Translate

Isnin, 16 Ogos 2010

Anti ISA: Polis Arah Sambung Ikat Jamin.


Polis mengarahkan mereka yang ditahan pada program nyalaan lilin sempena 50 tahun ISA disambung ikat jamin sehingga 1 September depan, jelas seorang yang terbabit, Steven Ng.
Difahamkan, ketetapan terbaru itu disampaikan oleh Pegawai Penyiasat (IO), ASP Azaidi Abdul Talib kepadanya pagi tadi.
Menurut beliau, ketetapan terbaru itu dibuat memandangkan Timbalan Perdakwa Raya (DPP) masih belum membuat ketetapan sama ada mengenakan caj kepada mereka atau sebaliknya.
Bagaimanapun, mereka yang terbabit akan dirujuk pada Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 September ini, jam 8 pagi.
Sebelum itu, seramai 25 daripada 30 yang ditahan berhimpun di IPD Polis Petaling Jaya atas dakwaan menyertai perayaan nyalaan lilin anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Dataran MBPJ, Padang Timur (berdekatan Amcorp Mall) pada 1 Ogos lalu.
Salah seorang yang ditahan, Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Gerakan Mansuh ISA (GMI) berkata, sepatutnya sebutan kes mereka yang ditahan dilakukan di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.
"Sepatutnya sebutan kes pagi ini di Mahkamah Majistrit PJ, mungkin sebab tiada bukti, kami dipanggil ke sini (IPD Petaling Jaya)," ujarnya selepas diikat jamin oleh polis secara jaminan mulut.
Katanya, tindakan polis itu semata-mata untuk menyusahkan mereka yang terbabit di samping mewujudkan budaya takut di kalangan rakyat dari menyertai GMI membantah akta tahanan tanpa bicara itu.
Katanya lagi, polis sepatutnya membebaskan mereka yang terbabit sekiranya nyata tidak mempunyai bukti yang munasabah.
"Kalau ada caj, caj lah. Kalau tiada caj, tak payah panggil kami lagi," beliau menambah.
Salah seorang yang ditahan, E. Nalini yang juga Setiausaha Gerakan Mansuh ISA (GMI) mencadangkan mereka yang terbabit tidak lagi melayan karenah polis sehinggalah pihak polis mempunyai ketetapan yang jelas berhubung status mereka masing-masing.
"Sebenarnya mereka sendiri masih belum ada bukti untuk mencaj kita di mahkamah. Kalau ASP Azaidi masih belum ada keputusan, kita jangan datang lagi ke sini," ujarnya yang juga Koordinator Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hak asasi manusia.
Bercakap pada kenyataan yang sama Badrul Hisham Shaharin, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyifatkan tindakan polis itu merupakan pengalaman terbaik untuk anak muda yang ditangkap.
Ini kerana, katanya lagi, tahanan tanpa bukti yang munasabah tersebut bakal mengajar anak muda dan mahasiswa yang terbabit supaya terus bangkit.
"Tangkapan kali ini, saya rasa agak seronok kerana ada banyak muka-muka baru di kalangan anak muda dan mahasiswa yang akan menjadi pengalaman biasa dengan proses biasa lagi mengarut yang sengaja diada-adakan oleh polis ini," ujarnya.
"Dengan tindakan-tindakan sebegini, saya semakin yakin bahawa anak muda dan mahasiswa semakin berani bangkin menentang rejim yang ada."
Beliau turut mendakwa polis melakukan kesalahan iaitu melakukan tangkapan rambang tanpa terlebih dahulu memberi arahan bersurai dalam masa yang wajar, seperti prosedur dalam Akta Polis sendiri.
Didapati, anak muda dan mahasiswa yang terbabit antaranya Lee Wei Ni, 23 tahun, See Tshiung Han (29), Albert Ang Yik Chuan (27), Muhammad Firdaus Khalid (21), Abdul Aziz Muhammad Ahmadi (21), Lim Jian Xing (21), Naqiuddin Sahar (23) dan Fiatriey al-Haqimiey.
Dalam perkembangan berkaitan, didapati pihak polis masih belum melakukan tindakan susulan ke atas  mereka yang ditahan pada perayaan nyalaan lilin anti ISA di Ipoh dan Georgetown 1 Ogos lalu.
Nyalaan lilin anti ISA anjuran GMI, parti-parti oposisi serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sebagai bantahan pada pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri kerana mempertahankan akta berusia lebih 50 tahun walaupun nyata bertentangan dengan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia. (Harakahdaily)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular