Translate

Sabtu, 7 Disember 2013

Selepas 3 Hari PAU Hilang Sentuhan.

Isu yang dibahaskan oleh para perwakilan memperlihatkan seolah-olah ahli Umno  tidak hidup di bumi nyata kerana tidak mempunyai relevansi dengan keadaan semasa. Gambar The Malaysian Insider.
Isu yang dibahaskan oleh para perwakilan memperlihatkan seolah-olah ahli Umno tidak hidup di bumi nyata kerana tidak mempunyai relevansi dengan keadaan semasa. Gambar The Malaysian Insider. 

Sepanjang tiga hari Perhimpunan Agung Umno 2013 berlangsung, isyarat diberikan oleh parti Melayu terbesar itu adalah mereka semakin hilang sentuhan dengan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Di kala orang ramai dikejutkan dengan pelarasan demi pelarasan subsidi, daripada minyak, gula dan terbaru elektrik, perbahasan perwakilan Umno dalam perhimpunan kali ini memperlihatkan mereka seolah-olah tidak hidup di bumi nyata sehingga ada yang mencadangkan Putrajaya perlu melahirkan lebih banyak jutawan Melayu untuk memastikan Islam terbela.

Semalam Datuk Mohd Haniff Koslan dari Umno Selangor menegaskan, jutawan di kalangan kaum Melayu masih kecil jika dibandingkan dengan kaum lain, hanya lapan orang daripada 50 jutawan (16%) di negara ini.


"Jutawan Melayu penting sebab orang Melayu beragama Islam. Bila orang Melayu kaya, Islam terbela," katanya semasa membahas ucapan dasar Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur petang semalam.

Lebih parah lagi apabila perwakilan Umno Pulau Pinang Datuk Shabudin Yahaya mencadangkan agar kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menambah istilah "Ahli Sunnah Wal Jamaah" bagi mengekang penularan ajaran sesat dan fahaman Syiah.

Cadangan Shahbudin ini merupakan suatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh negara Islam lain di dunia ini termasuk di Afghanistan sewaktu diperintah Taliban.

"Perlembagaan Umno pun perlu dipinda dan memasukkan Islam sebagai agama Persekutuan, bukan agama rasmi. Masukkan juga terasnya Ahli Sunnah Waljamaah," kata Shabudin ketika perbahasan usul agama dan pendidikan semalam.

Tidak pernah kedengaran cadangan seumpama ini dibangkitkan oleh perwakilan daripada parti Islam PAS semasa muktamar mereka.

Ketika Barisan Nasional (BN) hilang sokongan daripada majoriti bukan Melayu semasa Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) lalu, perwakilan dari Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir mencadangkan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak ditukar kepada 1Melayu.

"Buat apa nak tolong depa (mereka), kita tolong depa, depa tikam belakang kita," kata Musa, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Pulau Pinang merujuk kepada kaum bukan Melayu ketika membahas ucapan Presiden.

Beliau juga mendesak agar kerajaan berhenti daripada terus berkempen dan mengadakan program semata-mata untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu apabila hasilnya gagal diperoleh.

Umno boleh terus bersikap sebegini jika parti yang menjadi teras kepada BN itu mahu terus menjadi “parti kepada orang-orang kampung” dan melihat parti komponennya mati sedikit demi sedikit.

Perbahasan dalam perhimpunan kali ini juga tidak menunjukkan Umno mahu menjadi lebih inklusif dan memenangi kembali undi bandar yang mereka hilang termasuk daripada orang-orang Melayu semasa PRU13 lalu.

Apakah isu-isu yang dibangkitkan oleh perwakilan Umno dalam perhimpunan kali ini untuk “menyembunyikan sesuatu” atau menutup isu lebih besar daripada dibincangkan orang ramai?

Semasa ucaptama Persidangan Asia Barat dan Afrika 2013 di Kuala Lumpur pada November, bekas Naib Cancelor Universiti Malaya Tan Sri Dr Ghauth Jasmon mengatakan isu perkauman digunakan oleh sesetengah ahli politik di Malaysia bagi melindungi kegiatan rasuah yang dilakukan.

Katanya isu perkauman juga dimainkan bagi melindungi salah laku selain mengelak mereka yang terlibat daripada dituduh atas aktiviti tidak bermoral itu.

"Jika negara dipenuhi dengan pemimpin rasuah, mereka akan menggunakan isu perkauman untuk melindungi kesalahan bagi menarik perhatian.”

"Saya fikir kita perlu mengenal pasti pemimpin daripada parti, kumpulan mahu pun latar belakang agama supaya mereka tidak menggunakan isu lain bagi melindungi kegiatan mereka,” katanya.

Tidak hairanlah jika bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk A Kadir Jasin juga mempersoalkan dalam tulisannya baru-baru ini mengenai Umno yang tidak lagi menjadi sebuah parti mewakili suara orang ramai.

“Adakah pembesar Umno dan perwakilan yang berhimpun di PWTC untuk persidangan tahunan parti itu sekarang sedar akan perubahan yang sedang melanda mereka atau bagi mereka, ‘it’s business as usual’?

“Apakah slogan rakyat didahulukan akan terus menjadi pemanis kata dan perwakilan akan memberi ‘standing ovation” kepada setiap patah perkataan yang presiden ucapkan?” soal Kadir dalam tulisannya bertajuk “Sejak bila Umno bukan parti rakyat jelata?” tiga hari lalu.

Semasa ucapan pembukaan, Najib mengingatkan perwakilan parti itu bahawa transformasi tidak akan berjaya sekiranya idea dan perubahan hanya digenggam di peringkat atasan sahaja.

Selepas tiga hari Perhimpunan Agung Umno 2013, kelihatan Umno masih lagi jauh daripada melakukan perubahan dan transformasi apatah lagi apabila perwakilan dari seluruh negara yang kebanyakannya berpangkat “Datuk” masih bercakap dalam bahasa berbeza dengan presiden mereka.

Ini sekaligus memperlihatkan masih banyak perubahan perlu dilakukan dalam parti Melayu terbesar itu sebelum rakyat diajak untuk melakukan perubahan dan transformasi. TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular