Translate

Senarai Blog Saya

Selasa, 5 April 2011

Speaker Tidak Benar Video Seks Di tayang Di Parlimen.... Satu langkah Bijak.


Rakaman video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang tidak akan ditayang di Parlimen, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Katanya beliau tidak akan membenarkan Dewan Rakyat digunakan oleh mana-mana individu untuk kepentingan peribadi atau agendapolitik.

"Pendapat saya mengenai hal ini adalah begini, iaitu sewaktu mesyuarat ahli-ahli Yang Berhormat adalah dilarang untuk menggunakan perkara-perkara yang dilarang oleh Peraturan Mesyuarat seperti 'unparlimentary words' atau tuduhan yang tidak berasas.

"(Jika) yang itu pun tidak dibenarkan mesyuarat, macamana saya boleh membenarkan dalam Parlimen untuk tayangan satu perkara yang pertama melanggar Peraturan Mesyuarat (dan) sengaja di bawa ke Dewan Rakyat, kedua dalam Islam itu adalah perkara yang haram.

"Jadi saya ingatkan Yang Berhormat kalau berpolitik, berpolitiklah di luar sana sewenang-wenangnya. Dalam Dewan ini kita dipandu oleh etika-etika tertentu, jangan oleh kerana kepentingan politik individu menjustifikasikan tindakan dahulu, lepas itu menggunakan wakil rakyat sebagai pelindung," katanya selepas sesi soal jawab berakhir pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) bangkit untuk bertanyakan pendirian Pandikar mengenai cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh semalam agar video seks itu ditayangkan di Parlimen memandangkan anggota Parlimen mempunyai imuniti yang melindungi mereka daripada sebarang liabiliti jenayah.

Bagaimanapun Pandikar berkata beliau akan mengambil tindakan sewajarnya jika menerima usul daripada mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang yang membangkitkan perkara itu.

"Tetapi dalam soal yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat (Ibrahim) itu saya tidak ada menerima usul dari mana-mana pihak sama ada pihak kerajaan atau pembangkang yang membangkitkan perkara ini dan kalau ada usul di bawa di depan saya, saya akan mengambil tindakan.

"Yang dibincang dalam Dewan Rakyat ini ialah hal-hal rakyat dan perbincangan itu ada kaitan dengan usul, kalau sesuatu perkara itu mustahak dan perlu disegerakan ia di bawa di bawah usul mesyuarat 18 (1) dan terpulang kepada saya menolak atau tidak. 

"Kalau hal itu berkaitan dengan hal lain maka usul juga di bawa dan peraturan mesyuarat 26 dan 27 ada kaitan iaitu notis 14 hari kalau bukan tujuh hari. Kalau usul di bawa oleh menteri mengenai kepentingan rakyat maka sehari atau 24 jam (adalah) memadai," katanya.

Pandikar berkata beliau juga tidak akan yang memberi sebarang kenyataan akhbar di luar Dewan mengenai sebarang isu yang tidak berbangkit di dalam Dewan.

"Saya dikejar oleh pemberita mohon pandangan saya kepada soal begini, saya tidak memberi kenyataan akhbar di luar, saya tidak pun menjawab atau respon kepada permohonan pemberita, bukan saya sombong atau apa.

"Kalau ada pemberita-pemberita yang buat liputan ini, lain kali tolong, saya mohon jangan minta pendapat saya mengenai soal-soal politik di luar sana.

"Saya seringkali nyatakan tugas Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua adalah seperti hakim mahkamah, takkan perkara yang belum sampai ke meja hakim, hakim terus menjatuhkan hukuman walaupun akhbar atau individu telah mengatakan bahawa satu pembunuhan berlaku, begitu juga hal Dewan Rakyat," katanya.

Mengenai imuniti yang melindungi anggota Parlimen daripada sebarang liabiliti jenayah, beliau berkata: "Kalau perkara itu ada hubung kait dengan tugasnya sebagai ahli Parlimen maka pada pendapat saya barulah imuniti 'Parlimentary privilege' itu boleh digunakan," katanya. 

- Bernama
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular