HARAKAH: Berikutan kematian misteri mendiang Teoh apakah mungkin SPRM mempunyai agenda sulit yang diperalatkan BN untuk merampas kuasa Pakatan Rakyat Selangor?
LEE: SPRM membuat penyiasatan, yang disenaraikan ada tujuh Adun di daerah Petaling. Semuanya berbangsa Tionghua, enam DAP dan seorang Adun KeADILan. Kita persoalkan kenapa SPRM memilih Adun Tionghua, apakah ada sesuatu niat tertentu.
SPRM nampaknya buat penyiasatan secara selektif. SPRM cuba mencari kesalahan Adun Pakatan Rakyat dengan membuat penyiasatan daripada peruntukan Adun.
Kita lihat SPRM melakukan penyiasatan dengan kerjasama BN untuk cuba mencari kesalahan Adun Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Melalui pembongkaran dan penyelewengan dan sudah tentu akan menjatuhkan imej kerajaan Selangor.
Apabila sudah ada kes Adun atau Exco terlibat akan dibawa ke mahkamah dan sekali gus Adun terlibat tidak boleh menjadi wakil rakyat. Selepas itu akan diadakan pilihan raya kecil dan BN akan bertanding. BN akan melakukan tindakan ini untuk menawan kembali kerajaan negeri Selangor.
Kita mengesaki bahawa tindakan SPRM membuat penyiasatan terhadap Adun Pakatan Rakyat mempunyai agenda politik tertentu. Mungkin mereka diperalatkan oleh BN.
Apakah benar, sebelum SPRM membuat penyiasatan terhadap Adun Pakatan Rakyat, mereka telah menerima aduan daripada pihak tertentu tentang penyelewengan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat?
Jika ada laporan, maka perlu disenaraikan apa yang telah diselewengkan oleh Adun Pakatan Rakyat. Kenapa buat penyiasatan hanya kepada kerajaan negeri Selangor? Kenapa penyiasatan itu tidak dilakukan terhadap Adun BN Selangor yang telah menghabiskan peruntukan Adun tidak sampai dua bulan sebelum Mac 2008?
Peruntukan yang dihabiskan oleh Adun BN, setiap seorang mendapat RM500,000, dan dalam masa 44 hari kesemua wang itu telah dihabiskan oleh hampir semua Adun BN di Selangor. Apabila kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Mac 2008, kerajaan terpaksa keluarkan peruntukan yang baru untuk menampung perbelanjaan sembilan bulan bagi projek pembangunan.
Kes ini kita telah bawa dan kita mendesak SPRM untuk melakukan penyiasatan. Malangnya mereka tidak bertindak hingga ke hari ini.
Peruntukan sebanyak RM1,000 dan selama setahun RM12,000 untuk pengurusan pejabat setiap bulan itu pun dibelanjakan. Jadi kita dapat mempersoalkan kenapa peruntukan itu digunakan dan habis dalam masa kurang dua bulan.
Ternyata ada unsur-unsur penyelewengan dan ianya telah mendapat laporan akhbar tetapi tidak ada tindakan daripada SPRM.
Begitu juga dengan kes bekas Menteri Beser Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo. Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam, ada kes yang kita nampak jelas penyelewengan.
Misalnya di Sungai Panjang tempat Khir Toyo ada pembinaan Marin Park. Perbelanjaannya bermula dengan RM1 juta kemudian naik RM10 juta dan terus meningkat RM29.98 juta. Jadi peningkatan ini tidak munasabah.
Apa yang dibuat di situ, satu projek tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, baik peraturan kewangan dan Majlis Daerah. Begitu juga hutan simpan ditebang, taman orkid di Rawang yang menghabiskan wang dan berlaku penyelewengan berjuta-juta ringgit tetapi SPRM tidak nampak perkara itu dan tidak disiasat.
Apakah YB bersedia untuk disiasat dan memberi kerjasama kepada pihak SPRM?
Saya bersedia untuk disiasat tetapi saya tidak akan pergi ke pejabat SPRM. Ini arahan daripada kerajaan negeri Selangor supaya SPRM datang ke pejabat Adun dan mana-mana pejabat kerajaan negeri untuk menyiasat.
Apakah motif utama SPRM menjadikan mendiang Teoh sebagai saksi utama dalam penyiasatan tersebut?
Ini kerana mendiang Teo yang menguruskan pembelian bendera untuk sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-51 tahun 2008 daripada pembekal. Oleh kerana mendiang yang menguruskan semua dokumen dan wang peruntukan maka dia yang disoal siasat.
SPRM menemui mendiang, ketika itu kerajaan sedang mengadakan sidang Dewan Negeri. Begitu juga ketika SPRM datang ke pejabat Exco Ean Yong Hian Wah. Ean Yong tidak dapat menghadiri sidang kerana SPRM telah menyerbu pejabatnya.
Tindakan SPRM itu merupakan gangguan dan tidak sepatutnya berlaku dalam waktu itu. Pihak SPRM boleh hadir ke pejabat SUK pada bila-bila masa selepas tamat sidang Dewan Negeri.
SPRM memang semak semua perbelanjaan pada tahun 2008. Mereka menyemak sama ada semua pembekal ada resit yang berkaitan. Jadi, Teoh uruskan segala peruntukan dengan Pejabat Daerah. Semua perbelanjaan telah disenaraikan dan dipamerkan dalam website pejabat Daerah.
Siasatan terhadap mendiang Teoh sehingga jam 3.45 pagi. Bagaimana YB melihat kes ini?
Mereka tidak seharusnya menyiasat Teoh selepas jam 6.30 petang. Mereka harus membenarkan orang yang disiasat itu balik. SPRM mendakwa cara penyiasatan yang dilakukan mengikut cara yang dilakukan di Hong Kong.
Sebenarnya apa yang dilakukan di Hong Kong di bilik soal siasat mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi di pejabat SPRM di bangunan Plaza Masalam tidak mempunyai CCTV.
Di bilik soal siasat di Hong Kong mempunyai cermin (yang boleh nampak apa saja perbuatan yang dilakukan dalam bilik siasatan). Siasatan di Hong Kong, mereka akan tulis dan rekod serta bacakan apa yang ditulis kepada orang yang disoal siasat.
Orang yang disoal siasat diberi satu salinan, pihak penyiasat ada satu salinan dan salinan ketiga disimpan. Jika ada pertikaian maka mereka boleh rujuk semula. Tetapi perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Apa yang dilakukan SPRM membuat tindakan memaksa, ugut dan ganas.
Bolehkah orang yang disyaki disiasat sehingga jam 3.45 pagi?
Sesiapa saja selepas disoal siasat mereka akan balik segera ke rumah. Memang tidak masuk akal hendak duduk lagi di pejabat SPRM. Mesti hendak balik cepat ke rumah. Lagi pun mendiang bawa kereta ke pejabat SPRM. Tidak mungkin mendiang hendak bermalan di pejabat SPRM kerana tempat seperti itu apa sahaja boleh berlaku.
Satu lagi tidak masuk akal mendiang akan daftar perkahwinan pada hari Khamis selepas sesi soal siasat. Jadi dalam keadaan itu kalau kita kata mendiang bunuh diri, sebagaimana dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz dan SPRM memang tidak masuk akal. (Harakah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan