SEJAK dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 pada 13
September 2010, inilah buat pertama kalinya Sultan Muhammad V memberikan
wawancara khas kepada para wartawan media cetak dan media
elektronik.
Wawancara khas itu telah berlangsung di Istana Negeri, Kubang
Kerian, Kota Baru pada Rabu, 4 Mei 2011 pada lebih kurang jam 5.30 petang dalam
suasana penuh protokol tetapi tetap mesra.
Wawancara
itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan
dilangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) minggu
hadapan.
Sebanyak 12 wakil media termasuk dari Mingguan mStar dan The
Star telah dijemput untuk menemuramah Sultan Muhammad V yang hadir segak
menggenakan sut coklat muda ala Nehru.
Baginda Sultan juga sentiasa
memulakan bicara dengan terlebih dahulu melafazkan Bismillahirrahmanirrahim dan
Asalamualaikum kepada pertanyaan wartawan muslim dan salam sejahtera kepada
wartawan bukan Islam.
Dan sebelum memulakan wawancara baginda terlebih
dahulu bertanya sama ada perbualan yang akan berlangsung itu hendak menggunakan
dialek Kelantan ataupun bahasa rasmi.
Sepanjang wawancara itu yang
berlangsung selama lebih 45 minit, baginda hanya membahasanya dirinya sebagai ‘saya’ bukannya
‘beta’ sebagaimana lazim digunakan di dalam istana.
Berikut adalah
petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V:
> Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran
sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan:
Perkara pertama ialah
untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai
selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar
seruan “Daulat Tuanku” yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan “Allahu
Akhbar”. Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak
langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. Itulah yang terbaik
untuk rakyat saya.
> Mengapa
memilih menggunakan gelaran Sultan Muhammad V sebagai gelaran rasmi:
Kerana kalau kita tengok dalam sejarah salasilah negeri Kelantan, Sultan yang
terakhir, menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-IV. Jadi kalau nama saya sendiri sudah Muhammad, secara
semula jadinya itulah pilihan pertama saya. Dan setelah berfikir
semasak-masaknya itulah pada fikiran saya yang terbaik...
Insya-Allah.
> Bilakah akan ditabal
secara rasmi selaku Sultan Kelantan:
Saya fikir, bukan perkara ini tidak
pernah berlaku (tidak melangsungkan upacara pertabalan). Misalnya untuk senang diterima, kita ambil dalam hal
Almarhum Sultan Johor yang lepas, baginda tidak pernah ditabal walaupun menjadi
Sultan Johor untuk lebih 23 tahun jika tidak silap saya. Jadi soal pertabalan
ini adalah lebih kepada formaliti jika hendak dibandingkan dengan
keperluan. Sebab saya fikir, ini bukan
hendak glorify atau bermegah-megah atau hendak membesar-besarkan diri kita
sendiri tetapi ini lebih soal tanggungjawab. (Nota: Untuk makluman
pembaca, Sultan Muhammad telah dimasyurkan secara rasmi pada 13 September 2010
sebagaimana yang dituntut oleh perlembagaan negeri. Soal pertabalan hanyalah merupakan satu adat yang
terpulang kepada Sultan sama ada ingin menyegerakannya atau mengadakannya
pada satu tarikh yang difikirkan sesuai.)
> Tentang hubungan dengan ayahanda, bonda dan
adinda-adinda pada masa ini:
Jawapan yang terbaik kepada soalan ini pada
saya ialah “Alhamdulillah...”
> Perasaan tentang perhatian seluruh negara yang
tertumpu kepada isu-isu yang melingkari Istana Kelantan:
Saya rasa
jawapan yang paling sesuai ialah kita tidak
boleh nak fikir sangat (hal ini) sebab jika kita terlalu memikirkan sangat,
nanti otak kita akan sesak (jammed) jadi kita kena reda, kita tunggu dan
kita lihat apa yang berlaku itu, jika kita fikir ia sudah takdir, maka kita
lihatnya sebagai takdir. jika kita hendak fikir
banyak sangat why? why? why?...akhirnya kita tidak akan terfikir kerana otak
manusia atau data base otak manusia tak akan dapat memikirkan kenapa ini semua
terjadi.
> Rahsia tidak kekok
untuk berada bersama-sama rakyat, duduk dan makan bersama malah menyembelih
lembu bersama-sama rakyat dalam majlis-majlis keramaian:
Kalau kita buat
sesuatu perkara yang kita suka seperti sesetengah orang suka menyanyi,
sesetengah orang suka makan, tengok tv, akhirnya ia akan menjadi senang untuk
kita. Misalnya jika kita suka makan nasi lemak, kita makan sepuluh bungkus pun
tidak ada hal.
> Rahsia mudah didekati
oleh rakyat dan tidak kekok memberi bantuan peribadi:
Bagi saya senang
sahaja sebab jika kita perhatikan sewaktu
ayahanda saya menjadi Sultan, tidak ada satu yayasan dibuat atas namanya. Jadi
saya fikir mengapa tidak ada (yayasan). Jadi itu yang mendorong saya untuk
memberi sumbangan peribadi kepada rakyat jelata. Sebab tidak ada yayasan
di atas nama ayahanda saya yang dapat saya gunakan untuk menyalurkan bantuan
kepada rakyat (Nota: sebaik sahaja diangkat menjadi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menubuhkan sebuah yayasan
yang diberi nama Yayasan Sultan Kelantan yang tujuannya adalah untuk
menjaga kebajikan, pendidikan dan keagamaan rakyat di bawah
jajahannya.)
> Mengenai perancangan
Yayasan Sultan Kelantan dalam membantu rakyat:
Kita anggarkan kita akan
dapat mengutip antara RM5 hingga RM6 juta (untuk dana awal). Selepas itu anggota
lembaga pemegang amanah akan memutuskan cara untuk menyalurkan wang tersebut.
Apa yang penting ialah untuk menentukan supaya
program baru untuk mengumpul dana dapat dirancang dengan baik agar wang dana itu
tidak habis. Jika wang dana tidak mencukupi atau kehabisan ini bermakna
hanya segelintir pihak sahaja yang berpeluang mendapat faedah daripada dana ini.
Matlamat yayasan ini ialah untuk membantu seseorang itu berdikari supaya dia
sendiri dapat menguruskan dirinya selepas itu tanpa bantuan lagi.
> Pandangan tentang isu pembangunan yang dihadapi
oleh rakyat dan negeri Kelantan:
Masalah negeri Kelantan saya nampak
adalah tentang soal kekurangan infrastruktur
asas dan tidak semaju seperti mana negeri Selangor atau Johor. Jadi kalau
negeri-negeri ini banyak lebuhraya dan jalan baru dibina akhirnya
kampung-kampung kecil dan bandar-bandar kecil yang berada di sekitar kawasan
yang memiliki kemudahan infra seperti jalan raya dan sebagainya akan menerima
pembangunan secara tidak langsung. Ini kerana, saya selalu ke mana-mana
menggunakan kereta, jadi saya dapat tengok bagaimana kawasan yang mempunyai
jalan besar dan utama akan turut membangun dan kampung itu tidak mati. Tetapi
jika tidak ada jalan dan pembangunan ekonomi susah hendak sampai ke situ, ia
akan mati termasuklah masyarakat kerana mereka tidak ada kesempatan untuk turut
membangun kerana tiadanya komunikasi dengan dunia luar. Di Kelantan itu yang
paling ketara...
> Tentang
prinsip-prinsip asas dan perubahan utama yang akan dilaksanakan:
Prinsip
saya ialah kita sebagai pemerintah haruslah aktif membuat tinjauan kerana hanya dengan meninjau
kita akan mendapat gambaran sebenar (keadaan di bawah) dan dapat ambil tindakan
sewajarnya serta dapat memberi keutamaan kepada yang mana perlu mendapat
perhatian terlebih dahulu.
> Tentang
tahap kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial negeri Kelantan:
Seperti
mana yang saya katakan di awal wawancara tadi, tidak ada bandar di dunia ini
dapat bangun tanpa ada infrastruktur asas seperti jalan, hospital, lapangan
terbang. Saya bukannya hendak campur politik tetapi apa yang saya maksudkan di
sini ialah kalau hendak bangunkan sesuatu kita
perlu buat kajian fisibiliti terlebih dahulu. Contohnya macam saya balik
(dari sesuatu majlis) dengan kereta saya dapat lihat sendiri kesesakan lalu
lintas yang teruk kearah pusat bandar (Kota Baru) bila ada cuti am. Mengapa sesak? Kerana jalan tidak luas atau tidak
cukup tetapi kereta banyak. Mengapa kereta banyak? Sebab pada waktu cuti umum
orang Kelantan di luar Kelantan balik bercuti ke Kelantan. Jadi kalau
kita buat lebuh raya dan buat tol sudah pastinya kita akan dapat menjana
pendapatan kerana ramai yang balik ke Kelantan menggunakan kereta. Akhirnya
hasil (wang) akan berpusing dan ini akan merancakkan ekonomi termasuk hasil
pendapatan rakyat. Bila ini berlaku ia akan menyenangkan hati rakyat – tidak
kiralah sama ada ekonominya ke, kesejahteraan dia ke, atau kesihatan dia ke,
asalkan rakyat senang. Dan apa sahaja yang akan menyenangkan rakyat kita sokong.
Jadi kita tidak hendak menyalahkan mana-mana pihak. Cuma bila kita buat
perbandingan contoh Kelantan dengan Terengganu, Kelantan dengan Pahang, Kelantan
dengan Johor atau Selangor, Wilayah Persekutuan, kita akan tahu jawapannya
kedudukan kita di mana.
> Mengenai
impak aktiviti politik kepada perpaduan rakyat:
Sistem politik ini, bagi
saya selagi ia tidak bercanggah dengan agama
dan kita tidak memburuk-burukkan orang lain dalam ceramah tidak mengapa.
Bagaimanapun ia bergantung atas diri masing-masing. Misalnya atas pentas
ceramah, kalau sesetengah orang itu mulutnya
laser, akan keluar perkataan-perkataan yang tidak elok tetapi kalau orang itu
jenis orang baik, tak akan keluar kata-kata buruk ke atas orang lain. Jadi kita
sendiri kena tahu bila hendak tekan brek (had). Kalau saya sendiri nak
cakap apa-apa pun siapa boleh halang saya cakap tapi kita sendiri kena tahu bila
hendak brek. Sebagai manusia kita kena tahu had kita di mana. Jika tidak, kita
akan menjadi seperti sebuah kereta api yang out of control yang akhirnya akan
terbalik. GB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan