Translate

Memaparkan catatan dengan label kematian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kematian. Papar semua catatan

Isnin, 27 Januari 2014

Kenapa Fitnah TMI Terhadap Almarhum TG Harun Taib Tidak Boleh Dimaafkan?



Setelah saya membaca tulisan Sheridan Mahavera di dalam The Malaysian Insider, saya dapati tulisannya berbaur fitnah dan adu domba serta cuba menggambarkan kepuakan konservatif di dalam PAS.

The Malaysian Insider cuba menggambarkan seolah-olah pendirian berbeza antara TG Presiden dan TG Dato Harun Taib khususnya tentang isu kalimah Allah apabila menyebut: "ini adalah pendirian yang berbeza dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan Allah boleh digunakan oleh bukan Islam".

Perkataan seperti ini seolah-olah menggambarkan 2 Tuan Guru adalah tidak sekata dalam Isu kalimah Allah swt. Walhal bukan sahaja 2 Tuan Guru ini yang seiya sekata, bahkan semua tuan-tuan guru di dalam PAS, khususnya di dalam mesyuarat syura pada 13 Januari 2013, juga mesyuarat sebelum dan selepas itu, bahawa kalimah yang mulia (ALLAH swt) boleh digunakan pada tempat yang betul oleh muslim dan non-muslim kecuali apabila ia digunakan pada tempat yang salah seperti menggambarkan Allah swt ada anak, isteri dan seumpamanya.

Dalam mesyuarat tersebut, masa yang diambil untuk menyatakan pendirian sebulat suara tak sampai 5 minit kerana tiada perbezaan pendapat tentang realiti ini. Masa yang lama yang telah diambil ialah untuk membuat kenyataan akhbar selepas mesyuarat tersebut bagi mengelakkan manipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seperti segelintir kecil wartawan yang mencari makan tanpa mengira dosa dan pahala (jika muslim) dan juga wartawan yang tidak bermoral (sanggup memanipulasi berita sekalipun tahu ia palsu demi kerana upah). Sekali saya ulangi, segelintir kecil wartawan, bukan semua wartawan.

Sejak awal timbul isu kalimah Allah, semua tuan-tuan guru di dalam PAS bersepakat tentang perkara ini. Pernah saya sewaktu menjadi pegawai penyelidik di Majlis Syura Ulama, menyusun pendapat ketiga-tiga tuan guru (TG Mursyidul Am, TG Presiden dan TG Timbalan Mursyidul Am) untuk dikertaskan. Kesimpulannya ketiga-tiganya mempunyai satu pendapat, iaitu ada tempat yang mereka persetujui (tempat yang betul seperti Allah pencipta alam) dan ada tempat yang mereka tidak bersetuju (seperti Allah swt ada anak dan sebagainya). Dengan kata lain, ke tiga-tiga Tuan Guru bersepakat bahawa kalimah Allah yang mulia ada tempat boleh dipersetujui penggunaannya oleh non muslim dan ada tempat yang mereka tidak bersetuju.

Apa yang malang, saya dapati selepas itu ada pihak pemberita yang tidak bertangungjawab justeru hanya mengambil bahagian yang dipersetujui daripada ungkapan TG Presiden dan tidak menyiarkan bahagian yang tidak dipersetujui. Seterusnya nukilan sipi (nukilan sebahagian) ini dijadikan modal untuk melaga-lagakannya dengan Tuan Guru yang lain, khususnya apabila dua tuan Guru lain cuba digambarkan tidak bersetuju.

TGHH DAN TGHT ADALAH DUA SAHABAT RAPAT

Gambaran kontradiksi antara TG Presiden dan TG Harun Taib adalah gambaran yang tidak berasas, walhal, TG Presiden dan Al-Marhum TG Harun Taib adalah dua sahabat karib sedari waktu belajar lagi. Mereka adalah dua sahabat yang "tidur sebantal" serta housemate yang lama sewaktu belajar di Timur Tengah.

Pernah TG Presiden menyebut kepada seorang sahabat saya bahawa TG Harun Taib adalah sayap kiri dan kanannya di dalam perjuangan ini. Pernyataan TG Presiden ini diceritakan oleh sahabat saya tadi kepada TG Harun Taib sehingga menyebabkan beliau akhirnya sebak dan menitiskan airmata. Itulah dua sahabat akrab.

Sewaktu TG Presiden mengetahui keadaan TG Harun Taib yang kritikal, beliau tidak lena tidur malam, sekejap bangun solat, sekejap tertidur dan terjaga semula justeru bimbangkan keadaan kawan akrabnya yang terlantar di hospital.

Saya yakin, semua keakraban ini dapat dirasai oleh hadirin sewaktu solat jenazah semalam. Semua dapat melihat beliau cuba menahan sebak dengan menggagahkan diri membuat pengumuman. Tetapi akhirnya tidak dapat menghabiskan pengumumannya dan seterusnya pengumuman itu dihabiskan oleh anak Al-Marhum, YB Ustaz Helmi Harun. Sewaktu solat lagi, mereka yang bersolat di sebelah TG Presiden dapat merasai sebak beliau sewaktu solat lagi. Saya sendiri tidak pernah melihat TG Presiden sesedih ini apabila menghadiri penghormatan terakhir sahabat-sahabat perjuangannya.

Sebab itu saya dapati tulisan The Malaysian Insider lebih bersikap provokatif sehingga sanggup menghiasi tulisan-tulisan dengan bunga-bunga adu domba antara dua pemimpin agung.

Tiada konservatif mahupun progresif di dalam PAS kerana PAS berpaksikan kepada perjuangan Islam. Pengkategorian ini hanya boleh berlaku dari pandangan yang melihat dengan kacamata barat yang sinonim dengan pengkategorian ini. Islam adalah Islam dan maha suci Islam daripada berlaku perubahan kecuali dari dari sudut silap faham mereka yang jahil. Tiada Islam konservatif dan tiada Islam progresif.

Sebab itu saya sendiri mengutuk cara TMI mencari berita berdasarkan pengalaman saya sebelum ini dengan TMI. Saya dapati wartawannya suka membuat provokasi seterusnya meminta semua pihak memberikan komen dan pandangan. Cara yang menjijikkan bagi mereka yang ada iman (muslim) dan mereka yang ada etika dan akhlak.

Kalau inilah cara TMI mencari pembaca dan pelanggan, bagi saya TMI sememangnya berhak mendapat kutukan makhluk yang baik di bumi ini.

Bagi wartawan muslim di TMI, ingatlah firman Allah swt:
"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)". - An-Nur: 19.

Sekali saya mengutuk tulisan TMI yang mengandungi fitnah terhadap Al-Marhum TG Harun Taib. Sesuatu yang sangat tidak bermoral memfitnah seseorang yang baru sahaja meninggal dunia. Fitnah yang tidak boleh dimaafkan begitu sahaja kecuali si yang bertanggungjawa benar-benar memohon maaf daripada orang PAS dan keluarga Al-Marhum.

* Tulisan ini adalah dirujuk kepada link ini:
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemergian-harun-petanda-berakhirnya-politik-konservatif-pas.

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia.

Sabtu, 25 Januari 2014

(Kemaskini) Al-Fatihah : TG Harun Taib Telah Kembali Ke Rahmatullah.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menziarahi Ustaz Harun ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.





Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

“Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat  insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala,” ujarnya lagi.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.

Tribut Buat Ustaz Harun Taib : Murabbi, Ayahanda Dan Teman


Seharian alam siber berdecak dengan berita keuzuran Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, juga euforia syahdu dengan berita Dr Haron Din yang juga turut dimasukkan ke wad CCU Institut Jantung Negara (IJN).

Saya dan rombongan terbang ke bumi Tawau untuk program Ekspedisi Dakwah yang kami rancang beberapa bulan yang lepas. Kedua-dua tokoh ini adalah jantung hati jemaah yang disayangi dan sentiasa didoakan kesihatan mereka, keduanya juga adalah ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Panggilan telefon yang ringkas daripada  YB Ustaz Mohd Nor Hamzah , mengkhabarkan kepulangan Tuan Guru Ustaz Datuk Harun Taib ke rahmatullah seperti percikan petir yang menggoncang sukma.

Sosok besar gerakan Islam semenjak pulang dari ardhul kinanah pada tahun 1981 itu tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanahair ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, serta melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat, beliau secara sepenuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat direlung hati anak-anak muda di awal dekad 80-an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam.

Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglangbuana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin parti.

Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982, seterusnya mendapat reputasi cemerlang dalam dunia pendidikan PAS.

Dalam pertengahan dekad 1980-an, beliau membentangkan kertas kerja tentang pendidikan pra sekolah di bawah PAS dan akhirnya Pasti telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini.

Bersama teman-teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS sehingga mampu duduk di Majlis Syura Ulamak PAS seperti Ustaz Zaharuddin Mohamad.

Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu,iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah, Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan Dun Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya, Hilmi mewakili konstitusi tersebut.

Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihanraya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang dalam PRU pada tahun 1990 di Dun Manir.

Beliau antara 10 orang calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dihantar ke Wisma Darul Iman dalam pilihanraya umum 1990  yang menyaksikan aksi serpihan Umno, Semangat 46.

Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti 'Muslimat Pembangun Ummah', 'Berbilang-bilang Jemaah' serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah dalam PAS.

Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami.

Isterinya, Ustazah Zainab pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak- anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS. Yang paling penting beliau melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah Kubang Lembek, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid.

Peranan paling besar almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco Kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu.

Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan Islam dan dakwah.

Terengganu akhirnya menubuhkan pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Kolej Sains dan Teknologi al-Quran (Kostaq), Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (Kospint), pemerkasaan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu.

Malam merangkak sepi dan sayu apabila saya meluncurkan tulisan belasungkawa ini kerana almarhum seperti bapa saya. Semenjak ditamrinkan dalam Ikatan Pelajar Islam Terengganu di Kubang Lembek di alam kampus, sehinggalah saya menjadi aktivis Dewan Pemuda. Beberapa kali disergah kerana itulah cara beliau mendidik supaya anak muda tak lalai. Malah paling manis almarhum adalah saksi majlis pernikahan saya serta sering bertanya khabar melalui orang tengah.

Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir dalam mesyuarat PAS Pusat dua bulan yang lepas, sorotan matanya bening dan terpancar kasih sayang yang tulus.

Selamat jalan sang murabbi, berpulang ke negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata-kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini...al-Fatihah.

Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.

Isnin, 2 Disember 2013

"Demi Masa"... Sesungguhnya Beliau Pergi Dengan Masa Yang Terbaik.


Kematian Datuk Fauzi kehilangan besar kepada PAS



Musyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang meninggal dunia, malam tadi.

“Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarham dan digolongkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh,” ujarnya menerusi facebook, malam tadi.

Bagi beliau, sesungguhnya jasa dan sumbangan Almarhum kepada PAS khususnya di dalam kempen PRU13 yang lepas sangat banyak dan hanya Allah SWT yang berhak membalas jasa-jasanya.

“Saya menyifatkan kematian beliau sebagai satu kehilangan kepada PAS dan juga kehilangan satu lambang integriti yang begitu ulung dalam perkhidmatan polis di negara ini,” ujar beliau.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerusi facebook malam tadi turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Datuk Fauzi.

“Kematian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada kita Gerakan Islam di Malaysia (Sumber)

Tribut buat Datuk Fauzi Shaari

“Ustaz kenal tak siapa ni...inilah yang tangkap enta dulu masa demonstrasi. Tengok elok-elok” Bob Lokman bercanda dengan nada nada serius.

Saya mengamati perlahan wajah bersih berkumis di hadapan saya dan ingatan saya terus mekar dengan watak penting di Bukit Aman.

“Ohh...yang ini baik..kaki sembahyang ni..Datuk Fauzi orang kuat JSJ..” tukas saya gembira.

Peristiwa ini berlaku beberapa tahun lepas di Surau At Taqwa Seksyen 7 Shah Alam.

Perbualan kami semakin rancak, Datuk Fauzi Shaari sentiasa mengikuti kuliah-kuliah ilmu di sekitar Shah Alam selepas bersara daripada perkhidmatan polis yang disertai puluhan tahun sehingga menjawat jawatan orang nombor tiga paling penting dalam hirarki PDRM negara ini.

Beliau seperti ribuan anggota keselamatan yang lain begitu akrab dengan majlis ilmu di zaman persaraan. Saya difahamkan semenjak dalam uniform beliau agak akrab dengan agamawan dan majlis ilmu.

Beliau juga tidak kekok untuk menjadi imam dan juga bilal, ini adalah kerana pendidikan agama yang disemai oleh ibubapa beliau semenjak kecil.

Datuk Fauzi senang meramahi para asatizah dan berkongsi pengalaman. Saya teringat salah satu forum saya dengan selebriti di sebuah dewan orang ramai di Shah Alam beberapa tahun yang lepas, beliau secara peribadi telah menghubungi pihak IPD Shah Alam supaya memberikan permit.

Mungkin kerana malu alah, pihak keselamatan meluluskan permit untuk saya, Bob Lokman, Catriona Ross beraksi di pentas forum yang penuh sendat pada malam tersebut.

Dalam perbualan dan perkongsian bersama beliau, sosok utama PDRM ini begitu cakna akan gejala sosial dan jenayah yang sedang mewabak dalam masyarakat. Banyak juga masjid dan surau memanggil beliau untuk berkongsi pengalaman dalam majlis forum dan sebagainya.

Beliau akhirnya telah mengisytiharkan diri untuk bersama dengan PAS secara aktif dan sebelum ini sememangnya beliau telah bersama dan mengikuti perkembangan politik nasional.

“Saya bersama dengan perjuangan Islam ini bukan untuk mengejar pangkat kedudukan tetapi ingin menjadi penyumbang kepada perjuangan dengan segala kemampuan yang saya ada. Insyaallah...saya akan terus berjuang sehingga akhir nyawa saya,” ujarnya penuh semangat dalam satu ceramah di Stadium Alor Setar dalam majlis himpunan hijau yang dipengerusikan oleh Datuk Mahfuz Omar.

Tokoh kelahiran Perak ini membenarkan janjinya dalam perjuangan. Beliau bergerak ke seluruh negara untuk bertemu dengan anggota polis yang telah bersara, memberikan motivasi untuk pahlawan negara supaya bersama perjuangan Islam. PAS secara mendadak diminati oleh pesara polis dan tentera dehingga tertubuhnya KERABAT.

Mantan Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman ini bukan sekadar berusaha menghimpunkan bekas anggota polis untuk mencurahkan bakti bersama PAS namun beliau juga tampil di ceramah politik, saban malam.

“Saya tak pandai ceramah...” katanya berseloroh, tetapi beliau tidak mengecewakan hajat pendukung PAS dan PR.

Beliau hadir ke mana-mana termasuk ke daerah saya di Besut yang akhirnya saya bertanding di kerusi Parlimen P033.

Saya bermesej dengannya untuk menjemputnya hadir ke beberapa program, namun jadual beliau padat kerana banyak kawasan manfaatkan beliau untuk berkongsi pengalaman dan menerangkan isu-isu nasional.

Yang menarik juga ada penganjur ceramah di telefon pihak polis kerana meletakkan pada poster ceramah gambar Datuk Fauzi beruniform polis.

“laaaa...datuk...ini polis betul ni...pangkat tinggi...yang pelakon-pelakon drama pakai uniform polis dan gambar mereka merata-rata tak apa pula 'bantah seorang penganjur bila disoal polis berkaitan gambar Datuk Fauzi.

Kini, beliau telah pulang ke negeri abadi dengan kita semua menyaksikan penglibatan beliau yang serius hersama PAS.

Disiplin kepolisan beliau tetap tinggi walaupun telah meninggalkan PDRM, antaranya sentiasa menjaga masa.

Semoga Allah mencucuri rahmat atas pejuang ini yang istiqomah dengan solat berjemaah dan kelas pengajian agama.

Saya menyeru juga agar anggota dan pegawai polis yang lain turut mengikuti jejak langkah Datuk Fauzi Shaari, harakatul ummah ini tidak pernah menyekat pintu untuk anda menabur jasa bakti.

Sesungguhnya kita semua akan kembali ke negeri abadi. Al-fatihah! (Sumber)

Khamis, 21 November 2013

Perjalanan Hidup Ahmad Ammar Yang Digelar 'Syahid Yang Tertanggu'h.



Ahmad Ammar - Digelar sahabat-sahabatnya sebagai “Syahid Yang Tertangguh”.

Ahmad Ammar Ahmad Azam telah pergi menemui Tuhannya pada usia 20 tahun di dalam kemalangan jalan raya lima hari yang lalu di Istanbul, Turki. Beliau memilih bidang sejarah di Universiti Marmara dengan mendapat biasiswa Kerajaan Turki. Semangatnya untuk mendalami sejarah Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tertegak selari dengan cita-cita ayahanda dan bondanya. 

Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan. Ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, mantan Presiden Abim sudah tidak asing lagi bagi para pendakwah dan gerakan Islam di Malaysia. Ahmad Ammar satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Tn. Hj Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Nur Azlina Aziz. 

Sungguh bagi remaja semuda Ammar, untuk mendengar alunan Quran sebagai halwa telinga mungkin menjadi pilihan yang terakhir sekali. Namun tidak untuk Ammar. Beliau dikhabarkan keluar rumah setelah membaca al-Quran dalam tempoh yang panjang.



Malah pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia. Misi ke Syria begitu menyayat hati, seolah-olah Ammar tertinggal hatinya di Syria. Meskipun letupan demi letupan meletus di kiri dan kanan malah terlalu hampir dengan hospital tempat penginapan mereka, namun Ammar teguh tidak gentar ingin terus membantu Syria. 

Allahu Akbar! Sejak pulang dari Syria itulah sahabat-sahabat menggelarnya “Syahid yang Tertangguh”. Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang baik.

Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang berjihad untuk membebaskan Konstantinopel dahulu. Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari. 

Subhanallah indahnya “tawafuk” yang disusun Allah dan bukan kebetulan. Sekiranya kita masih mengingati sejarah hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah, bukankah Baginda Rasulullah s.a.w menjadi tetamu di rumah Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari?

Bukankah unta baginda s.a.w dengan hidayah Allah telah memilih rumah Abu Ayyub al-Ansari tidak yang lain? Secara simboliknya Ahmad Ammar Ahmad Azzam berhijrah menuntut ilmu dari Malaysia ke Turki seperti hijrahnya Baginda s.a.w dari Makkah ke Madinah. 

Takdir Allah menentukan Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari terpilih untuk memuliakan Rasulullah s.a.w di rumahnya, begitu jugalah Ahmad Ammar menjadi tetamu kepada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari di permakaman Eyup, Turki. Inilah rezeki beliau yang pastinya amat menggembirakan ayahanda dan bondanya yang kesedihan.

Janji Allah amat jelas di dalam ayat 100 surah al-Nisa’ :

“…Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudia ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Subhanallah, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi. 

Malah catatan terakhirnya dan dimasukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi : “Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.” Namun seperti yang dicatatkan ayahandanya Tn. Hj. Azam beliau sempat melintasi jalan, namun kehilangan imbangan badan dan terjatuh lalu dirempuh sebuah ambulans. 

Beliau pergi pada usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara. Beliau amat rindukan syahid. Rupa-rupanya Ahmad Ammar ini telah pun menyaksikan bidadarinya sehingga beliau tidak lagi menoleh ke kiri atau ke kanan dalam mengejar cita-citanya. Beliau terus berkhidmat untuk berdakwah dan tekun beramal sehingga pada tarikh itu berakhirlah tugasan beliau di bumi yang fana ini. Alhamdulillah kerana Allah dengan kasih sayang-Nya masih memelihara agama ini dengan adanya remaja-remaja seumpama Ammar. Masyaallah Tabarakallah! Al-Fatihah. - aiyangdisayang


Video kisah kehidupan Ahmad Ammar (Syahid Yang Tertangguh) dalam kenangan. 

Ahad, 19 Mei 2013

Takziah: Ketua Pemuda Umno Bagan Serai Meninggal.


Sharudin
Keadaan Sharudin yang terlantar di Unit Rawatan Rapi(ICU) Hospital Taiping sambil ditemani isteri dan ahli keluarga.
BAGAN SERAI - Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad yang tidak sedarkan diri sejak tiga hari lalu disahkan meninggal dunia malam ini.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi hati, jantung dan buah pinggang setelah dijangkiti bakteria di Hospital Taiping jam 8.30 malam.

Sebelum ini arwah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping kerana mengalami masalah berkenaan.

Calon Barisan Nasional(BN) Dun Selinsing pada PRU13 itu meninggalkan seorang balu dan tiga anak setelah bertarung nyawa pada awalnya di Hospital Columbia Asia sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping.

Ketika menjalani rawatan beberapa pemimpin politik sempat melawat beliau termasuklah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha.

Pada petang sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Umno Bahagian Bagan Serai sempat mengadakan majlis doa selamat bagi memohon agar kesihatan Sharudin pulih.

Kepimpinan Umno Bahagian Bagan Serai sebelum ini sentiasa memantau keadaan Sharudin dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Tarmizi ketika ditemui menegaskan pihaknya bersimpati dengan keadaan Sharudin yang disifatkannya sebagai pemimpin politik mesra rakyat.

Menurutnya, Sharudin juga dianggap komited dalam perjuangan parti dan sentiasa memberikan yang terbaik sewaktu dipilih sebagai calon BN pada PRU13 lalu.

Khamis, 7 April 2011

Polis Siasat Sebagai Mati Mengejut..... Cepatnya...!!!!

Polis menyiasat kes seorang penolong pengarah kastam Selangor, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya PencegahanRasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di Kuala Lumpur hari ini, sebagai kematian mengejut.

NONEKetua Polis Kuala Lumpur Datuk ZulkifliAbdullah berkata siasatan awal Unit Patologi Forensik mendapati Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditemui dalam keadaan tertiarap di gelanggang badminton di Tingkat 1 bangunan itu, mengalami kecederaan di kepala.

"Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.42 pagi dan sebuah kereta peronda polis tiba di bangunan SPRM itu pada 10.49 pagi sebelum anggota berkenaan memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis daerah Cheras," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata motosikal milik Ahmad Sarbani, Modenas Kris dengan nombor pendaftaran WGG8543 dan sebuah topi keledar ditemui di tempat letak kenderaan.

NONEZulkifli berkata satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ditubuhkan bagi menyiasat kes itu.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata punca kejadian itu akan disiasat, namun menurutnya siasatan berhubung kes pegawai kastam disyaki terlibat dengan rasuah perlu diteruskan.

"Punca kejadian itu akan disiasat, tapi operasi perlu diteruskan... kami tidak mahu kerajaan terus kehilangan wang duti," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini. MK

Khamis, 13 Januari 2011

Al-Fatihah Buat Blogger AKU YANG GAMBI.

Allahyarham Yang gambi Kiri Sekali
Berbaju Biru

Blogger Blogger Pembela Negara (BPN), Aku Yang Gambi atau nama sebenarnya Abdul Aziz Baharom telah meninggal dunia. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham diatas pemergiannya. Walau pun berlainan ideologi politik, itu tidak bermakna kita tidak melahirkan simpati kepada Allahyarham dan keluarga.

Semoga Allah mencucuri Rahmatnya keatas beliau kerana dari Dia kita datang dan kepadaNYa kita kembali. Sesungguhnya mati itu benar, alam akhirat itu benar, kita dibangkitkan itu benar, syurga itu benar dan neraka itu benar.

Kita sekarang berada dialam pengembara dengan mencari ilmu, amal dan kebaikkan sebagai bekalan kita dipadang Mahsyar nanti. Kita hanyalah pinjaman daripada Allah s.w.t. semata-mata kerana Dia boleh mengambil kita bila-bila masa tanpa ada apa yang dapat menghalangNya.

Kebaikkan yang kita lakukan maka kebaikkan juga kita akan dibalas. Tidak ke syurga kita semata-mata amalan yang kita bawa selagi Allah s.w.t. tidak meleimpahkan Rahmatnya kepada kita........ Al-Fatihah.

Ahad, 28 November 2010

Takziah Buat Kakak Ipar.........

Pada jam 5.50 p.m. isteri call memberitahu tentang pemergian abang ipar (biras) di hospital besar Ipoh. Sekarang tengah bersiap untuk ke Chemor untuk membuat persiapan menerima jenazah biras (Abd Raus).

Beliau yang dimasukkan ke ICU pada dua hari lepas kerana masaalah jantung dan buah pinggang yang gagal berfungsi. Bertugas sebagai tenaga pengajar kenderaan di kem polis hutan Hulu Kinta dan berpangkat Sarjan Mejar.

Daripada hospital pantai, beliau telah dipindahkan ke ICU hospital besar Ipoh. Sewaktu melawat beliau di ICU, doktor telah memberi penerangan kepada keluarganya yang beliau berada didalam kritikal. Doktor telah menyarankan agar memberitahu keluarga untuk berkumpul kerana harapan untuk hidup hanyalah 30 % sahaja.

Semoga Allah s..w.t. mencucuri rahmat keatas beliau dan menempat beliau dikalangan orang-orang yang beriman. Isteri beliau (kakak ipar) adalah ketua wanita Umno Tanah Hitam. Kepada sesiapa yang mengenali Puan Norli Abd Rahman dan Abd Raus harap dimaklumkan untuk pengetahuan semua....... Al-Fatihah.

Selasa, 28 September 2010

Arwah Che Hashim Disegani Ramai Di Gua Musang.

Rakyat Gua Musang menerima dengan tabah kematian wakil rakyat mereka, Chek Hashim Sulaima, 47, selepas menderita penyakit barah paru-paru sejak lebih dua tahun lalu.
Mereka menganggap Adun Galas terbabit seorang pemimpin yang berjiwa rakyat kerana mudah mendekati masyarakat tanpa mengira fahaman politik.
Beliau dikenali ramai sejak dilantik sebagai Penyelia Dun Galas pada 2004. Pada pilihan raya umum tersebut, beliau tewas kepada Mohd Saupi Deraman dari BN.
Setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad berkata, arwah disukai ramai kerana mudah mesra dan sentiasa bermurah hati membantu penduduk tanpa mengira masa.
Malah katanya, pemimpin Umno juga menyenangi kerana kewibawaannya sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.
“Arwah mudah dilihat di mana sahaja termasuk kedai-kedai kopi bersama rakyat. Orang tidak segan datang ke rumahnya termasuk pada waktu malam.
”Penduduk di sini menyenanginya sejak sebelum menjadi wakil rakyat lagi. Maka tidak hairanlah biar pun Gua Musang terkenal sebagai kubu kuat Umno namun PAS boleh bertapak pada pilihan raya umum lalu,” katanya di sini.
Chek Hashim meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang tadi di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Keadaannya kritikal mulai jam 10 pagi tadi. Turut berada di sisinya ketika beliau mengembus nafas terakhir kedua-dua isterinya dan anak-anak.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan lima hari lalu. Arwah meninggalkan 12 anak dan dua isteri.
Jenazahnya dijangka dikebumikan di Kampung Kerinting, Gua Musang kira-kira jam 10 malam ini.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim  menyifatkan kematian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar kepada PAS dan pemimpin yang sukar dicari ganti.
Katanya, beliau merupakan seorang wakil rakyat yang kuat bekerja serta menjaga rakyatnya dengan baik tanpa mengira fahaman politik dan kaum.
“Saya yakin kematiannya memberi kesan terhadap rakyatnya di Gua Musang, khususnya di Galas sendiri,”ujarnya.
Menurutnya, sikap allahyarham yang pandai menyantuni rakyat dan kuat bekerja sehingga membolehkan PAS menang di Dun Galas pada pilihan raya umum lalu.
Dewan Pemuda PAS Kelantan turut menyifatkan PAS kehilangan mutiara berharga.
Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, allahyarham bekerja keras bukan sewaktu menjadi wakil rakyat, sebaliknya sejak mula aktif dalam parti politik.
Katanya, walaupun allahyarham berkhidmat tidak sampai sepenggal, namun pemergiannya meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa rakyat Gua Musang.
“Dia merupakan bekas anggota exco Pemuda PAS Kelantan, arwah memang kuat bekerja untuk parti, rakyat dan kerajaan, al-Fatihah untuk allahyarham dan sekalung takziah dari kami untuk keluarga allahyarham,” ujarnya. (Harakahonline)

Jumaat, 26 Mac 2010

Pemergian Dr. Zainal Satu Kehilangan Besar-Presiden

PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan penduduk di kawasan Parlimen Hulu Selangor di atas pemergian Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad ke rahmatullah malam tadi.

Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini berkata, pemergian Zainal itu bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga Allahyarham dan penduduk Hulu Selangor, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepda seluruh pejuang keadilan ke arah perubahan lanskap politik yang lebih baik di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berharap agar seluruh ahli keluarga Allahyarham menerima ketentuan ini dengan sabar.

"Semoga seluruh anggota keluarga beliau bersabar dengan ketentuan dan ujian dari Allah SWT ini.

"Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmatNya ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Alah SWT," katanya.

Allahyaraham meninggal dunia jam 9.30 malam tadi di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang selepas mengalami barah otak sejak sekian lama.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.

Zainal menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi. (Harakah)

Isnin, 12 Oktober 2009


Seorang petugas pilihan raya sedang menolak kerusi roda seorang pengundi warga emas  pada hari pembuangan undi bagi kawasan Bagan Pinang.

Para penyokong kedua-dua pasti bertanding sedang bertegang leher dengan melakukan provokasi untuk memanaskan badan juga emosi didalam pilihan raya Bagan Pinang . Perkara ini telah menjadi tegang dan berlaku sedikit pergaduhan kecil dab semua orang bolej jangka siapa yang memulakannya.
military postal vote casting
Tiada ketelusan didalam undi pos....... Maka sesiapa yang menang boleh dipanggil 'Tok Wakil Pos.'







Image

( Selas dipukul, Bob berjaya dibawa lari oleh penyokong PAS )
Inilah samseng-samseng tahi kucing yang hanya berani kerana ramai. Bukannya berani kerana benar.
Image















Kereta Ustaz Abu Bakar Chik antara menjadi mangsa kejahatan pemida Umno. Tapi berani dengan tuanpunya, mereka menghentam kereta beliau..
Image





















beberapa pemuda umno di hunbam kereta mereka yang bernombor WGN 3160 jenis Iswara Erobck. Mereka diarah keluar dari kawasan itu.
Image











Kekecohan yang dilakukan gengstar yang di impot oleh Umno Laknatullah.

Image
















Tan Sri Aziz talibarut no. 1 untuk Umno. Antara yang memainkan untuk kemenangan Umno ialah beliau, Musa Hassan (KPN), SPRM, JPN, dan Zahid Hamidi

Khamis, 13 Ogos 2009

Penyanyi Utama Kumpulan Rabbani Meninggal Dunia.

Penyanyi utama Kumpulan Rabbani, Asri Ibrahim yang meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi ini telah rebah sebelum beliau memulakan persembahan pada pelancaran program Syahadah musim kelima di Angkasapuri di sini. Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Pantai selepas tidak sedarkan diri. Takziah saya ucapkan kepada keluarga beliau di atas pemergiannya. Beliau yang terkenal kerana kemerduan suaranya. Maka kita tidak lagi dapat mendengar takbir hariraya yang selalu beliau lakukan setiap kali menjelang hariraya. "Sesungguhnya setiap yang hidup, pasti akan merasai kematian". Satu kehilangan besar bagi pencinta-pencinta lagu nasyid. Semoga rohnya diletakkan bersama-sama dengan orang-orang yang soleh............... AlFatihah.

Jumaat, 31 Julai 2009

Adun PAS Permatang Pasir Meninggal Dunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia awal pagi hari ini di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man ketika memberitahu, jenazahnya dalam urusan di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun yang pernah menjadi tempat tinggal sewanya sewaktu memenangi Dun Permatang Pasir sejak pilihanraya umum ke 10 tahun 1999 lalu.

Menurutnya, Allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung kembali setelah menjalani pembedahan sebelum pilihanraya umum ke 11 tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang.

Pada Pilihan raya ke 12 lalu beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekaligus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian Allahyarham Tuan Guru Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an. Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, " jelasnya.

Baru-baru ini Allahyarham dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato' sempena ulangtahun Tuan Yang Terutama Dato' Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas yang ke 71.

Harakhadaily dimaklumkan, jenazah Allahyarham bertolak dari IJN pukul 10 pagi ini dan dijangka sampai ke Permatang Pasir jam 2 petang ini.

Bagaimanapun tempat dan waktu pengkebumianya belum dipastikan cuma berkemungkinan petang ini.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam smsnya kepada Harakahdaily memaklumkan sedang dalam perjalanan ke IJN bagi menziarahi Allahyarham, beberapa pimpinan dijangka akan menziarahi jenazah dalam masa terdekat.

AJK PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada PAS.

"Allahyarham adalah seorang pemimpin PAS yang amat kuat bekerja, rapat dengan rakyat sehingga mampu mempertahankan kerusi di Permatang Pasir walau dalam keadaan genting," ujarnya.

TERKINI!!!!!Sementara itu, pada jam 9.30 pagi tadi, jenazah Allahyarham telah dibawa dari IJN ke Permatang Pasir.Turut mengiringi jenazah ialah sanak saudara dan kaum keluarga yang sejak semalam menemani Allahyarham di IJN. Menurut salah seorang anak allahyarham, Dr Hamdan meninggal selepas dimasukkan ke IJN Isnin lalu, namun katanya Allahyarham meninggal dengan amat mudah pagi tadi.

"Tak nampak tanda-tanda beliau tenat semalam, saya sedang buat surat cuti untuk Allahyarham dari menghadiri Dun Pulau Pinang, namun belum sempat siap surat tersebut, pagi ini Allahyarham menghembuskan nafasnya, beliau seorang yang cukup tenang dan bapa yang sangat baik dan penyayang," ujar seorang menantunya kepada Harakahdaily.

Suasana sayu mengiringi perjalanan jenazah sebaik dikeluarkan dari Bilik Mayat IJN.Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad; ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali dan pimpinan PAS yang lain.

Mewakili pihak PAS, Mahfuz mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian Adun Permatang Pasir.

"Beliau seorang yang cukup baik, rapat dengan rakyat, komited dan wakil rakyat yang memahami kehidupan rakyat, beliau rakan saya yang banyak membantu saya terutamanya ketika saya ditahan ISA (operasi lalang).Beliaulah yang menjaga kebajikan anak isteri saya.

"Beliau juga adalah teman yang amat memahami, saya rasai kehilangan yang sangat besar kepada satu perjuangan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden KeADILan turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Dr Wan Azizah menyifatkan, Pakatan Rakyat kehilangan 'permata' yang sangat komited dengan kerja, membantu Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Umum KeADILan itu menghadapi krisis politik tahun 1998.

"Beliau seorang yang mudah memahami, sangat penyayang dan bekerja keras untuk rakyatnya," ujar beliau.(Harakah)

Bukan Kita Mahu.

Darinya kita datang kepadanya kita pergi.... Takziah buat keluarga Al-marhum Datuk Hamdan Abd Rahman diatas pemergiannya ke rahmatullah.. Selepas seorang seorang pemimpin kita pergi meninggalkan kita. Seperti sabda Rasulullah... Allah akan mematikan orang-orang yang beriman dengan tiupan udara sejuk. Tetapi para pemimpin Umno mana faham. Makin mereka minta dijauhi PRK, semakin Allah adakan. Itu pun mereka tidak boleh fikir, mesti ada sebab-sebabnya Allah lakunya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular