Translate

Khamis, 11 November 2010

Sejarah Wajib Lulus : Rakyat Dan Institusi Diraja.


Sejarah tidak pernah menafikan bagaimana eratnya hubungan antara orang-orang Melayu dengan institusi Diraja. Sejak zaman dahulu kala, orang-orang Melayu begitu sinonim dengan ketaatan dan kesetiaan kepada Raja.

Di atas ketaatan dan kesetiaan itulah yang memungkin wujudnya sistem beraja di sembilan buah negeri di Semenanjung Malaysia, walaupun penjajah British dan Umno-Barisan Nasional sudah menukarkan fungsi Raja-Raja Melayu daripada pentadbir kepada Raja Berperlembagaan sahaja.
Dalam apa pun keadaan, kedaulatan dan kemuliaan Raja-Raja Melayu tetap dipelihara dan dijunjung rakyat jelata di seluruh pelusuk negara.

Buktinya, Perkara 181, 153, 152 dan lain-lain (dalam Perlembagaan) yang berkaitan dengan kuasa Diraja termasuk Perkara 38 dan 43 di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedudukan tertinggi dalam sistem beraja tetap terjamin dalam negara.

Fungsi Raja sebagai payung kepada orang-orang Melayu khususnya, dan juga sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, sehingga kini begitu ditaati dan dipatuhi setiap rakyat.

Namun, dewasa ini wujud di kalangan rakyat yang dilihat semakin berani mempertikaikan titah Sultan dan Raja.

Mengapakah keadaan ini boleh berlaku sekarang? Apakah Sultan atau Raja begitu maksum sehingga tidak boleh menerima nasihat dan disanggah sama sekali?

Ada dua elemen yang boleh mendorong Raja disanggah. Pertamanya, baginda tidak adil. Keduanya, baginda tidak memelihara kesucian agama.

Ketidakadilan seseorang Raja boleh dikaitkan dengan tindakan penguatkuasaan pemerintahannya yang berat sebelah.

Misalnya, apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hendak berucap di Masjid, ada titah yang melarang beliau berbuat demikian, atas alasan PAS membawa politik dalam masjid. Seharusnya pihak berkuatkuasa agama menyatakan bukti, pada bahagian mana ucapan Tuan Guru bercanggah dengan Islam atau melanggar titah Raja.

Bandingkan pula dengan tindakan Umno-BN, yang menganjurkan solat hajat dan bacaan yassin untuk memenangkan calon BN yang bukan Islam. Jelas, BN menggunakan masjid untuk kempen politik, malah mendoakan kemenangan untuk memuliakan bukan Islam di masjid.

Bukankah tindakan Umno-BN ini mencemar kemuliaan masjid dan melanggar titah Raja? Mengapa tiada institusi agama yang bangkit? Mengapa tiada titah Raja dikeluarkan dalam hal ini?

Barangkali di sini, bukan salah Raja. Tetapi Umno-BN melalui institusi agama yang dikuasainya, memperalatkan Raja untuk kepentingan politik mereka. Ini tidak adil!

Perkara yang kedua terpenting ialah soal kesucian agama. Raja sebagai tonggak negeri, Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

Untuk itu golongan Diraja seharusnya mengelakkan wujudnya beberapa insiden yang mencemarkan institusi Diraja. Raja-raja, anak-anak Raja, bakal-bakal Sultan, dilaporkan pernah terbabit dalam insiden yang memalukan, sebagaimana yang dilaporkan media massa sebelum ini.

Ada yang dilaporkan berpeleseran di kelab malam. Ada yang didakwa mabuk sehingga bergaduh sesama sendiri di kelab malam. Ada yang dikatakan kuat berjudi.

Pokoknya, golongan istana harus memahami bahawa di zaman moden ini, tiada aral komunikasi, rakyat boleh melihat dan mengetahui dengan jelas perilaku mereka, tambahan pula jika ada kalangan golongan ini yang sentiasa bergelumang dengan maksiat.

Persoalannya, bagaimanakan golongan ini layak dihormati dan didoakan pada setiap kali solat Jumaat, jika sifat peribadi serta perilaku baginda tidak secocok sebagai Ketua Agama Negeri?

Justeru, jangan salahkan rakyat, jika rakyat bersuara, walaupun ianya kelihatan 'menyanggah titah Raja'.

Raja yang akan dihormati dan didaulatkan, adalah Raja yang adil kepada semua rakyat baginda, tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan pemikiran politik.

'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah'.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular