Translate

Senarai Blog Saya

Selasa, 24 Mei 2011

Tuan Ibrahim ubah fikiran, sah tanding timbalan presiden PAS


Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini secara rasmi mengumumkan mahu bertanding jawatan timbalan presiden walaupun sebelum ini menegaskan tidak berminat turun gelanggang kerusi nombor dua parti itu.


Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah berfikir secara mendalam untuk bertanding jawatan itu walaupun mengakui sebelum ini tidak bercadang untuk turut serta menyertai pertandingan.

Ekoran keputusan ini, jawatan timbalan presiden bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru selepas penyandangnya Nasharudin Mat Isa dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu telah mengesahkan pendirian masing-masing.

"Setelah memikirkan secara mendalam, saya akur dan menerima pencalonan untuk jawatan timbalan presiden PAS dengan hati yang terbuka dan pada masa yang sama saya menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

"Saya ingin merakamkan ucapan  terima kasih kepada semua kawasan yang telah mencalonkan saya, dengan rendah diri saya sedar saya bukanlah calon terbaik berbanding calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama," kata Tuan Ibrahim dalam entri blognya.

Tuan Ibrahim (gambar) menang jawatan naib presiden dalam percubaan kali pertama dua tahun lalu.

Kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu, beliau sebenarnya tidak berniat untuk bertanding jawatan itu namun ekoran pencalonan yang memberangsang daripada kawasan-kawasan beliau terpaksa memikirkan semula hasrat itu.

"Walaupun saya telah berkali-kali menyatakan hasrat bahawa saya lebih berminat untuk diberi peluang bagi meneruskan kerja saya dalam parti sebagai naib presiden sekiranya ada pencalonan yang mencukupi, namun kawasan-kawasan terus juga mencalonkan saya untuk bertanding jawatan timbalan presiden dengan jumlah pencalonan yang agak besar.

"Saya tidak bercadang untuk menyatakan jumlah pencalonan yang saya terima, namun ia suatu jumlah yang memerlukan saya untuk memikirkannya semula hasrat saya sebelum ini secara mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan," katanya.

Selain Nasharudin, Mohamad Sabu dan Tuan Ibrahim, turut dicalonkan untuk jawatan itu adalah Datuk Seri Azizan Razak, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub.

Sehingga kini, hanya Nasharudin dan Mohamad Sabu mengesahkan untuk menyertai pertandingan jawatan timbalan presiden manakala Salahudin membayangkan akan hanya mempertahankan jawatannya sekarang iaitu naib presiden.

Kesemua calon-calon untuk jawatan tertinggi PAS mesti mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding sebelum 26 Mei ini.

Jawatankuasa Pemilihan PAS dijangka akan mengumumkan calon-calon yang layak bertanding pada 27 Mei ini.

"Sebagai seorang pekerja parti, saya melihat keadaan ini sebagai kehendak sebahagian daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

"Sebagai sebuah parti besar dengan kekuatan tarbiyah dan kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya penuh keyakinan dan berdoa bahawa pemilihan ini akan berjalan dengan nilai ukhuwah yang sangat tinggi selaras dengan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam," kata Tuan Ibrahim. Insider
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular