Translate

Senarai Blog Saya

Rabu, 10 November 2010

Zaman Kegelapan Islam Dan Ketibaan Era Kebangkitan Islam. (Bhg.7)


Situasi yang Dihadapi oleh Pelarian Chechen
Sebilangan besar organisasi hak asasi manusia yang menjalankan kajian ke atas pelarian Chechen melaporkan bahawa hak-hak asasi mereka telah dilanggar dalam satu skala yang cukup besar. Kira-kira 250,000 orang-orang Chechen yang lari akibat peperangan kini berada di Ingushetia, dan bakinya boleh dijumpai di kawasan-kawasan jiran. Orang-orang Chechen sedang berhadapan dengan kebuluran, kehausan dan penyakit-penyakit berjangkit. Wanita dan kanak-kanak, orang muda dan tua yang terpaksa bermigrasi, kini sedang bergelut untuk terus hidup dalam keadaan yang sangat sejuk dan hujan, dua atau tiga keluarga berada di dalam gerabak keretapi lama yang ditinggal kan, ataupun dalam bangsal-bangsal kuda di kampung-kampung tempat mereka berlindung.
Dunia memandang remeh terhadap tragedi yang berlaku. Ratusan ribu pelarian Chechen yang cuba menyelamatkan diri dari kezaliman Rusia sedang berhadapan dengan musim sejuk yang melampau, kelaparan, kehausan, dan penyakit-penyakit berjangkit. 

Sebagai contoh, orang-orang Chechen di kem pelarian Znamens koye di utara Chechnya kini tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tidak memiliki baju panas. Hampir separuh di antara mereka yang mendapatkan perlindungan di situ telah jatuh sakit disebabkan oleh keadaan yang sangat menyedihkan dan kesejukan yang amat sangat.7

Penyakit-penyakit seperti tuberkulosis (batuk kering) dan hepatitis sedang merebak di kem-kem pelarian Chechen, yang tidak memiliki apa-apa yang panas untuk dimakan selama berminggu-minggu pada sesuatu masa dan badan mereka pula tidak mampu untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Angka kematian sedang meningkat.8

Mungkin perkara yang paling mengejutkan ialah majoriti bangsa Barat, yang mendakwa mereka berdiri di barisan hadapan untuk melindungi hak-hak asasi manusia, tidak berusaha untuk menolong para pelarian tersebut. Bahagian signifikan pandangan-pandangan masyarakat awam dunia ialah mereka tidak betul-betul tahu tentang penderitaan yang sedang orang-orang Chechen alami dan kadang-kala mengabaikan kekejaman yang dikenakan ke atas beratus-ribu orang-orang Chechen yang lari dari kekejaman Rusia. Bantuan dari negara-negara lain disekat, dan mereka yang sedang kelaparan, kehausan dan kesejukan yang mencengkam amat sukar untuk bertemu walau dengan kerak roti sekalipun. Kesedihan yang dialami oleh pelarian-pelarian tersebut mesti dipandang sebagai satu perkara yang memerlukan tindakan pantas.

Bagaimana Jalan Penyelesaiannya Dapat Diperoleh?
Jalan penyelesaian terletak di atas bahu Rusia dan juga para pejuang Chechen. Kedamaian yang dicari mesti berlandaskan pendekatan cintakan keamanan dan bersikap sederhana seperti yang dituntut oleh Allah. Moscow mesti mengelakkan diri dari terus beranggapan bahawa kewujudan dan aspirasi nasional umat Islam Caucasus sebagai satu ancaman, dan mereka mesti meredakan konflik dan tekanan ke paras yang minimum dengan mengambil konsep bersederhana dan polisi yang aman. Seperti yang telah kita lihat, keganasan Rusia di Chechnya tidak dapat diterima sama sekali. Walau bagaimanapun di sebaliknya, pejuang Chechen yang terlibat dalam serangan ke atas penduduk awam Rusia turut mengambil jalan yang salah. Kedua-dua pihak mesti mengelakkan diri dari terus melakukan pertumpahan darah, dan seterusnya berusaha untuk membina kedamaian.

Adalah menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Islam sedunia untuk menghulurkan bantuan kepada orang-orang Chechen yang sedang menderita ditindas. Cukup jelas bahawa tiada seseorang pun yang benar-benar takutkan Allah dan memiliki konsep keadilan yang digariskan oleh-Nya di dalam al-Quran untuk terus berdiri bodoh melihat kekejaman yang dilakukan terhadap mereka yang tidak bersalah. Seorang mukmin sejati selalu membantu orang-orang miskin, mereka yang memerlukan, mereka yang diusir dari rumah, dan akan bersedia berkorban apa sahaja untuk mereka. Sikap sanggup berkorban dan toleransi umat Islam ketika zaman Nabi s.a.w. yang mana mereka telah diusir dan terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka telah dicatatkan di dalam al-Quran:

(Juga) bagi para fakir yang berhijrah, yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya, dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.
Dan orang-orang yang telah mendiami kota Madinah dan telah beriman (golongan Ansar) sebelum (ketibaan) mereka (golongan Muhajirin), mereka mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak mempunyai keinginan dalam hati terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka; dan, mereka mengutamakan (golongan Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan sesiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr, 8-9)

Secara lumrahnya, penyebaran nilai-nilai moral yang agung ini hanya dapat berlaku dengan penyebaran agama. Sebab itulah, apa yang perlu dijadikan proriti utama oleh mereka yang memiliki kesedaran ialah mencari jalan terbaik untuk menyebarkan moral-moral al-Quran dan juga mengamalkan isi-isi kandungannya. Allah memberi janji yang baik kepada sesiapa yang menolong agama-Nya:

(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali hanya kerana mereka berkata: "Tuhan kami hanyalah Allah". Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama-nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah lagi Maha Perkasa. (Al-Hajj, 40)
Bersambung....

Harun Yahya
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular