Translate

Senarai Blog Saya

Jumaat, 12 November 2010

Tuanku Ismail Boleh Rujuk Di Mahkamah, Kata Peguam.

Tuanku Ismail Petra ibni Sultan Yahya Petra boleh terus kekal sebagai Sulan Kelantan walaupun baginda kehilangan upaya atau tidak berada di negeri itu, demikian Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.
NONEPeguamnya Azhar Azizan Harun berhujah bahawa Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra), yang dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei tahun lalu kerana ayahandanya gering, tidak mengambil alih secara eksklusif peranan Sultan.

"Pemangku Raja sebagai pemerintah sementara hanya boleh menjalankan tugas yang tidak dapat dilaksanakan oleh Tuanku Ismail Petra sebagai Sultan seperti dikehendaki oleh Perlembagaan Negeri Kelantan kerana hilang upaya atau tidak hadir," katanya.

Azhar menjelaskan Pemangku Raja hanya mempunyai hak untuk melaksanakan kuasanya mengenai perkara-perkara yang terbatas kepada menghadiri hal ehwal negeri sahaja.

Oleh itu, Azhar, berkata Tuanku Ismail Petra berhak menggunakan kuasanya mengikut Perlembagaan Negeri bagi merujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan bagi mana-mana persoalan berhubung peruntukan dalam perlembagaan tersebut.
NONEAzhar berhujah demikian mengenai isu awal yang dibangkitkan oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili Sultan Muhammad V, yang mempersoalkan bidang kuasa ayahandanya untuk memfailkan dua petisyen bagi mendapatkan pandangan Mahkamah Persekutuan mengenai kuasa seorang Pemangku Raja semasa Sultan hilang keupayaan.

Petisyen yang masing-masing difailkan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun ini, menamakan Sultan Muhammad V dan kerajaan Kelantan sebagai responden.

Tengku Muhammad Faris Petra telah dimahsyurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Sept lalu dalam satu istiadat di Istana Balai Besar, Kota Baharu dan kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V.

Tuanku Ismail Petra gering sejak Mei tahun lalu.

Kes itu disambung pendengaran hari ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Selepas mendengar penghujahan, Hakim Zulkefli menangguhkan keputusan mengenai isu-isu yang dibangkitkan ke suatu tarikh kerana beliau memerlukan masa untuk meneliti perkara itu.

Teerdahulu itu, Azhar juga berhujah bahawa petisyen oleh Tuanku Ismail Petra adalah mengikut Artikel 63 (2) Bahagian I dan Artikel 4 (4) Bahagian Dua Perlembagaan Kelantan.
"Ia jelas tidak munasabah jika Artikel 63 (2) Bahagian I dan Artikel 4 (4) Bahagian Dua ditafsirkan seperti dicadangan oleh responden pertama (Sultan Muhammad V) bahawa Pemangku Raja mengambil alih secara eksklusif pemerintahan Sultan macam Sultan tidak lagi wujud dan sebarang rujukan untuk pendapat Mahkamah Persekutuan (di bawah dua Artikel itu) hanya boleh digunapakai oleh Pemangku Raja," katanya.

Beliau menggesa mahkamah supaya menolak isu awal menentang petisyen Tuanku Ismail Petra.

Dalam jawapannya, Abraham berkata apabila ada Pemangku Raja di mana wujud hilang keupayaan atau ketiadaan dalam negeri, kuasa Sultan digantung sehingga baginda kembali ke negeri itu atau sembuh dari kegeringan.

Bagaimanapun, dalam kes ini, Tuanku Ismail Petra belum sembuh, katanya.

- Bernama
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular