Jika begitu, Perhimpunan Agung ini adalah perhimpunan terakhir menjelang pilihan raya umum akan datang. Dua minggu lalu PAS membuat muktamarnya di Kota Bharu iaitu dari 14 hingga 18 November.

Sebenarnya, apakah masalah perpaduan yang berlaku dalam Umno ini? Ianya tidak lain dan tidak bukan rasa tidak puashati yang membuak-buak di kalangan pimpinan Umno terhadap Datuk Seri Najib selaku presiden yang dilihat terlalu bergantung kepada isterinya.

"Bayangkan, Rosmah boleh menyertai mesyuarat Majlis Tertinggi Umno," kata seorang pemimpin Umno.

Apabila ditanya, betulkah maklumat ini, dia berkata "Tanyalah kepada mana-mana ahli MT, mereka akan sahkan. Beberapa mesyuarat MT turut disertai Rosmah."

Selain faktor itu, faktor tidak berpuashati dengan pendekatan Najib juga menyebabkan timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin dikatakan mahu mengambil kesempatan untuk menggantikan beliau.
Menurut sumber media, Muhyidin telah berjaya meletakkan orang-orangnya di kebanyakan media milik Umno iaitu kumpulan Utusan dan kumpulan Media Prima.

(Muka depan Utusan hari ini)

"Di NST, hanya Datuk Jalil Hamid (Editor Pengurusan Kumpulan) sahaja orang Najib. Di bawah beliau semuanya orang Muhyidin," kata seorang rakan media.

Sebab itulah, berita-berita Muhyidin berjaya berada di tempat yang utama dalam media-media milik Umno ini.

Menurut sumber itu, Muhyidin berdiri di atas penyokong-penyokong Tun Dr Mahathir yang berlambak di dalam Umno.

Hatta, SMS beredar sekarang, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor juga sudah beranggapan ini adalah sessi terakhir untuk Najib sebagai Presiden.

Jika Najib gagal capai keputusan 2/3 dalam pilihan raya umum ini, dia dianggap gagal sebagaimana Pak Lah dianggap gagal. Apatah lagi kalau kerajaan BN jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Itu senario yang berlaku di dalam Umno menjelang perhimpunan mereka hujung bulan ini. Apa pula tindakan PAS? Inilah isu yang perlu di perhatikan.

Ketika perpecahan dalam Umno ekoran pertembungan Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah 1987 dahulu, kepimpinan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Nor telah membuka pintu PAS seluas-luasnya untuk disertai oleh pemberontak dalam Umno ini.

Begitu juga apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno. Ustaz Fadzil telah bertemu sendiri dengan Anwar pada hari beliau dipecat di rumahnya dekat Bukit Damansara.

Hasil kedua-dua tindakan itu Kelantan kekal bersama PAS sehingga kini di samping kemenangan besar PAS pada pilihan raya 1999 dan 2008.


Meluat

Pertembungan yang berlaku dalam Umno sekarang agak berbeza dari segi bantuknya. Ia belum lagi melibatkan pemimpin besar tetapi peringkat akar umbi dalam Umno.

Mereka mula meluat dengan salah laku dan salah guna kuasa dalam parti itu yang melibatkan segala projek kerajaan.

Sekurang-kurangnya tiga bekas pemimpin Umno yang menyertai PAS dan PKR (Datuk Tamrin Ghafar, Datuk Yahya Lampong dan Datuk Kadir Sheikh Fadzil) meletakkan semua kesalahannya kepada Dr Mahathir.

Bagi mereka, Mahathir telah mengubah segala perkara yang selama ini menyatukan orang Melayu di dalam Umno. Beliau dikaitkan dengan kepentingan kroni dan sebagainya.

Ketika media menyerang tingkah laku beliau dalam Petronas dan tender untuk anak-anaknya, secara terbuka tetapi sinis Mahthir beliau menyerang musuh tegar beliau dalam Umno yang bernama Khairy Jamaludin Abu Bakar.

Hinggakan ada berita yang mengatakan, Khairy sudah menandatangani watikah perlantikan beliau sebagai timbalan menteri baru-baru ini namun nama beliau sampai sudah tidak diumumkan oleh perdana menteri Najib, dikaitkan dengan Mahathir.


Deepak


(Muhyidin kelihatan bakal memimpin Umno...di mana Najib.. foto TMI)

Pemberontakan sedang berlaku dalam Umno. Masing-masing tidak berpuashati dan menganggap Umno sudah busuk hingga ke ususnya. Umno sudah tidak boleh diperbaiki lagi. Siapa saja bakal pemimpin Umno akan hadapi masalah ini hatta Muhyidin sekalipun.

Namun, Muhyidin yakin dia mempunyai pendekatan yang betul untuk hadapi musuh utama Umno iaitu PAS. Ucapan Muhyidin di perhimpunan sayap Umno semalam memberikan indikasi pendekatan yang bakal digunakan Muhyidin. Jelas, PAS adalah sasaran Muhyidin. Ini kerana Muhyidin tahu PAS lah bakal merebut pengundi Melayu yang kini menjulang Umno di puncak kuasa.
Muhyidin kelihatan jelas dengan sasarannya. Ketika Muhyidin berucap menetapkan halatuju yang ditawarkan beliau kepada Umno, semua media alternatif termasuk Harakahdaily menyiarkan temubual khas mereka dengan Deepak Jaikishan, rakan baik isteri Najib, Rosmah Mansor sebelum ini.

(Laporan dari 3 media mengenai kenyataan Deepak semalam)

Deepak menjelaskan, beliau sangat rapat dengan Rosmah dan pernah mendapat peluang perniagaan bernilai hingga bilion ringgit hasil hubungan tersebut.

Namun kerana salah faham dalam projek besar untuk menyelamatkan Najib selepas keluarnya Kenyataan Bersumpah (SD) P Balasubramaniam, Deepak diketepikan.

Bukan sahaja diketepi bahkan disusahkan apabila lebih 50 penguatkuasa undang-undang negara dihantar ke rumah, pejabat dan kilang milik Deepak.

Deepak memang mengaku dia dihubungi di tengah malam agar membantu Najib menghadapi SD Bala itu yang mendakwa Najib ada kaitan dengan kematian Altantuya Shariibuu.

Deepak berjaya membantu Najib apabila Bala bersetuju membuat satu SD lain keesokannya dan sekaligus menarik balik SD yang pertama. Bala membuat U - Turn, dari Najib bersalah kepada Najib tidak bersalah.

Namun, kerana tidak berpuashati dengan janjinya, Bala sekali lagi membuat U-Turn dan mendedahkan kenapa beliau berbuat demikian.

Lalu Deepak dipersalahkan dan 50 penguatkuasa dihantar ke rumah, pejabat dan kilang beliau. Hasilnya semua dokumen perniagaan yang berkaitan dengan keluarga PM diambil oleh penguatkuasa itu dan tidak dipulangkan sehingga sekarang.

Lalu timbul persoalan, kenapa pendedahan ini dibuat ketika Muhyidin mengajak Umno mengambil pendekatan baru dalam menghadapi Pakatan Rakyat.

Kenapa ia timbul menjelang perhimpunan agung Umno yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang.

Pembaca lebih cerdik untuk menyambung analisa ini.Sumber

Selasa, 27 November 2012

As-Syahid Sheikh Ahmed Yassin: Bapa Intifadah Yang Syahid Diatas kerusi Rodanya.


 Sheikh Ahmed Yassin
Sheikh Ahmed Yassin

22 Mac 2004 , tarikh keramat tidak mungkin dilupai segenap rakyat Palestin. Subuh itu, suasana hening diiringi suara Azan di bandar Gaza. Hamba ALLAH SWT yang datang berduyun-duyun untuk menunaikan solat juga tidak ada bezanya.

Tetapi sejurus berakhirnya solat Subuh... bandar Gaza tiba-tiba dikejutkan deruman helikopter. Sheikh Ahmed Yassin yang muncul dari masjid ditembak dengan tiga bedilan roket dari helikopter Apache tentera Israel.

Bandar Gaza bergegar kerana sebutir peluru berpandu meluncur tepat ke arah pemimpin agung Hamas (Al-Harakatul Muqawwamatul Islamiyah) yang dicintai seluruh rakyat Palestin itu. Beliau syahid!

Suasana menjadi kelam kabut. Orang lari bertempiran. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Impian Sheikh Ahmed syahid tercapai. Jasadnya hancur bersama kerusi roda yang setia menemaninya sekian lama. Hampir seluruh tubuh hancur kecuali kepalanya.

Tindakan Israel itu amat kejam kerana pemimpin Palestin itu hanya seorang tua yang lumpuh lagi lemah. Pergerakannya hanya menggunakan kerusi roda selain mengalami pelbagai lagi keuzuran.


Namun, buat Israel, beliau dilihat sebagai ancaman kepada rejim Zionis itu dan perlu dihapuskan dengan apa cara sekalipun. Asap tebal memenuhi ruang angkasa Gaza.

Lima minit sebelum kejadian, anaknya, Abdul Ghani yang terselamat daripada serangan itu berbisik kepada bapanya, "Ayah, di luar kedengaran bunyi helikopter yang ingin memburumu.”


Syeikh Ahmed dengan tenang menjawab, “Biarkanlah. Aku juga sedang menunggu.”

Hari itu, enam orang termasuk dua pengawal dan seorang anak lelakinya terkorban manakala 17 yang lain cedera. Seluruh rakyat Palestin berkabung. Air mata mengalir dari pencinta jihad hingga kanak-kanak, golongan kaya, marhaen, semua umat Nabi Muhammad SAW dari seluruh Gaza hingga ke serata pelosok dunia.


Hari itu gugurlah seorang pejuang yang mengorbankan seluruh hidupnya untuk Islam. Seorang pejuang yang tidak membuatkan jihad itu terhenti walau sesaat. Jihad hingga ke titisan darah terakhir yang membuatkan rejim Zionis tidak senang duduk.

Ketika hayatnya, As-Syahid Sheikh Ahmed pernah berkata dengan berani, “Yakinlah, akan tampil mujahid baru menyambung tugas mereka yang telah pergi. Hamas bersiap sedia untuk mempersembahkan serangan berani mati setiap hari sehingga 20 tahun akan dat ang. Kini Palestin menunggu generasi masa depan iaitu jil al-tahrir (generasi pembebas).”

Peribadi mulia

Sheikh Ahmed ialah mujahid yang sangat taat kepada perintah ALLAH SWT. Beliau menjadikan amalan membaca dan menghafal al-Quran sebagai rutin hidup.

Beliau terkenal sebagai peribadi yang mencintai dan menyayangi sesama muslim. Baginya hati yang bersih asas kepada penerusan perjuangan yang tulen. Berbekalkan sifat itu beliau disayangi anak muda Palestin. 

Bagi Sheikh Ahmed, seluruh kehidupannya adalah untuk pembebasan bumi Palestin. Beliau berdakwah dan menyampaikan kuliah pengajian, sekali gus menyedarkan anak muda Palestin untuk bangkit menentang kekejaman rejim Zionis yang merampas tanah air mereka secara zalim.

Dengan berteraskan tarbiah (didikan) imaniyah beliau melahirkan pemuda Islam yang layak untuk memikul tugas sebagai seorang mujahid. Beliaulah ikon mukmin yang telah menyemarakkan semangat mereka untuk melakukan penentangan terhadap Israel terkutuk itu secara bersemuka.

Hidup mereka tiada ketakutan terhadap manusia atau sesiapa sahaja kerana mereka adalah generasi yang berimejkan takut hanya kepada ALLAH SWT. Dalam keadaan lumpuh dan berkerusi roda, ia tidak menghalang dirinya untuk bergerak.  

Beliau juga bersifat zuhud dan rumah didiami amat daif. Antara kata-katanya, "Aku lebih memilih untuk memiliki rumah mewah di Syurga.”

Sheikh Ahmad Yassin menerima ujian semenjak awal kehidupannya, apabila keluarganya diusir dari kampung halaman mereka di Kufr Yunus ke Gaza pada 1948. Di Gaza, beliau melibatkan diri dengan perjuangan pembebasan Palestin.

Ketika beliau sedang menuntut di Mesir, beliau ditangkap dan dibuang dari universitinya kerana penglibatannya dengan gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Itu semua tidak menjadi alasan buatnya untuk meninggalkan gerakan jihad dan dakwah demi membebaskan bumi Palestin yang dijajah oleh rejim Zionis.

Di Gaza pula, dari dulu sehinggalah zaman Intifadah 1987, beliau sering keluar masuk penjara kerana usaha jihadnya.

Lebih menyedihkan, keadaan lumpuhnya menjadi semakin parah ketika beliau berada di dalam penjara. Kesihatannya semakin teruk hingga menyebabkan mata sebelahnya buta dan telinganya kirinya hampir pekak.

Zionis dikutuk suara antarabangsa kerana bodoh sanggup berlawan dan menggadai jutaan wang dan maruah hanya ingin membunuh pejuang Hamas yang tua dan lumpuh, yang hanya duduk di atas kerusi roda.

Rejim itu sebenarnya dayus dan amat hina di sisi mata masyakat dunia kerana sanggup membunuh jutaan nyawa yang tidak bersalah, kanak-kanak dan wanita. Rumah, sekolah dan hospital dibedil.

Di saat ini, berapa banyakkah nyawa terkorban dan tangisan anak kecil yang kehilangan ibu dan ayah angkara Zionis Israel? Ayuh bangunlah! Berjihadlah untuk pembebasan rakyat Palestin.Sumber

Sabtu, 24 November 2012

'TGHH: 'Usah Tumbuk Rempah Dulu'


Ahmad Lutfi Othman

Dalam pertemuan sidang editorial  Harakah dengan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, membincangkan isu-isu kritikal Selangor, baru-baru ini,  Ahli Parlimen Kuala Selangor itu seperti mengulangi penekanan yang kerap saya catatkan dalam kolum ini: "Pihak yang bakal menang dalam PRU13 nanti adalah mereka yang paling sedikit melakukan kesilapan, dan bukannya parti yang mengemukakan banyak gagasan atau idea yang hebat."

Ingatan dalam nada serupa juga ditekankan oleh ramai pemerhati politik, dengan mengambil kira kesalahan yang kelihatan kecil boleh menyumbang impak yang agak besar dalam pilihan raya umum nanti. Lagipun, dijangkakan tiada perbedaan undi yang menyerlah di antara pemenang dengan pihak yang tewas.

Ya, bayangkan, jika dilihat mampu dieksploit demi kepentingan politik, misalnya hanya berbekal telefon bimbit model lama, rakaman boleh dibuat terhadap kenyataan atau aksi pemimpin Pakatan Rakyat, walaupun berkaitan program dalaman parti, dan kemudiannya secepat kilat disiarkan melalui siaran televisyen ke seluruh negara.

Esoknya akan disambut tanpa tangguh lagi oleh akhbar-akhbar harian, untuk meneruskan propaganda murahan secara bercetak, bagi membentuk persepsi tertentu, dengan satu tujuan: Melanjutkan kuasa BN dan mempertahankan Putrajaya.

Kesilapan kecil oposisi akan diperbesarkan, hatta ucapan bernada seloroh atau jenaka turut boleh dipaparkan sebagai komitmen serius, jika impaknya dirasakan dapat memburukkan penampilan Pakatan. Apatah lagi sekiranya, tanpa sedar,  disogok peluang terbentang luas kepada strategis media Umno-BN untuk menghalakan serangan bertubi-tubi, membelasah seteru politiknya.

Saya tidak pula sampai menyimpulkan segala kontroversi terkini, misalnya berkaitan ucapan Nurul Izzah Anwar tentang kebebasan beragama, doa kehancuran Umno di Kota Bharu dan cadangan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri jika Pakatan menang PRU13 sebagai kesilapan yang membawa padah.
Cuma sekadar mahu menunjukkan bahawa,  selepas program Jelajah Janji Ditepati Najib Razak tidak dipedulikan rakyat, tawaran Bajet 2013 kurang membekas, pelbagai insentif one-off mudah dilupakan, kini Umno-BN bertarung seperti parti pembangkang, dengan cuba menyelongkar  apa juga yang dilihat sebagai "keburukan atau sisi negatif", termasuk menyiarkan kembali ucapan Anwar Ibrahim, semasa dalam kerajaan dahulu, yang mengecam PAS dan DAP.

(Ustaz Hadi ketika menggulung perbahasan muktamar ke 58 baru-baru ini. Ramai menyifatkan ia terbaik dari beliau)

Semasa menunggu pesawat di LCCT, Sepang, tengahari 14 November lalu, untuk sama-sama ke Kota Bharu mengikuti Muktamar Tahunan PAS Ke-58, saya cuba berkongsi rasa dengan Mahfuz Omar,  tentang laporan meluas media mengenai kenyataan Nurul Izzah dan usaha terancang menimbulkan keraguan pengundi terhadap kewibawaan Pakatan sebagai parti yang dapat mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.

Naib Presiden PAS itu tenang saja dan menganggapnya ia siri serangan media bagi menjauhkan orang Melayu daripada Pakatan. "Ini bukan kali pertama, mereka telah mencubanya banyak kali sebelum ini, dan terbukti ia tidak berkesan," tambahnya. "Apa pun," pintas saya, "kita tidak boleh memandang remeh gerak kerja mereka."

Selepas dua tahun berturut-turut tidak menghadiri muktamar, saya -- seperti juga para pemerhati dari seluruh pelosok tanahair -- mengharapkan, daripada perhimpunan terbesar yang sepatutnya diadakan Jun lalu, PAS dapat membuat lonjakan besar, terutama untuk meraih sokongan dan kepercayaan pengundi Melayu.

Keyakinan awal terserlah melalui pesanan Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, disiarkan Harakah, yang dipasarkan  sehari sebelum perasmian muktamar. Tokoh berpengalaman itu mahu muktamirin bukan saja tidak terpengaruh dengan usikan nakal media, yang mahu memesongkan tumpuan, malah memanfaatkan perbahasan untuk "mengisi kemenangan" membebaskan Putrajaya.

Meskipun agak penat untuk mendengar Ucapan Dasar Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, namun saya terasa puas, lega dan beruntung. Teks setebal 27 halaman, 107 perenggan itu, begitu kejap, menyeluruh dan menyentuh hampir semua isu-persoalan penting dan kritikal. Saya kira ia pidato rasmi terbaik yang pernah dihasilkannya sejak 10 tahun lalu. Ia cukup bertenaga, memberikan pengarahan yang jelas dan mampu mempengaruhi.

Difahamkan, Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail, yang turut mendengar ucapan berkenaan, menyifatkan banyak penekanan Ustaz Abdul Hadi seperti ditujukan kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Huraian yang memperincikan konsep Negara Berkebajikan cukup jelas dan menarik. Begitu juga singgungannya terhadap persoalan ekonomi, sistem pendidikan dan komitmen PAs untuk kesejahteraan rakyat, yang merangkumi pelbagai golongan termasuk petani, wanita, peneroka bandar, bekas tentera, selain bersikap serius menangani kes FGV, AES, Pengerang dan projek mega yang lain.

Saya lebih teruja dengan penekanan terhadap kesediaan rakyat untuk berubah. "Kepada rakyat seluruhnya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik (dalam PRU13). Maka sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat boleh menghukum kami dalam pilihan raya seterusnya," tegas Presiden PAS itu, sambil memberi jaminan pegawai kerajaan di setiap peringkat tidak akan dizalimi atau dibalas dendam.

Keuzuran menghalang saya daripada menekuni setiap isi perbahasan para perwakilan. Sepanjang di dalam dewan Putik, secara umumnya saya dapati setiap mereka  yang berucap menunjukkan kesungguhan. Bagaimanapun ada pemerhati yang membisik kepada saya: "Sayang sekali, Ucapan Dasar Presiden yang cukup bermutu dan selari dengan mood menjelang PRU13, tidak disusuli dengan perbahasan bernas yang mengungkapkan isu-isu kritikal yang digariskan Tok Guru Haji Hadi."

Beliau merujuk kepada lima bentuk tindakan yang ditekankan Presiden bagi menghadapi PRU13, iaitu persediaan menjaga benteng masing-masing (Parlimen atau Dun), menangani kompleksiti pengundi Melayu khususnya anak muda, cabaran memenangi sebanyak mungkin kerusi, meningkatkan jentera penerangan, termasuk Harakah dan Harakahdaily serta merancakkan persiapan menjuarai perang siber.

"Macam ada kempen tersirat menjelang pemilihan parti tahun depan, aja?" ujar seorang pemerhati, dari Kedah, yang duduk di sebelah saya, berdekatan ruang media. Beliau kemudiannya ketawa kecil tanda hanya bergurau dengan usikannya itu.

Apabila ada perwakilan menimbulkan cadangan Presiden PAS patut dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan menang dalam PRU13 nanti, saya sudah menjangkakan ia akan disensasikan oleh media, terutama TV3 dan Utusan Malaysia.

Sememangnya jentera kempen tidak rasmi Umno-BN itu sentiasa menunggu kesempatan untuk memecah-belahkan persefahaman di kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan. Umum mengetahui sebaik saja keputusan PRU12 diketahui, Mac 2008, perang saraf adu-domba untuk memisahkan PAS dengan DAP sudah bermula, tidak terkecuali juga usaha menyuntik kecurigaan di antara PAS dan KeADILan.

"Kalau Najib yakin parti-parti Pakatan berselisih faham hingga memungkinkan mereka bertanding sesama sendiri, pasti Parlimen akan dicadang dibubarkan serta-merta," kata seorang pensyarah politik.  "BN sudah tidak ada kekuatan sendiri lagi, mereka begitu harapkan persefahaman Pakatan pecah dan terburai," tambahnya.

Tidak sedikit rakan-rakan yang menelefon dan menghantar SMS, melahirkan kebimbangan isu cadangan ustaz Hadi ke jawatan PM akan menyebabkan BN mendapat keuntungan. "Paling tidak pun, kita akan membuang masa yang cukup berharga ini, bagi melayan karenah dan menjawab persoalan yang bukan pun satu isu buat Pakatan," kata seorang daripadanya.

"Biarkanlah ... setiap perwakilan berhak menyuarakan pandangan dan pendapat. Muktamar adalah medan untuk meluahkannya, inikan demokrasi, dan tanda PAS terbuka untuk ahlinya bercakap," saya menjawab mudah. Saya pasti rakan saya itu tidak berpuas hati apabila dia mencelah: "Jangan sampai masyarakat luar, orang awam yang memerhati muktamar dengan penuh minat, merasakan sesama Pakatan pun tidak sepakat, masing-masing ghairah merebut jawatan besar."

Awal pagi Ahad, pada hari terakhir muktamar, kenalan saya, seorang profesor turut menegur, melalui SMS: "Kajian kami menunjukkan pengundi amat prihatin dengan percanggahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Polemik tentang siapa Perdana Menteri tidak menguntungkan, termasuk kepada PAS. Sebagai parti yeng melewati 60 tahun usianya, PAS harus  sedar di mana kekuatan dan kelemahan parti."

Saya kira rakan saya itu memberi reaksi mungkin selepas membaca muka depan  The Sunday Star, yang melaporkan perbahasan di muktamar PAS, dengan tajuk "Ulama for Hadi". Hiasan  foto  Presiden PAS begitu menonjol.

Akhbar yang dimiliki MCA itu sememangnya dikenali menjalankan usaha terancang untuk menakutkan pengundi Cina terhadap Pakatan, dengan mendakwa PAS akan menjadi parti paling dominan jika BN dapat ditumbangkan.

Beberapa kali, Presidennya, Dr Chua Soi Lek bersungguh-sungguh memberikan gambaran bahawa sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya, PAS akan menerajui kerajaan baru nanti. Sebagai ahli Parti Islam, saya tentulah gembira dengan pujian itu. Ya, tiada keindahan melebihi kesyukuran melihat Islam didaulatkan dalam sistem pemerintahan negara. Namun, kita tidaklah terlalu naif untuk membaca perangkap musuh.

Kepada audien Melayu, yang membaca Utusan Malaysia dan menonton TV3, PAS digambarkan parti paling corot dalam Pakatan, hanya mengikut telunjuk KeADILan dan diperkudakan DAP. PAS juga ditohmah sudah menyimpang daripada landasan asal perjuangan.

Manakala berdepan masyarakat bukan Melayu, khususnya Cina, seperti sering dilaporkan dalam The Star, PAS tiba-tiba disuntik dengan seribu satu kekuatan. Tujuannya agar pengundi Tionghua teragak-agak untuk menyokong Pakatan; sedangkan realitinya PAS kini didekati  komuniti pelbagai kaum dan agama. Dalam muktamar lalu, beberapa  aktivis Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) berucap mempertahankan prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan PAS.

Selama ini saya beranggapan The Star, walaupun turut menjadi mesin propaganda BN, tetapi masih menjaga profesionalisme pemberitaannya, tidak seperti Utusan Malaysia. Saya terkejut melihat tajuk depan edisi Isnin, 19 November, "Hadi ready to be PM", dengan gambar menarik Ustaz Hadi mengenggam tangannya ke atas. The Star juga sudah hilang kewarasan!

"Dua hari berturut-turut muka depan The Star mengalahkan Harakah, dengan hiasan gambar Presiden PAS yang memikat," saya bercanda dengan rakan-rakan grafik di pejabat. "Tapi, beritanya tidak betul, dah sama macam Utusan."

Walhal sebenarnya, cukup dengan menonton YouTube, anda segera mengesan bahawa apabila Ustaz Hadi  mengatakan "syok juga sepintas lalu (dengan cadangan nak lantik jadi PM)", nadanya berseloroh dan wajah ceria tersenyum.

Apatah lagi selepas beliau menyambung: "Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita saya ini biar menangkan Islam, kemudian kalau nak mati, matilah."

Ustaz Hadi seterusnya memberi satu perumpamaan yang cukup menarik untuk difikirkan: "Saya tak mahu macam cerita saya dengan Ustaz Azizan. Ustaz Azizan tahu saya minat memancing. Saya pergi Kedah, dia ajak saya memancing di laut Yan.

"Sebelum pergi, dia berpaling ke anak buah dia, dia kata, tumbuk rempah siap-siap. Nak masak ikan tenggiri, ikan jenahak. Saya pun pergilah, dia pun pergi juga ke laut. Bila balik, boleh ikan belukang sebesar kelinking je. Saya tak mahu jadi macam itu. Belum apa-apa dah tumbuk rempah." Sumber

Ahad, 4 November 2012

Jika Haji Hadi Ke Pekan, Sangupkah Haji Najib Bertanding Di Permatang Pauh...!!!!

ABDUL HADI AWANG

Sekarang ini isu kesanggupan Haji Hadi untuk bertanding di parlimen Pekan mendapat tempat dimedia massa. Berbagai ulasan diberikan tentang perkara ini dan seperti biasa bagi pihak Umno/Bn ia sebagai 'Gimik Politik' pihak pembangkang dengan alasan parlimen Pekan adalah kubu kuat Umno. Apatah lagi penyandangnya ialah Haji Najib, Perdana Menteri Malaysia dan beliau juga anak kepada bekas Perdana Menteri ke 2.

Apakah mereka lupa yang Haji Najib sudah dikalahkan calon PAS pada 1999 sebelum beliau diselamatkan oleh SPR dengan majoriti tipis tidak sampai 300 undi. Walau pun ketika itu Haji Najib belum menjadi Perdana Menteri, tetapi beliau adalah salah seorang naib presiden Umno. Mungkin juga mereka lupa yang calon PAS tidak seperti calon Umno kerana calon PAS tidak semestinya anak tempatan dan mereka berani bertanding dimana-mana tempat pun jika parti mengarahkan. 

Jika benar populariti Haji Najib cukup tinggi sekarang ini, kenapa beliau tidak berani bertanding di Permatang Pauh. Haji Najib akan dianggap betul-betul anak jantan andainya beliau sanggup berhadapan dengan Haji Anwar dan secara tidak langsung beliau boleh menguburkan cita-cita Ketua Pembangkang untuk ke Putrajaya.

Seperti biasa, Haji Najib bukannya seorang politikus yang licik kerana dari dulu sampai sekarang beliau hanya bergantung kepada nama besar bapanya. Apatah lagi sekarang ini kita melihat tiada dalam sejarah Umno begitu takut untuk menghadapi PRU. Jika dulu PRU disambut seperti hari kebesaran kerana pemikiran kaum tua yang masih dijajah pemikiran mereka berbeza dengan kaum muda hinggakan jika pokok kelapa pun dijadikan calon BN, BN tetap akan menang dengan penuh bergaya.

Jika Umno/BN ingin menyelamatkan pemerintahan mereka, Haji Najib mesti bertanding melawan Haji Anwar di Permatang Pauh. Ada berani ker.......

Jumaat, 2 November 2012

Maryam Jameela: Perginya Satu Kehilangan Besar Buat Umat Islam.


Mungkin ramai yang tidak mengenali beliau tetapi beliau amat dikenali bagi pergerakan Islam sedunia. Beliau adalah seorang Yahudi Amerika sebelum Allah s.w.t. membuka pintu hatinya kepada Islam dan beliau mengabdikan dirinya pada Islam sehinggalah rohnya diangkat pada tanggal 31 Okt 2012. Marilah kita sama-sama mendoakan agar rohnya ditempatkan dikalangan kekasih Allah dan RasulNya. Disini saya lontarkan serba sedikit tentang insan yang bernama Margaret (Peggy) Marcus yang kemudiannya dikenali sebagai Maryam Jameela.......

“ISLAM menjawab dan menjelaskan segala-galanya. Dalam Islam saya temui kebenaran, kebaikan dan kecantikan yang bukan sahaja membawa dan memandu seseorang itu tentang kehidupan di dunia malah kehidupan selepas kematian.
“Malah jika ada yang bertanyakan bagaimana saya mengetahuinya? Saya hanya mampu menjawab, pengalaman peribadi cukup menyakinkan saya.
Pegangan teguh saya kepada akidah Islam datang secara tenang tetapi penuh keyakinan.
“Pengislaman saya adalah begitu formaliti, langsung tidak melibatkan perubahan radikal dalaman.” Begitulah jawapan Maryam Jameelah atau sebelum ini Margaret (Peggy) Marcus, seorang Yahudi Amerika yang memeluk Islam pada 1961 tentang impak agama Islam terhadap kehidupannya.
Menurut Maryam lagi, minatnya terhadap Islam bermula seawal usianya 10 tahun sewaktu mengikuti reformasi Yahudi Sunday School.

Pada waktu itu, beliau tertarik dengan sejarah hubungan di antara bangsa Yahudi dengan bangsa Arab. Menerusi buku teks Yahudi, dia difahamkan bahawa Nabi Ibrahim ialah ayahanda kepada semua bangsa Arab dan juga bangsa Yahudi.

Beliau terbaca beberapa abad kemudian semasa Zaman Pertengahan Eropah, penindasan Kristian menyebabkan orang Yahudi teruk terseksa dan kehadiran mereka diterima umat Islam di Sepanyol.

Kebaikan hati yang ditunjukkan ini bakal merangsang budaya Ibrani (Hebrew) terus cemerlang tanpa langsung mengesyaki sifat semulajadi Zionis.

“Saya terlalu naif dan percaya bahawa bangsa Yahudi akan kembali ke Palestin untuk memperteguhkan hubungan persaudaraan dengan saudara sesama Arab.

“Tarikan kuat dengan pembelajaran sejarah bangsa Yahudi membuatkan saya tidak gembira di Sunday School,” katanya.

“Kakak saya sangat benci ke Sunday School sehingga setiap pagi ibu terpaksa bangunkannya dari katil dan dia tidak akan berganjak selepas dibebel dengan kata-kata pedas dan air mata. Akhirnya ibu, terima hakikat penolakan kakak.

Sementara itu, pada sambutan perayaan keagamaan Yahudi, kami (kakak dan saya) bukannya ke Synagogue atau melaksanakan puasa pada Tum Kipper tetapi kami dibawa keluar dari sekolah untuk pergi berkelah dan berpesta di restoran terbaik.

Apabila kami berjaya membuktikan kepada ibu bapa betapa teruknya keadaan kami di Sunday School, mereka menyertai pula sebuah organisasi agnostik dan kemanusiaan yang dikenali Ethical Cultural Movement,” cerita Maryam yang menghadiri kelas baru itu sehingga tamat pengajian iaitu pada usia 15 tahun.

Katanya lagi, apabila semakin dewasa dan matang, beliau tidak boleh menerima dan memperoleh kepuasan menerusi fahaman ateis.

Lalu Maryam mula mencari pembaharuan kepada identiti diri. Dalam tempoh itu, beliau pernah menyertai kumpulan bahai di New York yang dikenali The caravan of East and West diketuai lelaki Parsi bernama Mirza Ahmed Sohrab.

Beliau tertarik dengan Bahai kerana ia berasaskan Islam dan ceramahnya tentang Tuhan Yang Satu. Pun begitu, apabila beliau mengetahui kegagalannya untuk mengaplikasikan idea tersebut, Maryam meninggalkannya setelah setahun penyertaan.

Pada usia 18 tahun, Maryam menyertai pergerakan pemuda Zionis yang dikenali sebagai Mizrachi Hatzair tetapi apabila mengetahui kebenaran di sebalik Zionis, sekali lagi dia dikecewakan.

Semasa usianya mencecah 20 tahun, Maryam belajar di Universiti New York dan salah satu subjek elektif yang diambilnya ialah Judaism in Islam.

Malangnya profesor yang juga Ketua Jabatan Pengajian Hebrew, Rabbi Abraham Issac Katsh memesongkan para pelajarnya dengan mengatakan Islam berasal daripada agama Yahudi.

Tambah memburukkan, profesornya menyalahgunakan al-Quran demi membuktikan kepada pelajarnya bahawa agama Yahudi adalah agama teragung. Apabila semua tembelang yang dibawa oleh agama Yahudi terbongkar, Maryam tidak sanggup lagi mengakui dan menerima agama Yahudi.

Semenjak itu, beliau mula membuat perbandingan agama Yahudi dengan agama Islam.

Dalam kajiannya terhadap Old Testament dan kitab Taurat serta perbandingan dengan al-Quran dan hadis. Apa yang Maryam temui, agama Yahudi telah rosak sedikit dan akhirnya beliau mengucap syahadah.

Sebenarnya, keinginan bergelar Muslim wujud sejak tahun 1954 namun keluarganya dapat menghalang menerusi perbincangan terbuka.

Beliau ditakutkan dengan mengatakan bahawa Islam akan menyukarkan kehidupannya kerana ia tidak seperti agama Yahudi dan Kristian.

“Saya diberitahu bahawa Islam akan merenggangkan hubungan kami sekeluarga dan menyisihkan saya daripada masyarakat.

Pada masa itu, keimanan saya tidak begitu teguh untuk menghadapi tekanan sehebat itu. Situasi ini menyebabkan saya jatuh sakit.

“Dua tahun (1957-1959) saya berehat di rumah dan mendapat rawatan tetapi keadaan saya semakin teruk.

“Melihat keadaan kemurungan itu, ibu bapa menghantar saya ke hospital awam. Saya bersumpah sekiranya saya sembuh dan dibenarkan keluar, saya akan memeluk Islam.

“Apabila saya dibenarkan pulang, saya menyiasat mana-mana peluang untuk bertemu dengan orang Islam di Bandar Raya New York. Saya banyak menghabiskan masa di Perpustakaan Awam New York membaca bahan-bahan berkaitan Islam,” jelasnya yang banyak menghasilkan buku-buku berkaitan agama Islam selepas memeluk Islam.

Alhamdulillah, beliau berpeluang bertemu dengan beberapa lelaki dan perempuan Islam pada ketika itu.

Malah Maryam mula menulis rencana kepada majalah beraliran Islam dan berutus dengan ketua-ketua Islam seluruh dunia.

“Saya pernah berutus dengan Allahyarham Sheikh Abrahimi, ketua ulama di Algeria, Dr. Muhammad El-Bahay di Al-Azhar, Dr. Mahmud F. Hoballah dan Pengarah Pusat Islam di Washington D.C., Dr. Hameedullah di Paris, Dr. Said Ramadan, Pengarah Pusat Islam Geneva dan Maulana Sayyid Abul Ala Maudoodi,” katanya lagi.

Menurut Maryam, sangkaan pertamanya bila membaca al-Quran, Islam adalah satu-satunya agama kebenaran, benar-benar jujur, ikhlas, tidak membenarkan kompromi murahan atau hipokrasi.

Maulana Maudoodi pernah menulis kepada Maryam dalam suratnya yang pertama pada Januari 1961 berbunyi: “Semasa saya menilai esei anda, saya dapat rasakan seperti saya membaca idea saya sendiri.

“Saya berharap perasaan anda tidak akan berubah sekiranya anda berpeluang mempelajari bahasa Urdu dan pelajari buku-buku saya.

“Walaupun kita tidak pernah berkenalan, namun kesepakatan pemikiran dan simpati yang wujud adalah hasil daripada sumber yang sama iaitu Islam,” katanya.

Menjawab soalan tentang sikap dan reaksi ahli keluarga dan teman-teman selepas bergelar Muslim, kata Maryam, keluarga, saudara mara dan kawan-kawan menanggap beliau seorang yang fanatik kerana percakapan dan pemikirannya adalah tentang agama Allah sahaja.

Bagi mereka soal agama adalah sesuatu yang peribadi. Namun selepas membaca al-Quran, saya mengetahui bahawa Islam bukanlah sekadar hobi tetapi ia adalah soal kehidupan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular