Translate

Senarai Blog Saya

Isnin, 25 April 2011

Gapena Gesa Putrajaya Tidak Hidupkan PPSMI


Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) membantah langkah kemungkinan Putrajaya memperkenalkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Mateamtik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam dua bahasa pengantara ekoran desakan pelbagai pihak.

Kerajaan mengumumkan dasar baru menggantikan PPSMI pertengahan tahun lalu.

Setiausaha Satu Gapena Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata pengumuman membolehkan PPSMI dalam dua bahasa pengantar sedikit sebanyak merupakan kemenangan politik kepad Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page).

Sehubungan itu soal beliau, apakah kepentingan rakyat terbanyak tidak merupakan kepentingan politik manakala kepentingan rakyat terbanyak tidak didahulukan.

“PPSMI kini mencetuskan polemik yang tidak kunjung selesai, malah menimbulkan reaksi yang pelbagai apabila Perdana Menteri menyebut di kalangan sahabat Facebook di Pulau Pinang bahawa kemungkinan kerajaan akan mengkaji cadangan PPSMI diajar di dalam dua bahasa pengantar,” kata beliau di ruangannya diterbit Utusan Malaysia hari ini.

Kata beliau, Page dan beberapa akhbar berbahasa Inggeris mula mencanangkan isu bilingualism untuk PPSMI sebagai jalan keluar terbaik, suatu situasi menang-menang, yang tidak semestinya terbaik.

Zainal berkata Persatuan Linguistik Malaysia bersama-sama 48 pertubuhan Melayu juga Gapena membantah sekeras-kerasnya akan cadangan berkenaan.

“Lulus jarum lulus kelindan, bermula dari PPSMI, maka akan ada pula cadangan untuk multilingualism di sekolah-sekolah,” katanya.

Zainal berkata, identiti nasional yang berteraskan kepada seluruh wadah dan wahana kebangsaan akan hancur luluh, diluluh-lantakkan oleh kepentingan kelompok minoriti.

“Bahasa sebagai simbol perjuangan kebangsaan, perpaduan kebangsaan yang berteraskan semangat kebangsaan tidak lagi mempunyai apa-apa makna. Ia akan terakam sebagai satu sejarah yang dikalahkan oleh kepentingan praktis dan material kehidupan manusia.

“Para pejuang bahasa sekeras-kerasnya menolak PPSMI tetapi tidak menolak peri pentingnya bahasa Inggeris. Mereka memikirkan kepentingan bangsa dan negara bukannya kepentingan sekelompok kecil elit dan kelas atasan,” katanya.

Zainal menambah, ditimbulkan persoalan ini bukannya para pejuang bahasa antikelas tetapi khuatir ada pihak yang akan mengguna isu ini dalam kerangka kepentingan politik.

Secara khususnya kata beliau, pembesaran kelas menengah Melayu disebabkan oleh pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Semakin ramai kelas teknokrat, korporat dan birokrat Melayu adalah disebabkan kedua-dua dasar tersebut, walau pun dari segi jumlah kelas ini masih kecil berbanding kelas yang sepertinya di kalangan bukan Melayu,” katanya lagi.

Amat dikhuatirkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengucapan kelas birokrat, teknokrat dan korporat Melayu di bandar seperti Bukit Damansara dan kawasan-kawasan sepertinya berbanding majoriti rakyat di luar bandar yang terus berbahasa Melayu.

“Maka bahasa Inggeris untuk kelas atasan Melayu manakala bahasa Melayu untuk kelas bawahan Melayu,” katanya lagi.

Zainal juga berkata, seandainya isu PPSMI kembali dipolitikkan dan parti politik Melayu yang dominan seperti Umno sepi pula untuk memberikan reaksi, kemungkinan parti politik pembangkang Melayu lain akan mengutipnya mewadahi perjuangan politik mereka.

“Faktor jurang kebudayaan ini boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik. Sekiranya agenda Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tidak direalisasi secara konkrit, maka masalah juga akan muncul.

Beliau menambah, daripada pengalaman di beberapa bahagian dunia bahasa boleh mencetuskan konflik dalaman sesuatu negara, tetapi adalah amat diharapkan isu PPSMI ini tidak terjerumus ke lembah konflik.

“Pihak pemerintah telah mengemukakan MBMMBI, maka pelaksanaannya perlu disegerakan dan tidak wajar PPSMI dikaji semula atau dilaksanakan dalam apa jua bentuk,” katanya.

Kata beliau, pendekatan dan kaedah yang ditetapkan oleh MBMMBI amat memadai untuk mempertingkatkan keterampilan berbahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah.

“Kita tidak mahu ada kelompok yang terus mengasingkan diri dari kelompok majoriti. Pengasingan budaya melalui bahasa amat berbahaya.

“Janganlah isu PPSMI diulang kembali untuk memusnahkan segala harapan untuk mencapai kemajuan, kesejahteraan, keamanan, masa depan rakyat terbanyak dan negara, maka berjiwa besarlah untuk mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak,” katanya. Insider
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular