Translate

Senarai Blog Saya

Khamis, 17 Disember 2009

Zulkiflee Bakar : Pas hilang kuasa mutlak?

 
"Marilah kita sama-sama mengorak langkah untuk terus mara dengan memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan yang hakiki menerusi tema muktamar kali ini iaitu, Islam memimpin perubahan. Pas ingin memimpin perubahan dengan membawa satu gagasan politik Islam yang akan menyatukan kaum di Malaysia ini dengan keadilan sejagat."
 
Kata-kata ini dilafazkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada Jun lalu.

Berdasarkan kepada ucapan ini, Pas mempunyai matlamat tersendiri iaitu ingin menjadi parti utama di pentas politik nasional.

Tetapi semua impian Pas itu hanya akan menjadi sekadar impian jika Konvensyen Pakatan Pembangkang pada Sabtu ini merealisasikan matlamat pakatan itu mewujudkan satu landasan gabungan parti yang mutlak bagi menentang Barisan Nasional (BN). Ia bermakna PKR, DAP dan Pas akan bertanding dalam pilihan raya dengan satu lambang dan satu manifesto.

Kalaulah kewujudan gabungan satu parti itu menjadi kenyataan maka impian Pas untuk mencapai matlamat 'Islam memimpin perubahan' seperti mana dilaungkan oleh Abdul Hadi hanya akan tinggal impian semata-mata.

Ia kerana PKR dan DAP sudah pasti tidak akan membenarkan matlamat Pas itu berlaku. Mana mungkin PKR yang memperjuangkan ideologi keadilan untuk semua manakala DAP dengan konsep Malaysian-Malaysia akan membuka laluan kepada Pas menjadi parti utama yang memimpin.

Mungkin Pas boleh berbuat demikian jika secara tersendiri memiliki kerusi Parlimen lebih banyak daripada kedua-dua parti itu. Tetapi persoalannya jika sudah bergabung dalam satu parti, apakah Pas masih mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan? Apakah benar PKR akan mengizinkan Pas memilih kerusi yang ia mahukan? Atau DAP akan merelakan Pas bertanding lebih banyak kerusi berbanding mereka?

Atas sebab itulah, konvensyen tersebut tidak boleh dipandang ringan oleh kepimpinan dan penyokong Pas. Mungkin mereka berasa bangga kerana mampu menyertai konvensyen yang pertama kali menunjukkan perpaduan antara semua parti pembangkang tetapi Pas harus ingat bahawa di dalamnya juga mengandungi pelbagai taktik dan manuver politik yang sudah disediakan oleh PKR dan DAP.

Oleh itu sebarang keputusan atau persetujuan yang hendak diberikan dalam konvensyen berkenaan terutamanya melibatkan penubuhan satu parti haruslah berteraskan kepada prinsip ia tidak akan menguburkan dasar perjuangan asal Pas.

Untuk rekod Fasal 3 Perlembagaan Pas menegaskan, dasar Pas adalah Islam, Fasal 4 menyatakan seruan Pas adalah Allahuakbar. Fasal 5 pula menegakkan bahawa tujuan (matlamat) perjuangan Pas ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah dan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Persoalannya apakah akan berlaku kepada fasal-fasal ini jika Pas bersetuju bersama-sama dengan PKR dan DAP untuk mengibarkan panji-panji satu parti hanya semata-mata untuk menumbangkan BN? Inilah antara implikasi yang harus difikirkan oleh Pas dengan semasak-masaknya.

Mereka tidak harus terlalu ghairah mahukan kuasa politik bersama-sama dengan PKR dan DAP sehingga akhirnya terpaksa mengorbankan dasar perjuangan parti itu. Entah untuk ke berapa kalinya, Pas harus diperingatkan bahawa mereka bukanlah sebuah parti yang 'melukut di tepi gantang'.

Pas mempunyai kekuatan dan kemampuan sendiri dan ia sudah dibuktikan dalam pilihan raya-pilihan raya yang disertainya sejak penubuhannya pada tahun 1951.

Selama ini Pas sudah membuktikan bahawa mereka boleh hidup tanpa PKR dan DAP tetapi kedua-dua parti itu terutamanya PKR belum tentu mampu hidup tanpa Pas. Berbanding Pas, kedua-dua parti tersebut lebih memerlukan Pas.

Ia kerana Pas adalah sebuah parti politik yang mempunyai kredibiliti dan karisma yang tersendiri. Atas sebab itulah suatu ketika Abdul Hadi mampu menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen dan dari semasa ke semasa terus melebarkan pengaruhnya di negeri-negeri.

Lebih daripada itu dengan berjuang sendiri dalam pilihan raya, Pas dilihat mempunyai 'advantage' dan menjadi alternatif di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu bila mana BN meletakkan calon bukan Melayu. Tetapi soalnya, kalaulah mereka bergabung, adakah PKR dan DAP akan membenarkan penguasaan Pas terus diperluaskan?

Seperkara lagi yang harus difikirkan ialah berbanding dengan pemimpin PKR dan DAP, pemimpin-pemimpin Pas lebih jauh dihormati dan mempunyai karisma tersendiri sehingga ia diterima oleh seluruh lapisan masyarakat.

Pemimpin Pas tidak lagi dilihat sebagai kelompok yang berjubah dan berserban, sebaliknya pemimpin Islam sederhana.

Tetapi malangnya di dalam Pas sendiri, terdapat sesetengah pemimpin dan ahlinya lebih suka 'mendewa-dewakan' pemimpin parti pembangkang lain terutamanya daripada PKR. Malah ada antara mereka menganggap kalau pemimpin tertentu dalam PKR tidak ada, sudah pasti ia akan menjejaskan kekuatan Pas dan pembangkang.

Soalnya, apakah selama berpuluh tahun Pas berjuang di pentas politik tanah air, Pas bergantung kepada pemimpin parti lain?

Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, Pas adalah sebuah parti yang sebenarnya mempunyai potensi strategik yang jauh lebih baik berbanding dengan PKR dan DAP kerana fundamental Pas berupaya mewakili kehendaki majoriti rakyat negara ini iaitu Melayu-Islam.

''Semenjak Pilihan Raya Umum Ke-12, PKR tidak dilihat sebagai mampu mendokong gagasan Islam lantaran kerana orientasi matlamat dalam parti ini adalah berbeza antara kaum manakala DAP pula sudah pastilah jauh sekali,'' katanya ketika dihubungi.

Pendek kata, Pas adalah parti yang mempunyai kekuatan tersendiri sama ada dari segi kepimpinan mahupun organisasi. Pas boleh bertarung habis-habisan dalam pilihan raya biarpun hanya bersendirian, oleh itu kenapa perlu Pas tergopoh-gapah hendak bersama-sama PKR dan DAP bergabung dalam satu parti?

Pas harus ingat ketika ini mereka agak bebas membuat teguran jika ada mana-mana pemimpin PKR atau DAP melakukan tindakan di luar tata susila, termasuklah mempertikaikan hak Melayu dan kepentingan Islam atau bertindak biadap memijak gambar mana-mana pemimpin politik.

Tetapi apakah selepas ini setelah secara rasmi berada dalam satu parti, Pas akan mampu membuat teguran terhadap sebarang tindakan biadap kedua-dua parti itu? Sudah tentu tidak!

Ia kerana apabila Pas sudah menerima piagam kerjasama melalui penggabungan dalam satu parti, maka lenyaplah suara mutlak Pas.

Mereka tidak boleh lagi menggariskan sebarang matlamat perjuangan, agenda atau impian secara bersendiria,nsebaliknya perlu mendapat 'restu' daripada PKR dan DAP. Adakah ini yang dimahukan oleh pemimpin dan penyokong Pas? Terserahlah kepada mereka untuk memikirkannya.

Lebih baik saudara menjaga parti Umno sendiri  yang  sekarang ini berada didalam keadaan nazak daripada memikirkan halatuju PAS kerana PAS tahu apa yang dilakukannya. Kenapa saudara terlalu mengambil berat terhadap PAS, parti yang menjadi musuh nombor wahid  Umno/Bn.

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular