Translate

Sabtu, 15 Januari 2011

Malapetaka Darwinisma Terhadap Kemanusiaan. (Bhg. 14)

KEBIJAKSANAAN DATANG DARIPADA PERANGAI, BUKAN DARAH
Gambaran Darwin terhadap manusia sebagai satu spesies yang telah berkembang dan pandangan beliau bahawa sebahagian bangsa masih belum menyempurnakan pembangunan mereka, dan sebagai spesies-spesies yang paling hampir dengan haiwan, adalah sangat berbahaya dan amat membinasakan di dalam sejarah manusia. Mereka yang menerima dakwaan Darwin ini sebagai panduan mereka dengan kejam telah menindas bangsa-bangsa lain, memaksa mereka tinggal di dalam keadaan yang teruk, dan malah menghapuskan mereka.
Bryan Appleyard, pengarang buku Brave New Worlds, menjelaskan mentaliti ganas yang mendasari rasisme, dan kesan daripadanya, seperti berikut:
Kenyataannya ialah apabila manusia menganggap anda sebagai satu makhluk yang lebih rendah kerana apa pun sebabnya, samada sebab khurafat atau saintifik, tidak akan ada batasan keganasan yang akan mereka lakukan kepada kamu. Dan mereka akan merasakan bahawa perasaan ganas mereka telah dijustifikasikan sepenuhnya, kerana ia adalah satu langkah ke arah mempercayai bahawa manusia lain bermartabat rendah, jahat, dan berbahaya, atau menggugat manusia "bermartabat tinggi". Lebih daripada itu, mereka mungkin melihat fakta ini dengan lebih teruk dan mendakwa semua manusia "bermartabat rendah" adalah berbahaya kerana mereka mengancam kehidupan atau kesihatan seluruh bangsa manusia. Mereka kemudian akan memulakan pembersihan, menyekat perkahwinan, atau malah membunuh untuk menghalang serangan ke atas integriti spesis.42
Bagaimanapun, semua manusia telah dijadikan sama rata. Setiap orang telah dijadikan oleh Allah. Al-Quran telah menerangkan penciptaan manusia seperti berikut:
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan- Nya kejadian manusia berasal dari tanah; Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (Surah As-Sajdah:7-9)
Seperti yang dijelaskan di dalam ayat di atas, manusia memiliki roh yang dikurniakan Allah kepada mereka. Setiap manusia, tanpa mengenal perbezaan kaum, berfikir, berperasaan, mencintai, menderita, merasa ghairah, dan mengenali cinta, menyayangi, dan merasa belas kasihan. Dan setiap manusia juga mengenali keganasan, kebencian, dan kesusahan. Kerana itulah, sepanjang zaman, mereka yang mempercayai bahawa bangsa-bangsa lain adalah haiwan yang separuh membangun dan menzalimi mereka, mereka yang menekan, menindas, mengeksploitasi walau hanya seorang manusia, dan mereka yang menyokong perlakuan-perlakuan ini dengan bukti-bukti dan teori salah yang mereka hasilkan, telah melakukan dosa yang paling besar di atas penolakan mereka.
Di zaman kita juga terdapat budaya masyarakat manusia yang tidak berkembang. Mereka memiliki semua sifat-sifat manusia, tetapi mereka kekurangan kriteria dari aspek teknikal dan kebudayaannya, secara umumnya mereka inilah yang memerintah dunia. Disebabkan oleh klimaks tempat mereka tinggal dan keadaan semula jadi, banyak komuniti yang hidup terasing daripada masyarakat dunia umumnya dan telah mengembangkan kebudayaan yang berbeza. Tetapi setiap satu daripadanya pasti wujud sifat-sifat, adat, dan kelakuan yang biasa bagi manusia. Mereka yang mempunyai agenda tersembunyi, dan mereka yang melihat keuntungan di dalam rasisme, dengan penuh ghairahnya telah menerima teori Darwin dan menerima manusia-manusia ini, yang sebenarnya tidak berbeza daripada manusia-manusia lain, sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang mundur dan malah seperti binatang. Hasil daripada pandangan ini, sehingga ke hari ini telah muncul mereka yang menindas dan menekan manusia dan komuniti yang mundur yang tidak berkembang.
Allah, bagaimanapun, telah mengharamkan rasisme. Allah telah menjadikan manusia, di dalam warna yang berbeza dan bertutur di dalam bahasa yang berbagai. Ini merupakan tanda-tanda kesenian dan keperbagaian ciptaan Allah:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan. (Surah Ar- Rum:22)
Pada pandangan Allah, satu-satunya kemuliaan ialah akhlak seseorang, penghindaran daripada semua jenis dosa dan kemungkaran, dan ketinggian moral yang diperolehi daripada ketaatannya kepada agama. Sebahagian ketaatannya kepada agama ialah menyakini tidak ada manusia yang memiliki ketinggian melebihi orang lain yang diperolehinya daripada sifat-sifat luarannya. Allah menjelaskannya di dalam sebuah ayat:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat:13)
BERSAMBUNG.....

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular