Translate

Senarai Blog Saya

Sabtu, 25 Januari 2014

(Kemaskini) Al-Fatihah : TG Harun Taib Telah Kembali Ke Rahmatullah.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menziarahi Ustaz Harun ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.





Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

“Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat  insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala,” ujarnya lagi.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.

Tribut Buat Ustaz Harun Taib : Murabbi, Ayahanda Dan Teman


Seharian alam siber berdecak dengan berita keuzuran Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, juga euforia syahdu dengan berita Dr Haron Din yang juga turut dimasukkan ke wad CCU Institut Jantung Negara (IJN).

Saya dan rombongan terbang ke bumi Tawau untuk program Ekspedisi Dakwah yang kami rancang beberapa bulan yang lepas. Kedua-dua tokoh ini adalah jantung hati jemaah yang disayangi dan sentiasa didoakan kesihatan mereka, keduanya juga adalah ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Panggilan telefon yang ringkas daripada  YB Ustaz Mohd Nor Hamzah , mengkhabarkan kepulangan Tuan Guru Ustaz Datuk Harun Taib ke rahmatullah seperti percikan petir yang menggoncang sukma.

Sosok besar gerakan Islam semenjak pulang dari ardhul kinanah pada tahun 1981 itu tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanahair ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, serta melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat, beliau secara sepenuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat direlung hati anak-anak muda di awal dekad 80-an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam.

Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglangbuana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin parti.

Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982, seterusnya mendapat reputasi cemerlang dalam dunia pendidikan PAS.

Dalam pertengahan dekad 1980-an, beliau membentangkan kertas kerja tentang pendidikan pra sekolah di bawah PAS dan akhirnya Pasti telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini.

Bersama teman-teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS sehingga mampu duduk di Majlis Syura Ulamak PAS seperti Ustaz Zaharuddin Mohamad.

Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu,iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah, Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan Dun Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya, Hilmi mewakili konstitusi tersebut.

Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihanraya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang dalam PRU pada tahun 1990 di Dun Manir.

Beliau antara 10 orang calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dihantar ke Wisma Darul Iman dalam pilihanraya umum 1990  yang menyaksikan aksi serpihan Umno, Semangat 46.

Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti 'Muslimat Pembangun Ummah', 'Berbilang-bilang Jemaah' serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah dalam PAS.

Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami.

Isterinya, Ustazah Zainab pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak- anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS. Yang paling penting beliau melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah Kubang Lembek, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid.

Peranan paling besar almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco Kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu.

Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan Islam dan dakwah.

Terengganu akhirnya menubuhkan pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Kolej Sains dan Teknologi al-Quran (Kostaq), Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (Kospint), pemerkasaan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu.

Malam merangkak sepi dan sayu apabila saya meluncurkan tulisan belasungkawa ini kerana almarhum seperti bapa saya. Semenjak ditamrinkan dalam Ikatan Pelajar Islam Terengganu di Kubang Lembek di alam kampus, sehinggalah saya menjadi aktivis Dewan Pemuda. Beberapa kali disergah kerana itulah cara beliau mendidik supaya anak muda tak lalai. Malah paling manis almarhum adalah saksi majlis pernikahan saya serta sering bertanya khabar melalui orang tengah.

Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir dalam mesyuarat PAS Pusat dua bulan yang lepas, sorotan matanya bening dan terpancar kasih sayang yang tulus.

Selamat jalan sang murabbi, berpulang ke negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata-kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini...al-Fatihah.

Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular