Ustaz Rosli Abdul Jabar
Kerja-kerja memasak berlanjutan selama 12 hari, berakhir pada 15 Dis,
namun kerja-kerja membersihkan rumah mangsa berlarutan sehingga ke hari
ini, atas permintaan, jika ada. Hampir 10 ribu bungkusan barangan dan
beras telah diedarkan termasuk juga di Kampung Semangat, Ubai, Kg
Belukar, Kg Pahang dan Cherok Paloh yang berada didalam DUN Inderapura.
Ada sebahagiannya saya sendiri yang menghantarnya, ada juga rakan-rakan
Unit Amal. Terkadang tu rasa malu juga dengan sebahagian sikap
masyarakat Melayu dalam kawasan saya, sesetengah tu umpama orang Somalia
yang sepertinya kebuluran sangat, bila masuk je lori, menderu datang
mengejar lori dan berebut-rebut barangan, ish .. takde akhlak sungguh
lah. Saya minta semua bersabar dan saya akan hantar kerumah masing, tapi
tak nak berganjak juga, tetap juga bergayut ditepi lori, tak kira
lelaki atau perempuan, serupa je.
Seorang rakan daripada Kuala
Lumpur, dia dan rakan-rakan bawa dapur gas dan barangan dapur, dia
berhasrat untuk cuba bagi sendiri dan meminta izin dari saya, saya
benarkan. Lori langsung tak dapat bergerak, diserbu, semua nak ambil
dapur, sepertinya semua rumah rosak dapur, seorang terkadang ambil dua
tiga biji, sampai kepada peringkat mereka memanjat lori, setelah habis
separuh lori, rakan saya terpaksa menutup pagar lori dan cabut lari,
sebab kelihatannya barangan hanya berkisar pada orang yang sama. Sangat
memalukan, dia datang ke rumah saya dan menurunkan sebahagian yang lain
"maaf deh, itu lah sebahagian rakyat ana".. dia ketawa dan ligat
menggelengkan kepala "fuhh, teruk betul, macam artis ana kena serbu,
bukan nak autograf, tapi nak dapur gas", katanya sambil ketawa. Namun
keadaan ini tidak berlaku di Sungai Isap, orang Sungai Isap kelihatannya
agak lebih tabah dan lebih berdisplin. Tak hairanlah, kerana Masjid dan
Surau di Kawasan ini agak makmur dengan majlis ilmu menjadikan mereka
sabar dengan dugaan dan memiliki kemuliaan diri. Kemiskinan jiwa ini
hanya boleh diubati jika mereka kembali kepada Islam, ini adalah
diantara tanggungjawab saya, InsyaAllah saya mencuba sedaya upaya.
Kerja-kerja
pembersihan bermula dari 6 Dis, saya pun turut serta membantu
rakan-rakan Unit Amal, rumah pertama yang saya bantu bersihkan ialah
rumah Allahyarham Tuan Haji Jamin di Sg Isap Damai, beliau meninggal
pada 5 dis, ketika banjir masih besar dan ketika saya sedang gawat untuk
menghantar nasi ke Masjid Sg Isap Damai. Saya tak sempat pergi
menziarahi jenazahnya yang di kebumikan di Bukit Ubi, namun terasa juga
kehilangannya, sebab dia adalah orang yang sering juga menyumbang untuk
Ma'had Tahfiz Darul Fikri dan sosok tubuhnya sentiasa kelihatan ketika
saya berkuliah di Masjid Sg Isap Damai dan Surau RRM Permatang Badak.
Saya memilih rumah beliau sebagai rumah pertama yang saya bantu untuk
mengambil kesempatan mengucapkan takziah pada Isterinya Kak Pah dan juga
anak-anaknya.
Pelbagai peristiwa berlaku ketika kerja
pembersihan rumah mangsa, ada sebuah rumah tu, tak lah besar sangat,
masih sebahagiannya belum dibaik pulih, saya terjumpa sebuah bekas
berisi barangan kemas, disebabkan berselut, saya hampir membuangnya,
tapi terlintas hati nak bukak dulu, rupanya barangan kemas, semuanya
emas, berat juga tu, saya jangkakan mungkis ratusan ribu kot, rupanya
tuan rumah dah melilau mencari, "Alhamdulillah Ustaz, nasib baik jumpa,
akak dah puas mencari" .. nampak kelegaan dan kegembiraan di wajahnya.
Almari tempat dia menyimpan barangan kemasnya pecah, bekas itu agak
hanyut dan tenggelam dalam selut di penjuru rumah bersama timbunan
barangan lain. Masa air naik, dia tak ambil tahu pun pasal barang tu,
nak selamatkan diri je, sempat juga saya selitkan tazkirah kepadanya
"begitulah kak, walau banyak manapun pun harta kita, berapa mahal pun
emas kita, dia tak dapat jadi penolong kita, yang tolong kita adalah
Allah swt, masa akak ditimpa banjir, emas akak semuanya tenggelam,
lansung tak dapat tolong akak, begitulah kalau kita mati nanti, emas ni
tak boleh buat apa-apa kecuali amal dan aqidah kita je yang jadi harta
untuk bebaskan diri dari neraka" .. dia angguk "betul Ustaz".
Ada
juga yang malu-malu, bila saya sendiri yang bersihkan rumah mereka,
"Ustaz gi lah rumah orang lain", ngapa nya?.. tanya saya.."malulah
Ustaz, ada ke wakil rakyat dok cuci rumah saya" .. kata dia, saya kata
"sekarang tak jadi wakil rakyat dah, saya sekarang adalah Unit Amal",
saya nak cuci juga rumah ni" ..dia pun diam. Sebenarnya kalaulah orang
memahami betapa antara sebab yang mendatang ketenangan jiwa ialah
apabila kita dapat membantu manusia yang sedang kesusahan, nescaya
manusia ni tak kan duduk diam apabila melihat saudaranya yang ditimpa
kesusahan. "Barang siapa yang membantu orang yang kesusahan, nescaya
Allah swt akan melapangkan kehidupannya". Saya dah biasa dengan kerja
kasar begini, lagi pun inilah antara kerja Unit Amal, saya kan Unit
Amal, dah hampir 25 tahun saya jadi Unit Amal, dari belum kawin sampai
sekarang dah 11 anak tetap juga jadi Unit Amal, pastu apa nak hairan
..Unit Amal cuci rumah..biasalah tu..
6 Dis, saya semakin
mendapat kekuatan, kerana dua buah surau lain yang turut sama memasak
untuk diagihkan kepada mangsa, malahan dua buah bot rakan kami dari
Kempadang telah berjaya dibawa ke Sungai Isap, ini memudahkan kami untuk
menghantar makanan dan keperluan lain ke Sungai Isap Damai dan juga
kawasan-kawasan lain walaupun bukan dalam kawasan saya seperti pedalaman
Kampung Badak dan Kg Chendering. Terkadang orang memohon bantuan bukan
kerana kawasan tetapi kerana mengenali saya, saya pun ambil sikap tak
kisah, selagi ada saya bagi, saya pun tak suka dan tak minat nak simpan
hak orang, barang-barang yang banyak ni bukan saya punya, semuanya untuk
mangsa banjir. Orang UMNO yang dok kat Kampung saya ni pun datang
jugak, bukan UMNO biasa tapi UMNO gred A, dari jauh dah berbau, saya
kenal sangat mereka ni, sebab mereka ni sekampung. Keadaan saya pulak
semakin sibuk, pimpinan dari seluruh negara datang ke rumah termasuk
Dato Sri Presiden dan beliau sempat turut serta berjalan kaki menghantar
sumbangan dari rumah ke rumah di Sungai Isap Taman Murni bersama Ust
Dato Tuan Ibrahim, Ust Yusof Embong, Ust Suhaimi Saad dan beberapa
pimpinan yang lain, rasa bangga gak bila TGHH dok pikul plastik ada
gambar saya.
Tak
tidur malam dibuatnya, hampir sepanjang masa talipon berbunyi dan
tetamu datang samada untuk bertugas ataupun menghantar bantuan dari jauh
dan dekat, samada organisasi parti, ngo atau orang perseorangan. Semua
PAS Negeri-negeri menghantar bantuan samaada tenaga ataupun sumbangan,
juga dari DAP Pahang, DAP Yong Peng dan DAP Teratai, persatuan-persatuan
Cina juga datang menghulurkan sumbangan, persatuan pemandu-pemandu bas
sekolah dan macam-macam lagi ngo yang datang, entah apa nama pun saya
dah tak ingat, yang pasti UMNO tak de. Dengan bantuan surau-surau juga
pihak kami boleh menyediakan lebih 2500 bungkus nasi sehari untuk
diedarkan. Alhamdulillah juga berkat selama ni berkuliah di
Masjid-Masjid dan Surau-Surau, banyaklah Masjid Surau dari seluruh
negara menghantar sumbangan begitu juga rakan-rakan termasuk juga rakan
FB, bebanan menjadi sangat ringan dek pertolongan orang ramai, hingga
ketikanya ruang rumah saya tidak boleh dilalui lansung kerana dipenuhi
barangan.
Aduan kekurangan makanan masih berlaku, di SEMSAS ada
mangsa yang menghubungi bahawa mereka tidak dibekalkan makanan, saya
dimaklumkan lebih 300 orang mangsa dari Sg Isap yang ditempatkan disitu,
yang ramainya daripada Seri Damai dan pengurusan disitu diketuai oleh
geng UMNO Seri Damai, disebabkan orang Sg Isap bukan orang kawasan
tersebut, maka keutamaan diberikan kepada orang Seri Damai, kebiasaannya
orang Sg Isap tak dapat apa-apa, Alhamdulillah mereka menghubungi saya
dan setiap hari pihak saya menghantar bekalan kesana. Kini saya dah agak
bebas bergerak untuk menghantar bekalan, bot dah ada, kenderaan darat
pun dah boleh bergerak walaupun trafik masih perlahan, bekalan boleh
dihantar mengikut permintaan, tenaga pun dah ramai, anggota Unit Amal
pun dah mula bertugas, Ust Saharudin pun dah boleh bertugas untuk
membantu saya, banyaklah pusat penempatan yang dapat kami hantarkan
bantuan seperti Sg Isap, Chung Ching, SEMSAS, Medan Warisan, SK Tanah
Putih, SK Belukar, SK Permatang Badak, Chendering dan juga
kawasan-kawasan rumah kampung yang masih terperangkap tiada bekalan
makanan.
Kerja-kerja menghantar sumbangan dari rumah-kerumah juga
bermula, sebanyak hampir 10 ribu bungkusan telah diedarkan dalam masa 8
hari, namun ada juga yang mengadu tak dapat, saya pun tak boleh berbuat
apa-apa sebab mungkin mereka tiada dirumah dan yang menghantar itu
bukannya saya, tetapi Unit Amal dari luar, pastinya mereka tidak mahir
dengan perumahan disini hingga ada yang tertinggal ataupun tempat yang
sama berulang kali. Ada juga insan jenis tamak, dah dapat pun kata tak
dapat, ada juga UMNO gred A yang sombong dan tidak mahu menerima
sumbangan dari PAS dan ada pulak cerita dari seorang anggota Unit Amal
yang saya tugaskan untuk menghantar sarapan pagi, setiap bungkusan ada
air mineral, roti saiz besar dan sardin, bila bagi bungkusan dia buka
"hari-hari roti, takde makanan lain ke, dah tiga hari asyik roti je, tak
nak lah" , sabar je lah, itu hanya kes terpencil, hampir keseluruhannya
menerima dengan senyuman dan ucapan terima kasih, berhadapan dengan
manusia yang ramai begitulah, kita tak mungkin akan dapat menyempurnakan
kehendak orang ramai. Isteri dan anak-anak kita yang hanya beberapa
orang itu pun kekadang kita gagal nak puaskan hati mereka, inikan pula
ribuan manusia.
Pada 5 Dis, air telah mula menurun, tetapi
terlalu perlahan, sms masih bertalu tentang keadaan mangsa-mangsa banjir
yang berada di Pusat Penempatan, makanan tak cukuplah, susu bayi tak
adalah dan macam-macamlah aduannya yang hanya menambahkan rasa kasihan,
namun air masih dalam, bot Unit Amal masih bertugas untuk memindahkan
mangsa banjir di Kawasan baru yang dinaiki air, rakan-rakan dari sebelah
Kempadang masih gagal untuk menyeberangi banjir yang menutupi jalan
untuk sampai ke Sungai Isap bagi membawa bot yang lain. Bungkusan nasi
ditambah lagi, kerja-kerja memasak semakin bertambah dan memenatkan,
melebihi kenduri kawin, cumanya, Alhamdulillah petugas semakin ramai,
ahli-ahli PAS cawangan Seri Damai turut datang membantu terutama
muslimat.
Sebelah petang saya menerima panggilan daripada Ust
Husni, beliau terperangkap dan berada di tingkat atas rumahnya, antara
jelas dan tidak jelas beliau memaklumkan bahawa ada seramai lebih 300
orang mangsa yang berada di Masjid Sungai Damai, dari semalam belum
makan. ya Allah, sedihnya rasa, saya dan rakan-rakan segera memasak lagi
untuk mereka, setelah siap dibungkus, saya menghubungi rakan Unit Amal
untuk menggunakan bot, tapi malangnya mereka berada di Teluk Mahang
untuk memindahkan mangsa dan sememangnya bot awam tidak dibenarkan untuk
beroperasi oleh pihak bomba pada waktu malam, sementelah lagi, baru
sahaja ada dua orang anak beranak yang mati lemas disitu. kami sampai di
Permatang Badak seusai solat maghrib, memohon jasa baik bomba, namun
sepertinya keberatan, macam-macam alasan, alasannya baik tapi
mengecewakan, mujurlah ada seorang lelaki yang baru saya kenali pada
malam itu, dia 'lelaki bermulut laser', setelah saya ceritakan padanya,
lalu dia segera bertemu dengan pihak bomba, entah apa yang
dileterkannya, pihak bomba bersetuju untuk membawa saya kesana, dia tak
kenal saya, begitu juga pihak bomba dan saya pun tak pernah kenal
mereka.
Kami
memunggah nasi kedalam bot bomba, bersama saya juga seorang lelaki yang
membawa banyak bekalan makanan, beliau dari K.L ... Beliau membawa
makanan untuk Ibu Bapa dan keluarganya yang berada di Penempatan Sg Isap
setelah dimaklumkan mangsa menghadapi masaalah dengan bekalan makanan,
beliau dah sampai disitu sejak jam 2.00 petang lagi, beberapa kali
beliau minta tolong dengan pihak bomba dan pertahanan awam untuk
diizinkan bealiau menaiki bot bomba untuk menghantar makanan, tapi
hampa. Kami dibawa dengan bot bomba yang besar, tetapi hanya lima orang
sahaja yang dibenarkan untuk naik, saya turut naik bersama seorang rakan
dan lelaki tersebut, bersama dua orang pihak bomba, bot melalui
Permatang Badak, saya bertanya kepada pihak bomba "kenapa melalui jalan
ini, jauh, kenapa tak melalui laluan biasa, lebih jelas dan mudah", dia
diam dan meneruskan perjalanan. Saya pun diam kerana menganggap bahawa
dia dah tahu jalan tu, sebab dia dah dua hari bertugas". Bot besi yang
begitu besar bergerak perlahan, sesekali tersangkut pokok-pokok
menjalar, hingga ada ketikanya kami terpaksa turun untuk menolak bot.
Agak
mengecewakan apabila bot yang dah hampir sampai ke jambatan permatang
badak tidak dapat meneruskan perjalanan, saya dimaklumkan kipasnya
pecah, terkena jalan, tidak dapat dibayangkan betapa kecewanya saya,
terbayang-bayang wajah yang saya kenali, sedang menunggu makanan
daripada kami di Masjid Sg Isap Damai. Kami terpaksa bantu pihak bomba
menolak bot untuk kembali semula ke Simpang Permatang Badak, tempat mula
kami bergerak, hampir satu kilometer kami terpaksa menolak bot besi
yang begitu besar, nak patah pinggang rasanya bila ada ketikanya
terpaksa mengawal bot agar tidak hanyut bila bertembung dengan arus
deras. Sabar dan terus sabar dan terus tolak, akhirnya sampai juga
semula ke Jalan Besar, saya diminta agar memohon pertolongan dengan
pihak bomba yang lain di Simpang Sungai Isap pula, terpaksa pulak
punggah semula makanan dan barang-barang kedalam lori untuk dibawa ke
Simpang Sungai Isap.
Pihak bomba bersetuju untuk menghantar
dengan bot yang lebih kecil, ketika baru nak memulakan perjalanan,
datang pulak sorang Ketua Pemuda Bahagian UMNO, saya lihat dia buat
pengarahan pada pihak bomba, bomba pulak sepertinya bekerja untuk dia,
saya bagitahu padanya supaya diberikan keutamaan pada saya untuk
menghantar makanan ke Sungai Isap Damai, saya ceritakan padanya tentang
keadaan mangsa disana yang dah tak makan nasi selama dua hari.."Ok lah
YB , YB pergi hantar dahulu", saya pun tak pasti apa akan berlaku jika
saya tiada disitu, namun saya dah tak berdaya, cuma arahkan anak buah
saya Ust Afif untuk mewakili saya, saya dimaklumkan oleh anak buah saya,
bahawa nak sampai ke Masjid Sg Isap Damai pun pihak bomba singgah di
tempat lain beberapa kali, hinggakan makan masa hampir sejam setengah
untuk sampai ke Masjid Sg Isap Damai, dah lah tolak bot dan punggah
semula barang tadi dah makan masa hampir dua jam, sangat menyakitkan
hati. Bot bomba, tentera, pertahanan awam, polis berlambak-lambak dalam
negeri Pahang, semuanya dibeli dengan cukai rakyat kenapa tak digunakan
untuk membantu rakyat di Sg Isap, hinggakan sebiji bot bomba terpaksa
buat berpuluh-puluh kerja?.
Begitu juga dengan bekalan makanan,
mengapa masih tak mencukupi, apakah pihak tentera, polis atau mana-mana
agensi yang memiliki kemudahan untuk memasak, tak boleh nak masak dan
dihantarkan ke situ?, kenapa masih mengharapkan pihak JKKK untuk memasak
di pusat penempatan dalam keadaan kelengkapan yang agak minima, dah la
tu rumah JKKK pun tenggelam air juga, pastinya dia pun kelam kabut juga,
pastu pulak sesetengah tu dok pelihara syaitan, hinggakan dalam keadaan
begitu pun masih nak berdendam dengan orang PR hinggakan berlakunya
sikap dikriminasi. Lebih kurang jam 12 malam, saya terima SMS "terima
kasih ustaz, nasi dah sampai, inilah nasi yang pertama kami makan sejak
semalam", ngalir jugak air mata lelaki saya, bukannya apa, dok fikirkan
kasihan kat anak-anak kecil, cuba kalau kena kat anak-anak kita sendiri,
apa perasaan?, kalaulah sekiranya kelambatan dan kelemahan pengurusan
banjir ini adalah berpunca dari sikap balas dendam kerajaan kepada PR,
apa yang saya boleh katakan "memang mereka ni sepertinya takde hati
perut lansung" .......
Pada pagi 4 Dis, saya pulang dari batu 3
dengan mengharung air ke Kampung Seri Damai, sebak dada melihat Masjid
Al Fatah yang sebahagian besarnya ditenggelami air, lebih sebab
disepanjang berjalan kaki melihat ribuan manusia berada dijalanan, ada
yang menangis, ada yang kelihatan tenang, ada yang kelihatan tension,
pelbagai wajah kelihatan. Saya sempat bertanya dengan beberapa orang
"kenapa tidak berada di penempatan" ada yang menjawap "dari semalam tak
dapat makan-makan lagi, sebab tu mereka keluar juga, moga-moga dapat
cari kedai untuk membeli makanan", tapi malangnya semua kedai tutup,
kelihatan semuanya mundar mandir, ada juga yang memang dihantar ke situ
kerana pusat penempatan penuh, menunggu arahan dari pihak bomba, kasihan
sungguh ...akhirnya saya sampai juga kerumah dengan menumpang sebuah
motorsikal di Permatang Badak, tiada apa difikirkan kecuali saya mesti
segera membantu.
Saya tidak memikirkan untuk melawat pusat
penempatan, kalau saya pergi dengan tangan kosong hanya akan menambahkan
kesedihan sahaja, apatah lagi banyak sms yang diterima, mereka mengadu
kelaparan, tidur atas simen, anak-anak tiada pampers dan macam-macam.
Bagi saya, saya mesti cuba selesaikan apa yang penting dahulu, mereka
lapar, anak-anak kecil kelihatan menangis mungkin kelaparan, tak berguna
kalau saya hanya sibuk berkeliaran di Pusat Penempatan untuk tunjuk
muka, tetapi hanya sekadar jual muka semata-mata tapi tak dapat
menolong, lebih baik saya berbuat sesuatu yang dapat ringankan beban
mereka. Dua orang pembantu yang mengikuti saya kata "nanti apa kata
orang, kalau ustaz tak pergi pusat penempatan" .. saya kata "takpe, kita
buat yang penting dulu dan buat sesuatu kerana Allah swt, bukan
manusia, yang penting ikhlaskan diri, nanti Allah swt sendiri akan
bagitahu kepada mereka". Kalau sekadar nak tunjuk muka, baik saya
berdiri je kat tepi jalan, simpang masuk ke Sg Isap tu, tapi apa kerja
pun tak jadi, dah la rakan-rakan jadi mangsa banjir, takkan saya yang
mampu bergerak dan mengatur kerja, nak tercegat je, konon tunjuk muka ..
rasanya kalau sekadar nak tunjuk muka je kat tepi jalan, sama je taraf
saya dengan tiang letrik kat tepi jalan Sungai Isap tu, tercegat je,
tapi takde faedah lansung.
Tanpa bertangguh sesampainya di rumah
saya segera ke Pasar Ikan Jaya Gading, Alhamdulillah jalan kerumah saya
telah boleh dilalui, agak menghairankan sebenarnya, sebab kebiasaannya
air banjir di Kampung saya agak sukar untuk surut, tetapi kali ini,
ianya surut dalam masa sehari, ini memudahkan saya untuk berulang alik
kepasar. Saya kerahkan seluruh keluarga saya untuk turut membantu, juga
Ustaz-ustaz kat Darul Fikri, kami memasak sebanyak yang boleh, selesai
memasak kami hantarkan kepada penghuni jalan di Sungai Isap, sedihnya
bila lihat mereka berebut-rebut, kemudian masak lagi, hantar lagi, masak
lagi, hantar lagi, masak lagi tak henti-henti hingga malam, hantar
sebanyak mungkin makanan yang boleh. Lauk tak kira dah, asalkan boleh
alas perut. Bantuan masih belum datang, gunakan segala duit yang ada
untuk beli barangan basah, panggilan talipon dari seluruh negara hampir
menyebabkan saya tak boleh berbuat apa-apa, kerja nak jawap talipon je,
tangan kanan pegang senduk, tangan kiri pegang talipon, tak jawap tak
boleh, kerana itulah cara untuk saya dapatkan bantuan luar.
Saya
mencuri ruang masa untuk menghubungi sahabat-sahabat seluruh negara
untuk mendapatkan bantuan, disamping saya update perkembangan semasa
dalam FB, Alhamdulillah bermula dari petang 5 Dis, bantuan mula datang
dan mencurah-curah setiap hari, rombongan yang pertama datang menghantar
bantuan ialah daripada Temerloh. Ma'had Tahfiz Darul Fikri menjadi
sangat sibuk selepas itu dengan kehadiran ratusan petugas dan kenderaan
keluar masuk untuk menghantar bantuan makanan dan sebagainya. Sms masih
lagi bertalu dengan aduan dari pusat penempatan terutama di Sungai Isap,
Tanah Putih dan SK Chun Ching, semua peti undi di tempat ini telah
dimenangi oleh PAS pada PRU yang lalu. Terlalu banyak aduan atas sikap
diskriminasi ketua kampung dan JKK yang mengetuai pusat penempatan, saya
akan dedahkan pengakuan mangsa nanti. Begitu juga dengan jentera
kerajaan yang terlalu maksima untuk membantu mangsa dalam banjir yang
begini besar, apakah ini adalah balas dendam terhadap kawasan-kawasan
yang dikuasai oleh PR ?...
Pada pagi 3 Dis, saya dah rakan-rakan
Unit Amal Kuantan termasuk Ayah Ngah (Imam Masjid Al Fatah) memulakan
kerja-kerja memasak, jentera PAS Tanjung Lumpur kebanyakkannya sudah
tidak dapat bersama kerana rumah mereka telah dinaiki air terutama yang
tinggal di Sungai Isap dan Tanah Putih, ada sebahagian dari mereka telah
berpindah ke Pusat penempatan mangsa banjir, tak mungkin mereka dapat
membantu saya, jalan untama ke Rumah saya pun dah dinaiki air ke paras
pinggang, namun saya keluar juga mengharung air ke Masjid Al Fatah untuk
bersama dengan Unit Amal memasak untuk mangsa banjir. Sewaktu kami mula
memasak air diperkarangan Masjid Al Fatah hanya separas buku lali, air
begitu cepat naik, hinggakan api dapur gas yang digunakan untuk memasak
terpadam beberapa kali akibat dinaiki air, bila padam kami alas dengan
batu, terpadam lagi, alas lagi, entah berapa kali terpadam dan kami alas
lagi dengan batu sehinggalah siap membungkus lebih kurang pukul 3.30
petang, ketika itu air didalam Masjid Al Fatah telah pun hampir mencecah
paras pinggang. Hari tu kali pertama saya solat zohor dalam air bersama
Ust Yusof Embong (Tim Pesuruhjaya PAS Pahang)
Saya dan
rakan-rakan menghantarnya ke penempatan Sekolah Sg Isap Taman Murni
dengan menaiki bot, saya terus ke kantin sekolah, bertemu dengan Dato
Tengku Zul (calon BN yang menentang saya waktu PRU 13 baru ni), kami
berbual seketika, bertanya khabar dan perkembangan semasa berkaitan
banjir, mungkin beliau adalah ketua operasi penempatan mangsa banjir,
saya balik dan berjanji untuk membantu menghantar bantuan makanan ke
Pusat tersebut. Selesai menghantar makanan, kelihatan air semakin naik
dengan mendadak, hari semakin malam, kebetulannya pulak malam tersebut
air pasang besar, saya minta Ust Saharudin menghantar saya balik,
bimbang juga kat Isteri dan anak-anak yang masih kecil, namun jalan
kerumah saya telah dipenuhi air hingga keparas dada dengan arus yang
sangat deras, pihak bomba tidak membenarkan sesiapapun melalui jalan
tersebut, memang begitulah keadaan di Kampung saya hampir setiap tahun.
Talian talipon pulak agak terganggu, bila tanya isteri keadaan dirumah,
entahlah dengar tak dengar, bunyi macam ok jer, saya pun berpatah balik,
lupakan soal mereka.
Malam tu saya tinggal di Pondok Pemuda Al
Kalthumiah, bt 3, panggilan talipon hampir tak henti-henti dari
rakan-rakan jamaah, terutama dari Sungai Isap, ada yang terperangkap,
ada yang minta tolong ambil mereka dan macam-macam lagi, untuk berjalan
kaki ke Sungai Isap dah tak boleh, bot yang digunakan oleh Unit Amal
terpaksa pergi membantu mangsa, bukannya sekejap, apatah lagi di tengah
malam yang gelap diiringi pula oleh hujan lebat, jalan dah terputus,
rakan-rakan dari Kempadang dan sebelah Tanjung Lumpur tidak dapat
membantu kerana terputus hubungan, Tanjung Lumpur pula dinaiki air
pasang, Sg Soi dan Kempadang pun dinaiki air juga, buntu juga saya
dibuatnya untuk mendapatkan tenaga membantu saya. Semua jalan untuk ke
Kuantan terputus, sedihnya bila baca sms rakan yang mengharapkan
pertolongan, tiada apa yang boleh saya lakukan dalam keadaan begini
kecuali perbanyakkan berdoa. Tamparan hebat bagi saya bila semua jentera
PAS dan Unit Amal tidak dapat membantu saya kerana kesemua rumah mereka
telah dinaiki air termasuk rumah Ust Saharudin (Pengarah Jab Amal
Negeri), beliau juga berpindah, bawa lari isteri dan anak-anaknya, saya
terputus hubungan dengannya selama dua hari disebabkan tiada line
talipon, saya pun tak tahu beliau dimana, entahkan hidup atau mati.
Malam
tu tak lena tidur, namun dek keletihan terlelap juga seketika di Pondok
Pemuda, tapi tak boleh lama, baru nak terlelap, air naik membasah
tubuh, lari pula ke tempat lain, pun serupa juga, akhirnya dah tak de
tempat boleh tidur, tunggu je la sampai pagi sambil memikirkan apakah
tindakan yang akan dibuat esok , saya menghubungi pihak bomba dan polis
untuk bertanya tentang perkembangan semasa, namun takde jawapan lansung,
kecewa juga saya dibuatnya. Saya mengharapkan dalam keadaan begini
sepatutnya pihak keselamatan 'all out' untuk membantu rakyat, dengan
segala kemudahan yang mereka ada hasil dari cukai rakyat, mereka boleh
gunakan segala jenis kenderaan darat, air dan udara untuk membantu
rakyat, bukannya selalu pun, apalah salahnya gunakan helikopter untuk
selamatkan mangsa yang terperangkap dan mengapa dalam keadaan banjir
yang begini besar, bot yang digunakan untuk membantu mangsa hanya boleh
dibilang dengan jari sahaja, dah habis ke bot dalam negeri Pahang ni,
saya sempat bertanya kepada anggota bomba dan pertahanan awam, kenapa
hanya sebanyak ini sahaja bot yang digunakan?, jawapannya 'tiada arahan
menyeluruh' , jika benar tiada arahan menyeluruh ertinya kerajaan tidak
all out untuk membantu mangsa, kerajaan apakah ini ........
Musim
tengkujuh dah mula berlabuh, memang saya agak risau juga, takut-takut
banjir besar akan berlaku, rupanya apa yang saya bimbangkan benar-benar
terjadi. Saya dan Unit Amal Kuantan sememangnya dah menubuhkan
jawatankuasa untuk persiapan menghadapi kemungkinan banjir, memang
setiap tahun pun kami begitu semenjak tahun 2001 lagi, selepas banjir
besar di Sungai Isap. Masa tu memang kelam kabut dibuatnya, kami tiada
persediaan, sebab tak pernah berlaku dan lansung tak terduga ianya akan
berlaku di Sungai Isap, saya memegang jawatan sebagai ketua Dewan Pemuda
PAS Kaw Paya Besar, masa tu Sungai Isap berada di dalam DUN Penur yang
dimenangi oleh PAS, banjir naik dengan mendadak, rumah saya di Kampung
Seri Damai juga dinaiki air separas pinggang, namun bila dengar keadaan
yang buruk di Sungai Isap, saya segera turun untuk membantu.
Air
mula naik sebelah pagi, saya sampai di Taman Guru hampir waktu asar,
orang dah ramai kat Masjid Al Hidayah Batu 5, semua mereka belum makan
sejak pagi, saya dan beberapa orang rakan dok bincang macamana nak
masak, maklum tiada persediaan, nak pergi beli makanan bukannya senang,
dalam keadaan jalan dah dipenuhi air, kereta pulak jem dan banyak yang
tersangkut tengah jalan, agak sukar nak pergi, nak jalan kaki, jauh la
pulak, nak menghala ke Kuantan dah tak boleh, dalam keadaan begitu saya
ternampak sebuah ambulan, saya menahannya dan minta tolong dengan
pemandu ambulan supaya bawa saya ke pasaraya di Taman Tas untuk membeli
bahan makanan, agak lucu juga, saya beli mee hon, dapur, gas, kuali dan
bahan-bahan memasak dengan menaiki ambulan, masa balik dari pasaraya,
pemandu memasang siren kecemasan agar kami cepat sampai, kami memasak di
Markas Taman Guru, walaupun air dah naik tapi kami tetap juga goreng
mee hon "mee bodo" je, kasihan kat orang, terutama kanak-kanak yang dah
lapar.
Keadaan yang hampir sama juga berlaku pada banjir 2013
baru-baru ni, apa yang berlaku diluar jangkaan, saya tak menduga banjir
kali ini begitu besar dan cepat, dah la tu, meliputi pulak seluruh
Kuantan, hingga melibatkan hampir semua rumah anggota Unit Amal dan
jentera PAS Kuantan. Pada 2 Dis baru ni, saya sepatutnya berkuliah di
Jerantut, saya bertolak ke Jerantut lebih kurang jam 5.30 petang, ketika
itu hujan lebat, hati sentiasa berdebar-debar takut berlaku banjir,
ketika saya sampai di Gambang, melihat hujan begitu lebat dan tidak
henti-henti saya mengambil keputusan untuk berpatah balik. Saya pulang
kerumah untuk solat maghrib dan menukar pakaian, terus ke Sg Isap dan
memang betul, apa yang saya resah kan betul-betul terjadi, air dah mula
melimpah masuk kedalam rumah terutama di Sg Isap Damai, malam tersebut
saya dan rakan-rakan sempat untuk membantu 2 keluarga di Sg Isap Damai
untuk berpindah.
Setelah itu saya ke Tanah Putih untuk meninjau
keadaan disana, Alhamdulillah sahabat-sahabat pemuda dan Unit Amal
bertindak pantas untuk mengawasi jalanraya agar kenderaan melalui jalan
alternatif kerana jalan di Tanah Putih sebelum jambatan Sungai Kuantan
telah dipenuhi air dan tidak selamat untuk dilalui, saya turut sama
membantu sehingga tengah malam, saya , Ust Sahrudin (pengarah Jab Amal
Negeri Pahang) dan anggota Unit Amal Kuantan berkumpul pula di Masjid Al
Fatah untuk perbincangan persiapan seterusnya sehingga lah kami segera
ke Kg Kurnia kerana telah dimaklumkan air naik dengan mendadak disana,
kami sempat membantu memindahkan sebuah keluarga ke PASTI Al Fatah ..
hampir pagi barulah kami pulang kerumah masing-masing. Pada esoknya 3
Dis seawal pagi kami telah berkumpul di Masjid Al Fatah untuk memulakan
kerja-kerja memasak setelah dimaklumkan telah ramai mangsa yang
berpindah ke penempatan mangsa banjir, tiada lain yang difikirkan
kecuali kebimbangan apa yang berlaku pada tahun 2001 itu berulang, takut
mangsa kelaparan, kalau masa tu mungkin saya tidak dipersalahkan, cuma
mungkin rasa bersalah kalau tak membantu, tetapi 2013 saya bukan lagi
ketua pemuda tapi saya adalah YDP PAS Kuantan yang juga sebagai ADUN,
saya mesti berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat dan pengundi
saya.
Masa yang berbaki beberapa jam untuk menunggu pagi 3 Dis
lansung tidak melelapkan mata, kalau dulu, waktu muda-muda, masa sedang
segak, banjir adalah kegembiraan bagi saya, maklum takde tanggung jawap,
apa yang saya fikirkan ialah mengatur strategi untuk menahan pukat,
memasang 'taut', meredah hutan memburu ikan baung dan tapah kat dalam
hutan belakang rumah saya. Bila musim banjir memang lumayan, seronok
dapat ikan sungai, besar-besar pulak tu, orang kena banjir, itu dia
punya pasal, saya tak fikir pun pasal orang, maklum 'tengah tolol'. Bila
ingat-ingat 'bodohnya aku', serupa je macam memerang yang dok cari ikan
sampai lupa kesusahan orang lain, sedangkan kalau saya susah bukan
ikan-ikan tu yang menolong saya, malahan manusialah yang akan menolong
saya, doa dan solatkan jenazah saya bila saya mati, cari ikan tak salah,
tapi kalau sampai tak tolong orang dalam kesusahan rasanya susah sikit
nak menjawap di hadapan Allah swt bila mati nanti, apatah lagi kalau dah
jadi wakil rakyat, terpaksalah lupakan semua kesukaan saya, sebab PAS
Tanjung Lumpur menang bukan dengan sebab undi dari ikan tapi rakyat.
Ustaz Rosli ialah Adun Tanjung Lumpur, Kuantan.
HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan