Translate

Senarai Blog Saya

Selasa, 20 Disember 2011

PRU 13: Calon Tak Boleh Tarik Diri.

ABDUL Aziz ketika mengadakan sidang media di Putrajaya, semalam.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan seseorang yang sudah dicalonkan tidak lagi diberi tempoh tiga hari untuk menarik diri melainkan pegawai pengurus pilihan raya sendiri membatalkannya kerana calon berkenaan tidak layak berdasarkan peruntukan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof, berkata keputusan itu adalah antara 10 perkara yang disyorkan dan dipersetujui dalam perjumpaan antara SPR dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Pulau Pinang pada 15 Disember lalu.
“Selaras keputusan itu, tempoh sejam selepas penamaan calon yang diperuntukkan bagi calon mengemukakan bantahan berhubung kelayakan pencabar masing-masing juga dimansuhkan di bawah pindaan Peraturan-Peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya 1981,” katanya pada satu sidang media, di sini, semalam.

Mengenai dakwat kekal, beliau berkata dakwat kekal ‘silver nitrate’ akan digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Abdul Aziz berkata, dakwat itu adalah berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada Pilihan Raya Umum 2008, tetapi tidak digunakan ketika itu selepas keberkesanan kaedah itu dipersoalkan pelbagai pihak. 

Beliau berkata, dakwat kekal yang mengandungi ‘silver nitrate’ itu telah dihantar ke Jabatan Kimia pada 9 Disember untuk diteliti kandungan dan kesesuaiannya digunakan di negara ini dan seterusnya akan dihantar ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memastikan ia sesuai digunakan orang Islam. 
“Dakwat itu juga dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk memastikan ia tidak menjejaskan kesihatan pengguna secara umum,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya contoh dakwat kekal yang dipilih ini tidak sesuai, SPR ada banyak lagi negara sumber sebagai alternatif, termasuk pengeluar dakwat kekal yang diiktiraf selamat dan suci dicalit pada jari pengundi beragama Islam, yang tidak membatalkan wuduk atau sembahyang.

“SPR kini sedang buat persiapan dari segi perolehan untuk mendapatkan dakwat kekal dan menguruskan latihan selepas peraturan berkaitan dipinda kerana SPR perlu sediakan tatacara penggunaan dakwat kekal ini,” katanya.

Bercakap mengenai pengundi awal pula, beliau berkata ia hanya dikhususkan untuk anggota tentera dan Pasukan Gerak Am (PGA) dengan pasangan masing-masing serta polis.

“Pasangan anggota polis tidak dibenarkan mengundi awal kerana dianggap tidak akan menghadapi kesulitan mengunjungi pusat mengundi,” katanya.

Abdul Aziz menjangkakan, undian awal ini akan membabitkan lebih 200,000 anggota pasukan keselamatan yang layak manakala hanya sebilangan kecil saja menggunakan undi pos dan pihaknya sedang mempertimbangkan sama ada kemudahan yang sama boleh dipanjangkan kepada pihak lain seperti kakitangan SPR serta anggota media.

Beliau berkata, pindaan Peraturan-Peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya itu, termasuk pengundian awal, penggunaan dakwat kekal dan memansuhkan kebenaran untuk calon menarik diri atau membuat bantahan, hanya perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan diluluskan tanpa dibahas kerana hanya membabitkan peraturan, bukan undang-undang. 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular