LAPORAN LANGSUNG:
7.45am: Masjid Negara - Puluhan jeep
FRU dan lori meriam air ditempatkan sekitar bulatan Jalan Keretapi bertentangan
kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Tiada sekatan jalanraya di kawasan ini
tetapi kelihatan ramai anggota polis.
7.50am: Masjid Jamek - Kehadiran
polis yang ramai. Jalan di hadapan masjid telah ditutup kepada orang ramai.
8.00am: Jalan Bukit Bintang -
Kawasan pelancongan di Bukit Bintang masih kosong. Tidak banyak kereta mahupun
pejalan khaki. Tidak terdapat ramai anggota polis di kawasan ini. Lokasi ini
akan dijadikan tempat berkumpul Pemuda Umno pada jam 1.30 petang nanti.
8.10am: Hotel Tune - Persimpangan Jalan
Sultan Ismail dan Jalan Tunku Abdul Rahman kini dikawal tidak kurang 100 anggota
polis yang memeriksa semua kenderaan yang melalui kawasan ini. Pelancong
dilaporkan sukar mendapatkan teksi.
8.25am: Sogo - Pusat membeli belah Sogo di
Jalan Tunku Abdul Rahman lebih mirip seperti pangkalan polis. Lebih 10 trak
polis dan 100 anggota juga berada di kawasan ini. Terdapat sekatan jalan di
kawasan ini. Setiap kenderaan juga diperiksa.
8.30am: Kampung Baru - Sembilan
penyokong BERSIH 2.0 ditangkap dan dihumban ke dua lori polis berhampiran Masjid
Jamek Kampung Baru. Jalan menuju masjid itu juga telah ditutup kepada orang
ramai.
8.40am: Jalan Tunku Abdul Rahman -
Pasukan pemantau Majlis Peguam turun ke jalanan dengan berpakaian suit hitam dan
tag 'Pemantau' di jaket mereka.
"Kami akan pantau perhimpunan ini dan
merakamkan gambar jika perlu. Terdapat kira-kira 100 pemantau Majlis Peguam. Ada
yang membekalkan khidmat guaman,” kata HR Dipendra, yang mengetuai pasukan 15
pemerhati.
8.45am: Ibu pejabat PAS - Belum
kelihatan anggota polis berpakaian seragam mahupun kenderaan mereka. Namun
sekumpulan yang tidak dikenali dilihat memasang kamera video bertentangan
bangunan itu. Adalah dipercayai pemimpin utama PAS sedang berkumpul di
sana.
8.50am: Dataran Merdeka - Police
telah menutup kawasan Dataran Merdeka. Lebih enam trak FRU, termasuk trak meriam
air diletakkan di lokasi ini. Sepanjang Jalan Tun Perak, berhampiran stesen Masjid Jamek, puluhan trak FRU dan sebuah trak meram air bgersiap sedia. Kawasan ini adalah lokasi yang lazimnya menjadi tempat berkumpul bagi penunjuk perasaan. Dianggarkan tidak kurang 300 anggota FRU dan anggota polis lain berkawal di sini. "Tiada sesiapun yang yang boleh masuk kawasan ini,” kata seorang polis apabila wartawan Malaysiakini cuba meninjau kawasan sekitar Dataran Merdeka.
9.00am: Stadium Merdeka - Jalan
ke stadium itu dari Jalan Maharajalela sudah dikepung dengan halangan kawat
berduri. Wartawan yang ingin memasuki kawasan itu perlu berdaftar dengan
polis.
9.05am: KL Sentral - Polis sedang
memeriksa bag-bag ke4punyaan penyokong PAS yang baru tiba dari Kelantan.
9.15am: DBKL - Kira-kira 60
anggota polis dan sepuluh trak dilihat berada di persimpangan T di hadapadan
bangunan DBKL.
9.05am: KL Sentral - Polis sedang
memeriksa bag-bag ke4punyaan
9.30am: Maju Junction - Empat lelaki
ditahan apabila polis menjumpai sehelai baju berwarna kuning di begnya.
9.35am: Masjid Jamek - Tujuh orang
ditahan. Alasan penahan mereka belum dapat dipastikan. Wartawan tidak
dibenarakan berada berhampiran trak tempat mereka ditahan. "Awak tak
boleh berada di sini. Sila bercakap kepada pegawai saya jika awak mahu berada di
sini,” kata anggota polis itu.
9.38am: Kampung Baru - Tambahan
18 lagi ditahan dipercayai penyokong BERSIH di sekitar kawasan ini. Jumlah itu
tidak termasuk dengan tangkapan pertama pada kira-kira sejam sebelum ini di mana
sembilan orang dicekup.
9.40am: IPK Kuala Lumpur -
Penolong Pengarah Pengurusan (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed
Yoosuf mengesahkan 21 orang telah ditangkap pihak polis. Secara tidak rasmi, seorang lagi pegawai berkata tidak kurang 100 orang yang
telah ditangkap.
9.41am: Istana Negara - Sebuah trak
meriam air dan anggota polis pencegah rusuhan berkawal di kawasan ini. Kawasan
ini di Jalan Mahameru kini ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan
melaluinya.
9.45am: Masjid Negara -
Sekurang-kurang 1,000 penyokong BERSIH 2.0 berjaya berkumpul di kawasan sekitar
ibu pejabat lama KTM dan sedang melaung-laungkan slogan.
9.50am: Masjid Negara - Seorang
lelaki tua yang cuba menghampiri masjid dengan niat untuk bersolat telah dihalau
oleh pihak berkuasa. Jumlah penyokong BERSIH 2.0 di persekitaran stesen keretapi
lama itu semakin bertambah ramai.
9.55am: Masjid Jamek - Lebih ramai
yang datang melalui stesen LRT. Polis belum memeriksa mereka tetapi hanya
memerhatikan keadan. Kawasan ini adalah antara lokasi panas pada perhimpunan
BERSIH pada 2007.
10.05am: Masjid Negara - Jumlah
orang ramai juga semakin bertambah di kawasan ini. Dianggarkan tidak kurang
seribu telah berada di sini.
10.06am: Di stesen lama KTM -
seorang warga emas berusia 70 tahun yang memakai serban dan jaket Pakatan Rakyat
ditahan bersama dua lagi selepas beliau berkeras untuk pergi ke Masjid Negara
untuk bersolat. Ketiga mereka dibawa dengan jip polis.
10.06am: Stadium Merdeka - Polis
memasang kawat duri pada di kedua-dua arah masuk Jalan Stadium, dan menutupnya
bukan sahaja kepada kenderaan tetapi juga pejalan kaki. Kira-kira 20 wartawan juga sedang berkumpul di kawasan ini yang penuh dengan
anggota polis.
10.20am: Stesen LRT Masjid Jamek
- Tangkapan penyokong BERSIH 2.0 berterusan. Turut ditahan adalah seorang lelaki
selepas polis menggelidah bagnya tetapi tidak menjumpai barangan berkaitan
BERSIH. Dia bagaimanapun mengakui sedang mengumpulkan derma semasa ceramah PAS
sebelum ini.
10:21am: KLCC - BERSIH tweet
bahawa berlaku pertembungan polis dengan penyokong. "Kanister gas digunakan,"
katanya. Malaysiakini sedang cuba mengesahkannya.
10:23am: Laporan PDRM - sehingga
jam 9 pagi, 'Operasi Polis Perhimpunan 9 Julai 2011' membabitkan 21 tangkapan.
10:25am: Masjid Jamek - Terdapat
lebih banyak tangkapan di sekitar stesen LRT Masjid Jamek. Trak polis yang
diletakkan di sebelah masjid Masjid Jamek mempunyai sekurang-kurangnya 16 orang
di dalamnya.
10:43am: Sogo - Tiga lagi lelaki, membawa beg galas, ditahan di
sekitar kawasan tersebut. Seorang daripadanya yang berbadan tegap dan
berjanggut kelihatan memakai tag akhbar Bernama. Ketika ditemui kemudiannya, wartawan Bernama itu berkata, dia
dilepaskan apabila polis berpuashati dengan penjelasannya. Katanya disoalsiasat
kerana membawa walkie-talkie. Bagaimanapun, dua orang lagi dibawa menaiki trak
polis.
10:45am: Kampung Baru - Sekumpulan
lagi ditahan, termasuk seorang lelaki yang memiliki baju-T BERSIH. Beliau tidak
ditempatkan bersama yang lain dan dibawa di tempat lain untuk disoalsiasat.
10.55am: Masjid Negara Kira-kira
seratus anggota polis sedang mengawal pintu masuk ke Masjid Negara. Beberapa
penyokong Pakatan Rakyat kelihatan sedang disoal.
10.55am: Stadium Merdeka - Polis
menutup stesen monorail Maharajalela dan stesen Hang Tuah yang terletak
berhampiran Stadium Merdeka. Perkhidmatan monorail masih diteruskan di stesen-stesen lain.
11am: Satu sumber Bukit Aman berkata lebih 100 orang telah
ditangkap pagi ini setakat ini.
11.04am: Stesen LRT Hang Tuah LRT kini ditutup kerana
"sebab-sebab keselamatan".
11:10am: KLCC - Tiada bukti bahawa
gas pemedih mata telah digunakan ke atas penunjuk perasaan di sini. Pengunjung
kelihatan mundar-mandir seperti biasa.
11:12am: Sogo - Seorang daripada
tiga lelaki yang ditahan di sekitar Masjid India berkata, polis memeriksa begnya
dan menemui baju-T kuning. "Bubuh gambar saya, biar besar sikit," katanya
sambil senyum sebelum dibawa menaiki trak polis.
11:25am: Menurut sumber, pemimpin Pakatan Rakyat telah
bergerak ke pusat bandar.
11.30am: Menurut Facebook PDRM, sehingga 11 pagi, 236 orang
telah ditangkap 228 lelaki dan lapan wanita. Mereka melaungkan 'Allahu
Akbar'. Sekurang-kurangnya enam orang ditahan di kawasan tersebut pagi ini.
11.35am: Ketegangan berlaku di stesen lama KTM. Anggota
polis cuba menyuraikan orang ramai di dalam bangunan.
11.44am: Jumlah terbesar orang ramai yang berhimpun adalah
di kawasan sekitar Masjid Jamek dan Masjid Negara. Namun, pintu pagar Masjid
Jamek dikunci manakala di Masjid Negara polis tidak membenarkan mereka memasuki
kawasan masjid. Ramai yang berkumpul sekitar kawasan stesen lama KTM.
11.50am: Timbalan presiden PKR Azmin Ali menulis di tweeter
- "Saya sudah berjaya tiba di 'forbidden city of KL'." Beliau antara 91
individu yang dilarang oleh perintah mahkamah daripada memasuki Kuala Lumpur
hari ini.
11.55pm: Stesen lama KTM - Masih
ramai yang berlegar di sekitar stesen keretapi ini. Mereka diminta meninggalkan
kawasan itu melalui jejantas berhampiran Mahkamah Syariah. Puluhan telah ditahan di kawasan ini. Polis juga dikatakan
bertindak kasar terhadap suspek. Ada yang dicekup di tengkuk. Lori polis kedua
yang penuh dengan tahanan beredar ke balai polis. Polis anti-rusuhan juga
bersiap-sedia dan dipercayai akan bergerak masuk ke stesen KTM bagi menyuraikan
rakyat yang cuba berhimpun itu.
11:58am: Petaling Street -
Kira-kira 50 orang berkumpul di dalam kelompok kecil di sepanjang jalan pasar,
yang dipercayai penunjuk perasaan. Bagaimanapun, tidak ada yang berpakaian
kuning.
12.05pm: Ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut agak lenggang
dengan hanya kira-kira 50 orang di luar, termasuk ketua penerangan PAS Misbahul
Munir. Empat kereta peronda polis diletakkan kira-kira 50 meter dengan 15 pegawai
polis. Sekumpulan anggota polis Cawangan Khas berlegar dengan orang ramai.
12:10pm: Menurut Facebook polis, mereka menafikan dakwaan
twitter BERSIH 2.0 bahawa berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dan
polis di KLCC dan menafikan juga gas pemedih mata telah digunakan.
12:12 pm: IPK KL - Seramai 338 orang
telah ditangkap - 321 lelaki dan 17 perempuan. Mereka ditahan di sekitar Dataran DBKL, Istana Negara, Pasar Seni dan Masjid
Jamek.
12:15pm: Bekas ibupejabat KTM -
tandas dalam bangunan itu telah dikunci oleh pihak polis.
12.15pm KL Sentral - Dua naib
presiden PAS - Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub ditahan ketika dalam
perjalanan ke Hotel KL Hilton. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail sudahpun berada di sana.
12.16pm: Masjid Jamek - Hampir tidak
ada kedai yang dibuka, kebanyakan orang berlegar di jalan dan lorong belakang
Little India, menunggu masa untuk berhimpun. Polis terus memeriksa dan
menangkap mereka yang disyaki akan berhimpun.
"Mereka arah kami buka beg,
macam mana bom didalamnya,” kata seorang wanita Melayu dari Klang yang berang
apabila begnya diperiksa oleh empat anggota polis.
"Kenapa kami tak boleh
duduk sini? Ini hak asasi kami,” kata seorang lagi wanita yang juga dari Klang.
12.20pm: KL Sentral - Selain Anwar
dan Dr Wan Azizah turut berada di sini adalah ketua pemuda DAP Anthony Loke dan
setiausaha PKR Saifuddin Nasution di Hotel Hilton yang terletak di bangunan itu. Mereka dijadual mengakan sidang akhbar sebentar lagi. Semua mereka
adalah antara 91 individu yang dilarang memasuki Kuala Lumpur.
12.30pm: Menurut Facebook polis, seramai
441 orang, termasuk 20 wanita, ditahan sehingga jam 12 tengahari.
12.32pm: Masjid
Jamek - Ahli Majlis MPSJ Michael Tamil dan Mohd Hafifudin, yang juga
adalah pengerusi Persatuan Penjaja Bumiputera Masjid India, sedang memantau
kawasan sekitar.
"Saya di sini untuk lihat betapa banyak yang penjaja
rugi kerana orang ramai tidak berani datang sini,” kata Hafifudin yang kesal
dengan tindakan polis hari ini.
"Jika penjaja kerugian kerana jalan
ditutup siapa yang patut mereka tuntut kerugian itu. Mereka patut tuntut
daripada kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di
Bazaar Jalan Melayu. Hampir semua kedai dan gerai di kawasan sekitar
ditutup hari ini.
12.34pm: Kira-kira 1,000 orang mula bergerak dari stesen lama
KTM menuju Dataran Merdeka.
12:42: Stesen lam KTM -
Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam berkata mereka memandang berat terhadap
tangkapan beramai-ramai sehingga ini.
"Polis kata, mereka akan ditahan di Pulapol (Pusat Latihan Polis)," kata
sambil menambah bahawa pihaknya sedang memantau keadaan. Nayagam, bagaimanapun, tidak mahu mengulas sama ada polis kasar dalam
tindakan mereka terhadap suspek.
Polis mula guna kekerasan
12.45pm: Pusat Latihan Polis
(Pulapol) - Menurut sumber PKR, timbalan presiden parti itu ditangkap di
Pulapol, Jalan Semarak. Malaysiakini sedang cuba mengesahkan laporan itu.
12.45pm: Beberapa perarakan daripada pelbagai lokasi mula
bergerak dari arah yang berbeza, manakala pihak polis bertindak dengan
melepaskan tembakan gas pemedih mata. Di Dataran Merdeka, polis melepaskan gas pemedih mata ke atas kumpulan
penunjuk perasaan yang berarak ke arah kawasan tersebut. Kumpulan ini dipercayai telah berarak dari bekas ibu pejabat KTM berdekatan.
Kumpulan itu dianggarkan sekitar 1,000 orang.
12.45pm: Kampung Baru - Lagi 16
orang yang dipercayai penyokong BERSIH di kawasan sekitar ditangkap. Seorang
daripada mereka membawa baju kuning BERSIH.
Sebelum itu, polis kelihatan
mengejar dipercayai penyokong BERSIh yang duduk di sekitar masjid di Jalan Raja
Abdullah menyebabkan mereka lari bertempiaran.
12.46pm: FRU lepas tembakan gas pemedih mata di Bank Agro dekat
Daya bumi.
12:50: Kira-kira 3,000 hingga 4,000 orang berarak dari Petaling
Street menuju ke arah ke Stadium Negara. Mereka melaungkan 'Bersih,
Bersih, Pilihanraya' dan 'Hidup, Hidup, Rakyat'. Enam penunjuk perasaan
pertengahan umur mula menyanyikan Lagu Negaraku, dan terus disambut oleh yang
lain. Salah seorang daripada mereka, Dr Wong Fort Pin, berkata, mereka
meraikan keamanan.
12.51pm: Hotel Hilton - Pemimpin
PKR Nurul Izzah Anwar, Syed Husin Ali, Lateefah Koya tiba di bilik hotel Anwar
Ibrahim. Wartawan tempatan dan luar negara sudah bersiap sedia untuk sidang
akhbar yang dijadualkan itu.
1.00pm: Masjid Jamek - Jumlah
penunjuk perasaan semakin ramai dengan tidak kurang 1,000 orang yang bersiap
sedia untuk berarak.Sebelum itu, seorang pelajar dilaporkan terkena tembakan
kanister gas. Beliau memohon gambarnya yang cedera tidak disiarkan kerana
bimbang akan dikenakan tindakan oleh kerajaan kerana beliau seorang
pelajar.
1.14pm: Akaun twitter palsu @bersihrally dikesan. Ia
diwujudkan pagi tadi jam 9.42.
Twitter yang mendakwa akan “menyiarkan
laporan langsung perhimpunan BERSIH 2.0 dengan bantuan sukarelawan yang membuat
liputan” itu menyebarkan berita palsu.
Antaranya berlaku kejadian
menjarah di Pasar Seni, pertembungan dengan polis di KLCC dan juga tembakan
dilepaskan di Bangsar.
Selepas dikesan oleh pengguna Twitter lain,
@bersihrally akhirnya mengalah dengan mesej ini: "Took you guys long enough to
figure it out. I've done my job. Thanks for playing."
1.15pm: Masjid Negara - Masjid
ini hampir kosong dan dipenuhi anggota polis. Ada yang mengadu tandas dikunci
sehingga menyusahkan orang ramai.
1.15pm: Angka rasmi tangkapan setakat ini ialah 514 - 478
lelaki dan 36 wanita.
1.20pm: Masjid Jamek - Jumlah yang
berhimpun terus bertambah ramai dengan polis pula menunggu bantuan bagi
memperkukuhkan sekatan mereka.
1.21pm: Pemimpin utama BERSIH Datuk Ambiga
Sreenevasan, Haris Ibrahim, Wong Chin Huat dan Sadterawan Negara A Samad Said
juga berada di Hotel Hilton. Mereka disertai oleh ahli politik William Leong,
Datuk Kamaruddin Jaafar, Zaid Kamaruddin, Syed Azman Syed Nawawi dan Tian
Chua.
Berita timbalan presiden PKR Azmin Ali ditangkap kini disahkan.
Sebelum ini, dua naib presiden PAS - Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub juga
telah ditangkap.
1:22pm: Petaling Street -
kumpulan beberapa ribu orang yang berarak ke Stadium Negara, berpatah balik ke
Jalan Tan Cheng Lock selepas berdepan dengan satu sekatan
jalanraya.
Sekumpulan besar rakyat Sarawak melaungkan 'Hidup Sarawak',
disambut tepukangemuruh dari yang lain.
13:30pm: Kira-kira 300 anggota Pemuda Umno telah berkumpul di
Jalan Bukit Bintang. Mereka semua memakai baju-T- merah bertulis 'Patriot'.
Baju-T itu juga didedarkan kepada orang ramai.
Gas pemedih mata dan meriam air dilepaskan
Sekurang-kurangnya lima lokasi dijadikan tempat berkumpul perhimpunan BERSIH
2.0 hari ini. Antaranya di Jalan Petaling, berhampiran Kompleks Daya Bumi,
Masjid Jamek, Pudu dan Sogo.
Polis terus melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih
mata bagi menyekat kemaraan rakyat.
Akibat asakan dan tangkapan ke atas
tangkapan lebih 500 orang, penunjuk perasaan mula menuju ke kawasan
Puduraya-Menara Maybank. Jumlah mereka kini dianggarkan tidak kurang 10,000
orang.
1.33pm: Jalan Tun Perak -
pemimpin PAS Dr Hatta Ramli yang memegang sebuah pembesar suara memberitahu
kira-kira 4,000 hadirin bahawa naib presiden parti itu Mahfuz Omar dan lebih 300
yang lain telah ditangkap.
"Perjuangan rakyat memerlukan pengorbanan...
Mereka di bawah umur 40 tidak pernah menyaksikan demokrasi di negara ini,”
katanya.
Orang ramai menyambut ucapan itu dengan laungan
"Allahuakbar".
Terdapat marshal BERSIH yang mengarahkan orang ramai supaya
membuka laluan kepada kenderaan supaya mereka boleh meneruskan perjalanan
masing-masing.
1.35pm: Kenyataan akhbar dari IPK KL. Setakat ini, 540
orang telah ditangkap (479 lelaki, 58 wanita, tiga remaja bawah umur) untuk
disiasat.
Antara yang ditahan itu, 11 kerana memakai baju T kuning
BERSIH 2.0 dan seorang yang memakai baju merah PATRIOT. Sementara itu,
tiga individu yang dipercayai pemimpin perhimpunan itu juga telah ditangkap.
Mereka adalah timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, dan naib presiden Salahuddin
Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
1:40pm: Menara Maybank - Tembakan
meriam air dilepaskan terhadap 1,000 penunjuk perasaan.
1:38pm: LRT Masjid
Jamek - Seorang pegawai polis dengan menggunakan pembesaran suara
mengumumkan: “Perhimpunan hari in tak ada kebenaran jadi diminta semua bersurai
serta merta atau kami suraikan dengan kekerasan.” Pegawai itu juga
memberi masa tiga minit kepada orang ramai supaya bersurai. Ia dijawab
dengan laungan 'Takbir" dan ejekan dari orang ramai yang berjumlah kira-kira 500
orang.
1:43pm: Masjid Jamek - Sekumpulan
kira-kira 10 pegawai polis tugas am yang memakai topeng gas, mengejar penunjuk
perasaan yang berlari lintang pukang ke dalam kawasan Masjid India.
1:44pm: Menara Maybank - Trak
meriam air melepaskan tembakan ke atas orang ramai untuk kali kedua - kali ini
menggunakan air bercampur kimia dan pewarna biru. Daripada bersurai, orang ramai teras bergerak.
Sesetengahnya kelihatan menumbuk trak meriam air. Ini diekori dengan satu
lagi pusingan gas pemedih mata yang dapat menyuraikan orang ramai secara
perlahan-lahan.
1.52pm: Masjid Jamek - Terdapat sekurang-kurangnya empat trak
polis di stesen LRT Masjid Jamek sekarang ini. Orang ramai yang berhimpun
terpaksa bersurai kerana polis telah melepaskan gas pemedih mata tetapi mereka
dijangka berkumpul semula.
1.55pm: Hujan mula mencurah di Kuala Lumpur.
Polis jangan pencacai Umno, kenapa KJ dan group baju merahnya tidak ditahan.
1.57pm: Hotel Malaysia - Khairy
Jamaluddin muncul di perhimpunan Pemuda Umno dan memberi ucapan ringkas.
Katanya, BERSIH 2.0 tidak boleh disokong kerana ia telah resapi parti-parti
pembangkang. Beliau kemudian mengetuai kumpulan itu berarak menuju ke
Stadium Merdeka.
1.59pm: Menara
Maybank - Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah kira-kira orang ramai
yang kini dianggarkan berjumlah tidak kurang 10,000 orang. Mereka berarak di
hadapan bangunan Menara Maybank dan sepanjang Jalan Tun Perak.
Mereka
dari arah Masjid Jamek pula mula bergerak ke arah Puduraya. Polis
melepaskan gas pemedih mata selepas tembakan meriam air gagal menyekat kemaraan
rakyat. Ramai juga yang pulih selepas terkena tembakan gas pemedih mata bangkit
semula dan terus berarak.
2pm: Hotel Hilton - Hujan masih
turun di luar hotel dan suasana di dalamnya tegang ketika pemimpin Pakatan
Rakyat bersedia untuk berarak. Bagaimanapun, mereka kelihatan bertenaga
dan berikrar untuk meneruskan perarakan ke Stadium Merdeka bila dapat melepasi
benteng polis di luar hotel yang menunggu kemunculan mereka. Pemimpin
Pakatan dikelilingi oleh wartawan ketika mereka bergerak keluar perlahan-lahan.
2:01: Bukit Bintang - perarakan
Patriot telah terhenti seketika.
Menurut sumber-sumber Pemuda Umno, kumpulan itu sedang
menunggu selepas laluan mereka ke Stadium Merdeka dihalang pihak
polis.
Kumpulan itu juga sedang menunggu kumpulan kecil penyokong Pemuda
Umno yang berarak dari Kampung Attap dan PWTC.
2.05pm: Puduraya - Polis terus
bertindak menangkap lebih ramai penunjuk perasaan dengan anggota polis bergerak
dalam kumpulan lima dan enam orang bagi menangkap individu
tertentu.
Mereka juga didakwa dilihat menumbuk dan menolak tahanan.
Beberapa tahanan wanita juga dilaporkan dikasari.
2.10pm: Puduraya - Polis
dilaporkan semakin garang terhadap penunjuk perasaan. Ada yang diheret. Seorang
penunjuk perasaan juga dilaporkan cedera dengan kepalanya berdarah.
2.15pm: KL Sentral - Pemimpin
Pakatan Rakyat dan Bersih lsedang berarak ke Hotel Hilton menuju ke KL Sentral
sambil melaungkan "Bersih! Bersih!” tetapi dihalang oleh police.
Orang
ramai bersama pemimpin PKR, termasuk naib presidennya Tian Chua berjaya melepasi
sekatan polis dan terus berarak. Beliau kemudiannya ditangkap polis.
Mereka dipercayai sedang menuju ke Stadium Merdeka
.
2.18pm: Pudu-Bukit Bintang -
Walaupun basah kuyup akibat hujan, semangat orang ramai tidak pudar dan mereka
mula terus melaungkan "Bersih! Bersih!”.
2:20pm: Puduraya - Kumpulan
10,000 orang yang diketuai oleh pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dan pemimpin PKR
Badrul Hisham Shaharin berkumpul semula dan bergerak ke arah pusat
bandar.
Bagaimanapun, polis menembak satu lagi pusingan gas pemedih mata
untuk menyuraikan mereka.
2.30pm: Brickfields - Penyokong
Pakatan Rakyat dan BERSIH 2.0 berjaya keluar dari KL Sentral yang sebelum ini
dikepung oleh polis dan menuju ke Jalan Tun Sambanthan dimana mereka disertai
oleh kira-kira 1,000 lagi penyokong.
Ketua BERSIH 2.0 Datuk Ambiga
Sreenevasan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang
dan beberapa lagi dilihat berada bersama penyokong mereka.
Dalam perjalanan menuju pusat bandar beberapa tong gas
pemedih mata dilepaskan ke arah mereka. Ambiga dan seorang ahli jawatankuasa
pemandu BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah kemudiannya dilapor juga ditangkap.
2.30pm: Puduraya - Orang ramai yang
berjumlah tidak kurang 10,000 itu kini mula berkumpul semula dan dipimpin oleh
oleh pemimpin PAS Dr Hatta Ramli dan pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin. Mereka
juga sedang menuju ke pusat bandar.
Polis dilaporkan terus melepaskan gas
pemedih mata bagi memaksa orang ramai supaya bersurai.
2:35pm: Bukit Bintang - kumpulan
Pemuda Umno berhenti di hadapan Hotel Royale Bintang di mana mereka berjalan
menuju ke arah satu lagi kumpulan BERSIH di persimpangan Jalan Pudu-Bukit
Bintang.
2:40pm: Puduraya - Orang ramai berpecah kepada kumpulan yang
lebih kecil. Mereka percaya akan mengambil laluan yang berasingan menuju ke
Stadium Merdeka.
2:41pm: Facebook PDRM: Sehingga jam 2 petang, 644 ditahan - 597
lelaki dan 47 wanita.
2.43pm: KL Sentral - Huru hara
berlaku di sini apabila polis melepaskan gas pemedih mata di kawasan tertutup.
Penyokong BERSIH cuba melarikan diri dari stesen itu melalui
Brickfields.
Tembakan gas pemedih mata itu memaksa orang ramai
bertempiaran ke dalam stesen. Wartawan di luar KL Sentral juga dilarang memasuki
kawasan itu dan menyukarkan tugas mereka bagi mengesahkan keadaan sebenar
situasi.
Beberapa pemimpin Pakatan termasuk MP Batu Tian Chua, MP
Pantai Dalam MP Nurul Izzah Anwar, MP Kuala Selangor Dzukefly Ahmad, dan
presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga disahkan telah ditangkap.
2:45pm: KL Sentral - Datuk Seri
Anwar Ibrahim tweet bahawa dia mengalami kecederaan dan dua anak perempuannya -
Nurul Izzah dan Nurul Hana - juga telah ditahan.
Pengerusi BERSIH 2.0,
Datuk S Ambiga mengesahkan beliau telah ditangkap. Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang turut ditangkap.
2.48pm: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ditahan.
2:50: KL Sentral - Naib presiden
PKR, N Surendran memberitahu Malaysiakini, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berdarah di kepala dan mencederakan di lutut.
2.55pm: Bukit Bintang - Kira-kira
tiga orang ditangkap apabila penyokong Pemuda Umno cuba melepasi benteng anggota
FRU, menyebabkan berlaku pergelutan dan gas pemedih mata dilepaskan.
2.57pm: Bukit Bintang - Ketua Pemuda
Umno, Khairy Jamaluddin ditangkap ketika sedang membersihkan matanya ketika gas
pemedih mata dilepaskan, di sebuah pondok yang terletak kira-kira 100 meter dari
benteng FRU.
Meriam air dan gas pemedih mata juga ditembak ke arah baki
penyokong Pemuda Umno, menyebabkan mereka berundur 50m dari tempat asal
mereka.
Kumpulan itu tinggal kira-kira 200 orang.
3.00pm: TV Selangor melaporkan laman webnya
digodam. Bagaimanapun ia masih bersiaran menerusi alamat
www.itv.com/tv_channels/p5577 dan alamat pintas www.itv.com.
Video perarakan perhimpunan BERSIH 2.0 ke Stadium Merdeka yang sedang berlaku
boleh ditonton menerusi www.intisari tvsnews.blogspot.com
3.10pm: Facebook PDRM Facebook - Jumlah yang ditangkap
setakat jam 2.30 petang tadi adalah 672 orang.
3.15pm: Pudu - Polis bersetuju
memberi laluan selamat kepada ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di Pudu
sehingga Jalan Sultan dengan syarat mereka hanya menggunakan separuh jalan dan
berarak secara aman.
Persetujuan dicapai selepas ahli parlimen Pakatan Rakyat, R
Sivarasa dan Ngeh Khoo Ham berunding dengan pihak polis.
3:20pm: Pudu - Orang ramai mula berarak dari
Pudu ke arah Jalan Sultan, sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak polis
kerana memberi mereka laluan selamat. Kumpulan seramai 2,000 orang itu, juga
menyanyi Negaraku ketika berjalan.
3.22pm: Bukit Bintang - 300
penyokong Pemuda Umno di Jalan Bukit Bintang di depan Hotel Federal mula
bersurai selepas mengadakan rundingan dengan pihak polis.
Sambil mendakwa
telah mencapai kemenangan moral - walaupun hanya mampu bergerak 200 meter
sepanjang Jalan Bukit Bintang - masih jauh dari destinasi mereka di Stadium
Merdeka - Exco Pemuda Umno, Megat Omardin berkata mesej mereka sudah
disampaikan.
Katanya mereka telah datang dan telah mencapai tujuan
mereka, diikuti dengan pembacaan doa.
Kemudian, Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Arman Azha
memberitahu Malaysiakini bahawa exco Pemuda, Lokman Noor Adam serta 20
lagi ahli mereka telah ditangkap.
Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin, yang juga turut ditangkap, kemudian
menulis dalam tweetnya yang beliau dibawa ke Pulapol, manakala exco pergerakan
itu, Ahmad Zaki Zahid cedera.
Tulisnya, FRU telah menembak gas pemedih
mata terus ke arah mereka.
3.37pm: Pasar Seni - kumpulan BERSIH
berarak melalui Jalan Sultan ke arah Pasar Seni, tetapi mereka ditembak gas
pemedih mata berhampiran Stesen LRT Pasar Seni. Ia memaksa mereka berundur ke
Jalan Sultan.
3.38pm: Pudu - 2,000 orang kini di
Pudu selepas dinafikan laluan selamat yang didakwa dijanjikan sebelum ini menuju
ke Jalan Sultan. Polis anti rusuhan terus melepaskan meraim air dan gas pemedih
mata kepada mereka yang cuba mendapatkan perlindungan di Hospital Tung Shin.
Mereka kini terperangkap di tengah-tengah antara dua sekatan
FRU.
Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata selepas rundingan dengan
MP Pakatan R Sivarasa dan Ngeh Khoo Ham gagal berhubung apa yang sepatutnya
dilakukan oleh mereka yang berarak itu.
Adalah dipercayai orang ramai
yang menggunakan separuh daripada jalan itu tetapi pihak polis mahu mereka
bersurai dalam kumpulan kecil sebelum dibenarkan berarak.
Adalah
dipercayau Sivarasa juga telah ditahan tetapi tempat beliau dibawa belum dapat
disahkan.
3.40pm: Taman Tasik Titiwangsa -
Kira-kira 20 ahli PERKASA dilihat di sebuah restoran di sini. Mereka hanya
mengikuti perkembangan perhimpunan BERSIH melalui siaran televisyen.
Namun
presiden kumpulan itu, Ibrahim Ali dan timbalannya langsung tidak
kelihatan.
Terdapat sepuluh anggota polis yang berkawal di pintu masuk
taman rekreasi itu.
3.49pm: Pudu - Kumpulan penyokong
BERSIH 2.0 yang terperangkap di antara dua sekatan polis dan berlindung di
Hospital Tung Shin kini bersurai apabila polis bertindak menyerbu ke arah mereka
dan memulakan tangkapan.
Ramai yang lari mengikuti lorong belakang tetapi tidak kurang juga
penyokong tegar yang bersembunyi di tempat letak kereta hospital berkenaan.
Namun tindakan polis melepaskan gas pemedih mata menyaksikan mereka terus
melarikan diri.
Orang ramai mula bersurai secara aman tetapi ada yang
masih melaungkan 'Reformasi' dan 'Bersih' di bawah stesen LRT Pasar
Seni.
Polis bertindak dengan menembak gas pemedih mata ke arah mereka.
3.50pm: Pasar Seni - Pemimpin
BERSIH, Wong Chin Huat, selepas membaca lapan tuntutan BERSIH 2.0, meminta orang
ramai bersurai.
3.50pm: Istana Negara - Sekumpulan
ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 menuju ke arah istana dari Hotel Midah
Hotel. Mereka sedang menunggu kelulusan pihak istana untuk menyerahkan petisyen
BERSIH 2.0.
3.50pm: KL Hilton - Dalam satu
sidang akhbar, naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar, N Surendran dan timbalan
setiausaha agung PAS, Syed Azman mengutuk kekejaman polis yang didakwa mereka
menyebabkan kecederaan terhadap beberapa pemimpin Pakatan.
Mereka
berkata, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah dihantar ke
Hospital Pantai, ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad dan pemimpin BERSIH
2.0 Maria Chin Abdullah dan A Samad Said juga mengalami kecederaan.
4pm: Istana Negara - Delegasi BERSIH
2.0 seramai kira-kira 20 orang yang diketuai oleh A Samad Said dihalang oleh
polis kira-kira 200 meter dari pintu pagar istana.
Rundingan dengan pihak
polis gagal dan kumpulan itu bersetuju untuk bersurai. Bagaimanapun, Samad
berkata beliau perlu berehat dan kumpulan itu meninggalkan beliau di situ.
4.01pm: Facebook PDRM - Antara pemimpin teratas yang ditahan
ialah:Mahfuz Omar - KL Sentral
Salahuddin Ayub - KL
Sentral
Mohamad Sabu - Jalan Mahameru
Fauziah Salleh - KL Sentral
Tian
Chua - KL Sentral
S Ambiga - KL Sentral
Hadi Awang - KL Sentral
Azeez
Rahim - Jalan Bukit Bintang
4.10pm: Stesen LRT yang masih ditutup, menurut RapidKL -
Pasar Seni, KL Sentral, Masjid Jamek dan Dang Wangi.
4.10pm: Hotel Hilton - PAS
memberi tempoh 24 jam supaya polis membebaskan presidennya, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang atau himpunan kedua akan dilakukan.Jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad pada sidang
mediabya, berkata, jika Hadi tidak dibebas, sejuta ahli parti Islam itu akan
berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
4.10pm: Stesen LRT yang masih ditutup, menurut RapidKL -
Pasar Seni, KL Sentral, Masjid Jamek dan Dang Wangi.
4.21pm: Jawatankuasa BERSIH akan mengadakan sidang akhbar di
Hotel Midah pada jam 4.45 petang ini.
4.30pm: Menurut sumber PKR, Tian Chua yang ditahan di Balai
Polis Jinjang berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih ditahan
dalam trak polis. Sekurang-kurangnya 100 ditahan di sana.
4:40pm: Pudu - Pesuruhjaya
Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah mengecam tindakan keras pihak berkuasa ketika
berdepan dengan penunjuk perasaan.Pasukan polis bukan sahaja tidak menghormati hak rakyat
untuk berhimpun tetapi juga menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam dengan
melepaskan tembakan gas pemedih mata ke dalam kawasan hospital Tung Shin.
Ditanya apakah sepatutnya respons rakyat terhadap tindakan tersebut, beliau
berkata, rakyat Malaysia perlu memilih wakil yang boleh melindungi hak mereka.
4.45pm: Hotel Midah - Jawatankuasa
BERSIH dilapor sedang mengadakan sidang media di Hotel Midah pada masa
4.50pm: Hotel Hilton - Beberapa
pemimpin Pakatan seperti Datuk Kamaruddin Jaafar, Nurul Izzah mula meninggalkan
hotel.
4.50pm: Fadiah Nadwa Fikri dari Lawyers for Liberty berkata
polis menggunakan Seksyen 28A (8) - yang menafikan hak akses kepada peguam ke
atas mereka yang ditahan itu.Katanya, tidak kurang 1,000 orang ditahan hari ini dan ada
yang ditempatkan di Pulapol.Menurut Fadiah tindakan kerajaan itu jelas
mencabuli Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Laporan terkini akan menyusul.