Translate

Isnin, 16 Mei 2011

Bukti Yang Umno Anak Emas Penjajah dan Anti Islam.

"Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Ku hadapkan muka kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku  kuserahkan hanya kepada Allah seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukanNya. Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Islam".

Inilah ikrar yang dilakukan oleh orang Islam PAS, orang Islam Umno, orang Islam PKR, orang Islam DAP dan yang mengaku Islam tanpa mengira bangsa. Ikrar yang dilakukan sebanyak lima kali sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari dalam setahun tanpa terlepas dari sakit atau uzur. Dengan penuh semangat kita berikrar dalam solat kita yang mana ikrar itu dinamakan 'Doa If'titah'.

Kita mengakui bahawa solat kita, ibadat kita, hidup dan mati kita diserah bulat-bulat kepada Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam. Betulkah kita benar-benar ikhlas dalam pengakuan kita terhadap Allah dan kita tidak menyekutukanNya dalam ikrar kita?. Atau kita hanya mempermain-mainkan sebagai pelengkap kepada solat kita dan mungkin solat kita itu pun belum tentu lagi lulus.

Setakat mana pengakuanku kita yang kita tidak sesekali menyekutukanNya. Apakah cukup dengan ikrar kita yang hanya sekadar manis di bibir seumpama menanam tebu di tepi bibir. Hakikatnya kita lah yang paling gah menyekutukan Allah dengan melakukan berbagai perkara yang ditegah. Kita menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Kita boleh menipu diri kita dan orang lain tetapi tidak bagi Allah Yang Maha Mengetahui segala yang kita lakukan.

Yang paling ketara penipuan ikrar kita ialah mempermainkan hukum yang telah di turun oleh Allah s.w.t. kepada kita. Bukan setakat mempermainkannya, malah kita menghina hukum Nya. Cukupkah alasan kita yang kita tidak ada upaya untuk melaksanakannya kerana kita bukan pemimpin dan kita menyalahkan pemimpin yang kita sendiri memberi undi kepada mereka. Mungkin kita boleh meletakkan segala tanggung jawab itu kepada pemimpin tetapi cukupkah alasan yang akan kita berikan di Padang Mahsyar nanti.

Sedangkan di sisi Allah s.w.t., setiap nafas yang kita hembuskan belum dapat dihitung dengan solat dan ikrar kita itu. Sebagai seorang Islam yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t., kita hanya menipu diri kita sendiri tanpa merasa malu, malah dengan megah dan sombong kita menentang secara terang-terangan terhadap Nya. Kita lebih memuja kepada perlembagaan penjajah yang berteraskan sekularisme daripada perlembagaan Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Hadith.

Mampukah kita menjawab jika Allah s.w.t. bertanyakan kepada kita, 'Apakah engkau sudah mengaku beriman sedangkan engkau belum lagi diuji'. Islam tidak menang dengan jalan mudah seperti yang kita sangkakan. Kepada siapakah tempat untuk kita mendapat syafa'at di Padang Mahsyar jika tidak kepada Rasulullah s.a.w., sedangkan semasa hidup kita, kita memperlekehkan nasihatnya malah kita sendiri menghina Sunnahnya.

Kita dan pemimpin yang kita berikan undi untuk kemenangan lebih rela mengguna pakai hukum penjajah, malah kita mengagung-agungkannya dengan penuh bangga sepertimana petikan terbaru kata-kata yang di lafaz oleh Tun Dr Mahathir semasa menafikan bahawa beliau telah meminta Ibrahim Ali mengeluarkan seruan berkenaan 'Perang Salib'. Beliau berkata,
"Tuduhan yang mengatakan Ibrahim Ali hanya membaca teks ucapan saya adalah fitnah. Saya kekal berada dalam perjanjian British kepada Malaysia. Sentiasa berada dalam rangka demokrasi. UMNO itu sendiri lahir dari British. Tidak seorang pun pejuang UMNO yang luka, lebam, apatah lagi mati dan dipenjara dalam perjuangan menuntut kemerdekaan."

Inilah bukti bagaimana seorang pemimpin Umno yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun begitu bangga mengguna pakai segala peninggalan penjajah British dengan berideologikan 'Politik Suku Agama Suku', yakni Islam tidak boleh mencampuri urusan negara. Ini bertetapan dengan apa yang pernah di lafaz oleh bekas PM British era koloni yang memegang senaskah Al-Quran dengan mengatakan,
 "Kita tidak boleh membakar Al-Quran, kita tidak boleh membakar masjid-masjid kerana jika kita melakukannya, umat Islam yang jahil pun akan bangun menentang kita. Oleh itu cara untuk menjajah negara umat Islam ialah dengan kita menjajah pemikiran mereka (umat Islam)".

Apa yang dilakukan oleh penjajah British ialah menghantar anak-anak bangsawan ke negara mereka dan diajar dengan ideologi yang berteraskan sekularisme yang mereka (penjajah) anuti. Anak-anak mereka didedahkan dengan kehidupan ala barat, minuman keras dihidangkan sebagai minuman harian. Perjudian lumba kuda adalah satu keperluan sebagai menjana pendapatan negara. Judi dan arak adalah halal sekiranya mempunyai lesen. 

Perjuangan atas dasar Islam diharamkan dan para penentangnya akan dibunuh seperti Tok Janggut, Tok Gajah, Datuk Maharaja lela, Tok Sago, Abdul Rahman Limbung, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan ramai lagi yang gugur syahid. Sejarah perjuangan mereka disembunyikan dari pengetahuan rakyat malah mereka digelar penderhaka. Apa yang dihidangkan kepada anak bangsa ialah sanjungan yang tinggi kepada pemimpin-pemimpin Umno yang menjadi anak emas penjajah sepertimana disebut oleh Mahathir yang Umno lahir dari British. Tiada seorang pun pemimpin Umno yang lebam, luka, apatah lagi mati dipenjara.

Umno dimomokkan kepada rakyat yang merekalah pejuang menuntut kemerdekaan, hakikatnya Umno lah parti yang menentang kemerdekaan dari penjajah British. Ada pemimpin mereka tanpa merasa malu berkata, bagaimana Malaya nak merdeka, jarum pun tak pandai buat. Umno lah pengkhianat bangsa Melayu yang sebenar sebagaimana atas petunjuk British Onn Jaafar telah memperlihatkan kebimbangannya terhadap Hisbul Muslimin dengan penyataannya yang terkenal, 'Hubaya, hubaya, bahaya dari Gunung'. Kesudahannya Hisbul Muslimin diharamkan dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan.  

Bagi Umno, kedudukan Islam hanya layak di bincangkan di surau-surau dan di masjid-masjid sahaja sepertimana paderi-paderi Kristian lakukan. Islam hanya digunakan untuk majlis-majlis doa selamat, Maulidul Rasul, Awal Muharam dan majlis perayaan sahaja kerana bagi mereka Islam mestilah diperintah dan bukannya memerintah. 

Maka anda sendiri boleh tarifkan adakah Malaysia ini negara Islam kerana bagi pandangan saya, Malaysia ialah negara umat Islam yang lebih condong sebagai negara yang mengamalkan ciri-ciri seperti sebuah negara Kristian. Kerana itulah apa-apa sahaja hukum (Islam) yang hendak di laksanakan sekiranya bercanggah dengan perlembagan Lord Reid, maka dengan sendirinya hukum itu terbatal sebagaimana berlaku di Kelantan dan Terengganu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular