Translate

Senarai Blog Saya

Isnin, 5 April 2010

Asri Mahu Tubuhkan Parti Politik?



Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (gambar) dilaporkan sedang berusaha untuk menubuhkan parti politiknya sendiri bagi membolehkan beliau dan rakan-rakannya menyertai pilihan raya.

Menurut sumber, untuk mempercepatkan proses itu, beliau dilaporkan berusaha untuk mengambil alih parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) namun ditolak oleh para pemimpin mereka.

Akim ditubuhkan pada tahun 1995 ekoran tindakan PAS terhadap ketuanya, Musa Salleh. Dalam pilihan raya umum 1999, Akim bertanding dua kerusi parlimen iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh namun kalah kedua-duanya. Presidennya, Hanafi Mamat menyertai pilihan raya kecil Permatang Pauh namun hanya mendapat 92 undi sahaja.

Menurut sumber, ekoran kegagalan untuk mendapatkan persetujuan mengambilalih Akim, Asri sedang berusaha untuk mendaftar sebuah parti politik baru.

Baru-baru ini, Asri telah berhenti menjadi kolumnis akhbar milik Umno, Utusan Malaysia. Ekoran itu, beliau mula menulis dengan laman web Malaysiakini.

Menurut sumber Utusan, tulisan terakhir Asri di Utusan ditolak oleh sidang editornya kerana terlalu banyak unsur-unsur kefahaman Wahabi yang dikaitkan dengan Asri dalam tulisan itu.

"Kami telah cuba edit dan memotong hampir separuh tulisannya tetapi masih tidak boleh disiarkan kerana masalah itu," kata satu sumber Utusan.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Harun Taib pernah mengunjungi Asri di rumahnya dekat Pulau Pinang. Dalam pertemuan itu, Asri dilaporkan berkata, Harun menawarkan beliau menyertai PAS.

Namun begitu, Harun dalam jawapan balasnya berkata, beliau bukan menawarkan Asri menyertai PAS tetapi meminta atau mengarahkan Asri menyertai PAS.

Akhbar Sinar Harian pernah melaporkan, Asri pernah berminat untuk menyertai PAS.

“Masa jadi Mufti Perlis dahulu, dia memang sayang PAS. Masa jadi pensyarah universiti pun dia sayang dengan PAS. Masa jadi penceramah agama pun begitu. Saya yakin sekarang pun begitu. Saya pernah mengatakan dia layak masuk PAS memandangkan parti ini berjuang menegakkan Islam syumul, tidak seperti UMNO. Maka PAS adalah parti yang paling sesuai dengannya,” kata Harun Taib sebagaimana dilaporkan akhbar itu November 2009.

Sikap sebenar Asri dalam politik kini menjadi tanda tanya kerana beliau antara pihak yang berucap di perhimpunan Perkasa baru-baru ini.

Beliau kini masih dalam perbicaraan oleh Mahkamah Syariah Selangor ekoran tangkapan yang dibuat ke atas beliau kerana memberikan kuliah agama tanpa tauliah.(Harakah)
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular