‘‘Kenapa ni? Anak saya dah bebas. Dah bayar jamin, anak saya dah bebas.’’
Itu yang diulangi oleh pelakon veteran, Azean Irdawaty kepada beberapa anggota polis berpakaian preman ketika mereka menahan semula anak lelaki tunggalnya, Benjy.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2.50 petang, lapan minit selepas Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, dibebaskan dengan ikat jamin.
Kali ini, penahanan Benjy dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 yang membolehkan pelakon itu ditahan selama 60 hari.
Terdahulu, Benjy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memiliki dadah jenis metaphetamine seberat 0.24 gram.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 4 petang, 11 Mac lalu di sebuah premis beralamat A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B off Jalan Segambut, Sentul di sini.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaima Mohd. Noor manakala Benjy diwakili peguam bela, Amer Hamzah Arshad.
Majistret Hafizza Sauni membenarkan tertuduh dibebaskan secara jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 8 April ini.
Sementara itu, sebelum pelakon watak Jibek dalam drama Kerana Cintaku Saerah ditahan semula, kelihatan hampir 10 orang anggota polis dan pegawai berpakaian biasa menunggu di luar kaunter reman.
Keadaan bertukar kelam kabut sebaik sahaja Benjy ‘dicekup’ sewaktu melangkah keluar dari kaunter jamin menyebabkan ibunya terpinga-pinga.
Amer Hamzah pula dilihat cuba menghalang tindakan anggota polis yang cuba menggari Benjy dengan memegang dan melindungi anak guamnya sambil meminta surat penahanan.
Tindakan tersebut bagaimanapun gagal apabila pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi drama Hanya Untukmu pada Anugerah Skrin Ke-6 tahun 2003 terus dibawa pergi.
Sementara itu, Azean dilihat cuba mendapatkan penjelasan daripada seorang anggota polis tetapi hanya dimaklumkan supaya berjumpa dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang.
Adik Benjy, Elza Irdalyna yang pada mulanya hanya berdiam diri tiba-tiba menjerit apabila melihat abangnya dibawa pergi oleh sekumpulan anggota polis sebelum menangis.
Azean ketika ditemui selepas kekecohan itu berlaku meluahkan rasa kesalnya dengan kejadian tersebut.
‘‘Tolonglah jadi profesional. Kali ini anak Kak Yan ditangkap sebab apa? Yang dituduh sebelum ini kata tak ada apa-apa pun.
‘‘Kak Yan seorang ibu yang sakit. Berapa kali nak bagi Kak Yan stres?’’ ujarnya.
Ditanya mengenai tindakan selanjutnya, Azean menyatakan dia tidak tahu kerana kebingungan.
‘‘Masa jumpa tadi, tak cakap apa-apa pun. Dia (Benjy) cuma cium tangan Kak Yan dan Kak Yan gosok kedua-dua pergelangan tangannya yang dah bergari selama dua minggu,’’ katanya yang mula dilihat bergenang air mata.
Mengikut ADB, Langkah-Langkah Pencegahan Khas digunakan bagi menangani mereka yang diyakini terlibat dalam pengedaran dadah tetapi tidak mengendalikan, sebaliknya hanya mengeluarkan arahan dan menjadi orang tengah dalam urusan jual beli.
Benjy sebelum ini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana disyaki mengedar dadah.
Dia yang sudah berkahwin dengan Safiya Stephanie Kar Leng Lee, 26, pada 9 Februari 2004 dikurniakan dengan seorang anak lelaki Firdauz Juan, 4.(UM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan