Translate

Senarai Blog Saya

Sabtu, 18 Jun 2011

Bersih: Komen Rais kaitkan serangan siber tak masuk akal, kata Ambiga



Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menyangkal dakwaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sambil menafikan sebarang kaitan penganjuran Himpunan Bersih 2.0 dengan siri serangan siber ke atas laman web kerajaan dan swasta sejak Rabu lalu.


“Ia sangat tidak berasas, tidak munasabah dan tidak masuk akal bagi seorang anggota Kabinet membuat dakwaan ini, yang seharusnya lebih menyedari daripada membuat dakwaan liar seperti itu,” kata Ambiga (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Justeru kata beliau, komen Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu bukan sahaja tidak adil kepada Bersih 2.0 tetapi juga ke atas rakyat Malaysia yang mempunyai hak berperlembagaan untuk berhimpun secara aman.

 “Saya sangat terkejut dengan (kenyataan) meracau beberapa anggota pentadbiran terhadap Bersih 2.0 dan usaha-usaha mereka memperlekehkan Bersih dan saya melihat komen Rais Yatim ini salah satu daripadanya.

“Saya melihat yang ini satu serangan ke atas orang ramai dan adalah sesuatu yang memalukan bagi mereka memilih (cara) ini daripada mendengar (suara) rakyat,” kata bekas presiden Majlis Peguam ini.

Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim percaya serangan penggodam ke atas laman-laman web sejak Rabu lalu ada kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak 9 Julai ini, serta dilihat sebagai satu perbuatan tidak patriotik kepada negara.

Kata Rais, beliau juga percaya tindakan itu bermotifkan politik dan bertujuan cuba melakukan sabotaj ke atas kerajaan.

Sebanyak 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam dengan 90 peratus penggodamnya dari dalam negara, kata Rais.

Dalam satu kenyataan awal hari ini, Dewan Pemuda PAS pusat mencabar pentadbiran Najib membuktikan “fitnah” anggota Kabinetnya, yang semalam mendakwa serangan siber ke atas laman web kerajaan dan agensinya baru-baru ini, ada kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Menegaskan pendirian mereka, Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat Riduan Mohd Nor berkata, pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab Rais, didakwa menyalahgunakan kuasa beliau sebagai anggota jemaah menteri dengan menyebarkan fitnah berasaskan andaian semata-mata.

Dalam pendiriannya hari ini, Ambiga juga mengecam reaksi melampau pihak-pihak tertentu terhadap Himpunan Bersih 2.0 dan menasihatkan Putrajaya agar memikirkan semula pendekatan mereka terhadap masyarakat madani.

Tambah beliau, pentadbiran Najib seharusnya belajar daripada kerajaan Singapura yang melahirkan pendirian sanggup mendengar suara rakyat selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

“Apa yang Bersih mahukan ialah standard tinggi pilihan raya. Kami mahukan pilihan raya bersih. Sekarang, adakah sesuatu sangat melampau untuk meminta perkara itu?” kata Ambiga. Insider
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular