Translate

Senarai Blog Saya

Ahad, 5 Disember 2010

52 Ditahan Sertai Protes Air Di KL Dibebaskan


Kesemua 52 orang termasuk seorang remaja berusia 15 tahun yang ditahan kerana melanggar arahan polis dengan cuba meneruskan perarakan protes air ke Istana Negara hari ini dibebaskan kira-kira pukul 6 petang tadi.

Selain itu, turut ditahan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara Dr Nasir Hashim dan empat pelajar.

Peguam R. Sivarasa ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata 50 orang telah dibebaskan kira-kira pukul 6 petang selepas memberikan keterangan di pusat Pasukan Gerakan Am, Cheras manakala dua orang lagi dibebaskan kira-kira pukul 8 malam.

"Saya telah dimaklumkan jumlah sebenar yang ditahan adalah seramai 52 orang termasuk seorang remaja berusia 15 tahun, kesemua yang ditahan petang tadi adalah lelaki.

"Lima puluh orang telah dibebaskan petang tadi manakala yang dua orang lagi terpaksa ditahan kerana tidak membawa kad pengenalan, namun setelah berbincang kita meminta supaya ahli keluarga mereka datang membawa kad pengenalan. Kedua-dua mereka adalah seorang Melayu dan seorang Cina.

"Jadi sekarang semua sudah selesai, semuanya sudah dibebaskan," kata Sivarasa yang juga bekas naib presiden PKR.

Terdahulu Nasir, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan setiausaha agungnya S. Arutchelvan ditahan semula di kawasan Istana Negara selepas mereka dilepaskan di Masjid Negara.

Sebelum itu, mereka ditahan di hab pengangkutan awam KL Sentral.

Kesemua mereka ditahan selepas kira-kira 5,000 penyokong ingkar dengan arahan polis supaya bersurai daripada mengadakan perarakan protes air ke Istana Negara.

Mereka ditahan selepas polis mengerahkan kira-kira 300 anggota untuk mengambil tindakan dengan menyerbu masuk ke pekarangan Masjid Negara sebelum menahan mereka.

Sebelum itu, polis terpaksa menyembur air pemedih mata dan juga gas pemedih mata untuk menghalang penyokong-penyokong daripada meneruskan perarakan ke Istana Negara.

Namun begitu Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dibenarkan untuk ke Istana Negara dengan diiringi polis bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Memorandum yang mengadungi 150,000 tandatangan rakyat Selangor itu diterima Pegawai Akhbar Istana Negara Khairi Abdul Rahman yang mewakili bagi pihak Yang di-Pertuan Agong.

Terlebih dahulu sebelum menyerahkan memorandum itu, Khalid turut berada di Masjid Negara untuk bersama kira-kira 1,000 penyokong yang menyertai demonstrasi dan perarakan aman itu.

Melalui memorandum itu, Khalid memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar hak air dikembalikan kepada rakyat melalui pengambilalihan oleh kerajaan Selangor.

Dalam memorandum itu, Khalid berkata, kerajaan persekutuan perlu mengembalikan semula hak air kepada rakyat dengan menyerahkan semula kuasa kerajaan Selangor dalam isu berkaitan perkhidmatan air.
(MalaysianInsider)
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular