Translate

Sabtu, 3 Julai 2010

APCO : Sikap Sebenar Betapa Hipokritnya Umno Tentang Zionis Dalam menghalalkan Kepentingan Politik Mereka.


Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap akan menagih sokongan pelobi Yahudi walaupun sudah wujud desakan supaya pembuat dasar luar dalam pentadbiran Barack Obama itu menamatkan hubungan baik dengannya.


Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, adalah sukar untuk Penasihat PKR itu merencanakan agenda politiknya bagi mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri jika tidak mendapat sokongan daripada pelobi Yahudi.


"Anwar adalah seorang politikus yang oportunis. Dia tahu sokongan daripada pelobi Yahudi akan banyak membantu menjayakan cita-citanya tetapi keadaannya kini agak tertekan. Bagi mengembalikan semula kepercayaan bangsa Yahudi di Amerika Syarikat (AS), beliau akan melakukan apa sahaja.


"Kita sudah melihat bagaimana Anwar menjadi hipokrit demi menjernihkan semula hubungan dengan rakan-rakan Yahudinya dan saya secara peribadi percaya demi menagih semula sokongan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan sebuah laman web berhaluan kanan, The Evangelical Outpost yang memetik pendapat golongan penyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte, supaya Amerika menamatkan hubungan baik dengan Anwar.


Motte dipetik sebagai berkata, pendirian Anwar dalam isu perkauman dan polisi antarabangsa sentiasa berubah-ubah bergantung kepada kepentingan politik peribadinya selain merupakan seorang ahli politik yang tidak mengenang budi.


Desakan itu dibuat selepas akhbar Washington Post melalui tulisan kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl mendedahkan bahawa Anwar berada di Washington pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok Yahudi.


Kunjungan Anwar itu dibuat selepas ketua pembangkang tersebut yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan ramai tokoh Yahudi, dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau sebagai anti-Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.


Anuar memberitahu, beliau percaya selain daripada menagih sokongan kumpulan Yahudi, Penasihat PKR itu juga akan cuba memperalatkan beberapa negara Islam di Asia Barat bagi tujuan mendapatkan semula sokongan Melayu yang semakin terhakis.


"Walaupun fokus beliau ialah untuk meraih undi bukan Melayu, tetapi sokongan kaum majoriti tidak boleh diabaikan.
"Untuk itu, Anwar perlu memperalatkan negara Islam lain seperti mana yang dilakukan terhadap tokoh ulama dunia, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi," jelasnya.


Sementara itu, bekas wakil rakyat PKR, Wee Choo Keong berkata, kunjungan Anwar ke Amerika bagi tujuan 'memujuk' kelompok Yahudi membuktikan ketua pembangkang itu tidak ikhlas mempertahankan nasib bangsa Palestin dan Islam.


Bagaimanapun katanya, beliau langsung tidak pelik dengan sikap Anwar itu biarpun Penasihat PKR itu sering menonjolkan nilai-nilai Islamik, kerana penasihat PKR itu dakwanya memang jaguh putar alam yang mengamalkan politik bermusim.


"Saya telah tegaskan banyak kali perkara ini. Dalam berpolitik kita harus meletakkan negara lebih utama daripada segalanya tetapi Anwar sebaliknya. Apabila kepentingan peribadi menjadi matlamat utama sudah pasti beliau sanggup menggadaikan apa sahaja," ujarnya. (UM)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular