Translate

Senarai Blog Saya

Rabu, 11 Mei 2011

Agama rasmi: Umno, PAS perlu buktikan melalui program, kata Mufti Perlis


Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menegaskan Umno dan PAS tidak wajar bercakap soal Islam sebagai agama rasmi negara selagi kedua-dua parti itu gagal melaksanakan pengisian program ke arah itu.

Tegas beliau, Umno dan PAS perlu memperjelaskan langkah atau tindakan yang akan diambil bagi meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Pada saya isu lebih mendasar dalam polemik ini ialah apakah program yang telah dan akan dilakukan oleh Umno dan PAS bagi mendaulat dan memperkukuhkan Islam di Malaysia menurut kaca mata al-Quran dan As-Sunah, jadi isu pendebatan Islam agama Persekutuan atau agama rasmi (negara) tiada makna jika tanpa pengisian.

“Umno wajar perjelaskan apakah program mereka yang berikutnya untuk memperkasakan Islam dengan mengambil kira hak orang bukan Islam dan PAS juga perlu perjelaskan dengan terperinci bentuk Islam yang mereka praktikkan.

“Demikian juga bentuk hak minoriti orang bukan Islam yang akan diberi, mereka belum teruji setakat ini... setakat mentadbir negeri-negeri Pakatan Rakyat, PAS belum buktikan ia bawa kelainan yang mendasar berbanding Umno,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Justeru kata Juanda, walaupun Umno berjaya menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara, namun ia masih gagal mengangkat martabat dan kedudukan Islam yang sebenar.

Tambah beliau, Umno dan PAS perlu membuktikan kepada rakyat melalui program-program yang dilaksanakan.

“Umno pula hendaklah jauh lebih progresif setelah penerapan nilai-nilai Islam berjalan hampir 30 tahun, hal ini akan memberi petunjuk kepada rakyat pihak mana yang akan mereka berikan amanah undi untuk melaksanakan kehendak kedudukan Islam yang disebut dalam Perlembagaan.

“Zaman retorik sudah berlalu, sekarang zaman buktikan program anda di atas kertas dan bumi nyata,” katanya.

Kata Juanda, Islam merupakan agama yang meliputi semua aspek dengan berpandukan al-Quran dan Hadis.

“Islam adalah cara hidup yang lengkap dan syumul mencakupi politik, ekonomi, sosial, perundangan, hubungan antarabangsa dan segala cabang hidup manusia seluruhnya yang akan dapat rahmat daripada Islam yang menurut kehendak al-Quran dan al-Hadis.

“Ia bukan hanya bina masjid surau atau hanya retorik nak laksanakan hudud. Itu hanya sebahagian kecil daripada Islam yang syumul, sekali lagi, zaman retorik telah berlaku, sekarang zaman implementasi,” katanya.
Selain itu jelas beliau, Islam juga berkait rapat dengan cara hidup masyarakat dan pemerintah yang mengamalkan prinsip Islam harus sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

“Islam juga berkait rapat dengan pengaturan kehidupan harian manusia seperti penentuan harga barang. Kalau kerajaan atau pemerintah yang diberi amanah undi untuk kawal harga barang daripada naik, gagal jaga kebajikan rakyat, maka itu satu pengabaian terhadap amanah undi daripada rakyat yang inginkan kemakmuran hidup.

“Contohnya, gula adalah barangan yang sepatutnya dikawal harga oleh kerajaan kerana ia digunakan oleh semua rakyat. Maka apakah program kerajaan Umno atau PAS jika memerintah untuk pastikan harga barang tidak naik dan dapat dikawal? Kena jelaskan bentuk program, baru pengundi akan percaya.

Kelmarin peguam Syahredzan Johan mengatakan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menggariskan bahawa Islam adalah “agama rasmi” negara dengan merujuk kontroversi yang tercetus ekoran laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bahawa pengikut Kristian mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.

Syahredzan, ketua jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam berkata, tafsiran undang-undang oleh Utusan Malaysia adalah salah dan mengingatkan bahawa langkah akhbar harian itu sebagai “tanggapan salah yang bahaya”, yang boleh membawa negara ke arah rusuhan agama dan sosial.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan, hanya ada satu agama bagi persekutuan, tetapi bukan rasmi atau tidak rasmi.

“Perlembagaan sangat jelas dalam hal ini. Islam bukan agama rasmi,” kata beliau.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Islam adalah agama rasmi negara dan kedudukan itu tidak perlu dipertikaikan.

Jelas Tuan Ibrahim, walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut agama Islam adalah agama Persekutuan, namun ia memberikan maksud Islam adalah rasmi negara.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” itu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.
 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular