Murtad: Kemana Arah Sasarannya.
SATU
himpunan besar dikerah bagi menangani gejala murtad yang berlaku dalam
masyarakat Islam di Malaysia. Kepada siapa ditujukan sekiranya ia
adalah bantahan? Apakah pendekatan dan uslub yang akan diambil? Dua
perkara ini perlu dilihat dan difahami sedalam-dalamnya, supaya kerja
yang berjenama Islam mengikut landasannya yang sebenar dan menepati
kebijaksanaan yang ditunjuk oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.
Kecintaan
kepada Islam adalah wajib, sebagaimana mempertahankannya juga adalah
wajib. Perlu difahami bahawa setiap langkah hendaklah berlandaskan
mesej yang istiqamah. Bukan sahaja berjaya mempertahankan Islam dan
memelihara iman yang ada dalam diri dan penganutnya, dalam masa yang
sama berjaya menyampaikan dakwah kepada bukan Islam yang menjadi
sasaran dakwah Islamiyyah.
Perlu diambil iktibar, mengapa
generasi awal Islam yang menghukum dengan keras terhadap orang Islam
yang murtad, dalam masa yang sama menarik orang lain masuk Islam beribu
kali ganda tanpa paksaan. Ini kerana Islam mengharamkan paksaan
terhadap penganut agama lain. Mengapa pula dizaman kita ini diwarwarkan
ramai yang murtad sehingga membimbangkan dan diberitakan terlalu
berkurangan orang yang berminat kepada Islam. Kalau ada sekalipun
kelihatan berkeliaran menunjukkan lesen mengemis daripada Jabatan
Agama. Sedangkan dizaman keemasan pemerintahan Islam, orang yang baru
menganut Islam boleh memegang jawatan tinggi dalam negara dan ada yang
menjadi ketua negara. Malah ada yang menjadi ulama dan ilmuan terbilang
yang membina Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) bukan Islam Hadari
yang sudah hampir lenyap suaranya.
Satu masa yang masih dekat
berlalunya, ada seorang hamba Allah berjawatan Mufti, mewarwarkan
ribuan orang melayu menjadi murtad dan masuk agama kristian dan hindu.
Sehingga ada orang yang dipanggil polis dan mufti itu juga dipanggil
polis untuk disoal siasat. Namun beritanya hilang entah ke mana, entah
diletak dibawah karpet atau di mana failnya. Wallahu’alam, terserah
kepada pihak yang berkenaan sama ada ia berita benar atau provokasi
yang sengaja dicetuskan.
Media Islam antarabangsa melaporkan
perkembangan pesat Islam di Eropah, Amerika, Asia Tengah dan Afrika. Di
England sahaja mereka yang baru masuk Islam mencecah setengah juta
orang dalam masa terdekat yang kebanyakannya kalangan terpelajar.
Tiba-tiba masyarakat Islam di-Malaysia dilanda taufan murtad.
Kesalahan
Murtad dimasukkan dalam perundangan Islam, dalam bahagian hukum
jenayah berat. Adapun pendekatannya ditujukan kepada penganut Islam
sahaja, tanpa disasarkan kepada penganut agama lain yang berada dalam
masyarakat majmuk bersama masyarakat Islam. Orang Islam sendiri yang
disalahkan sekiranya berlaku murtad, sama ada individu yang murtad atau
kerajaan yang lemah dengan pegangan Islamnya dan tidak adil terhadap
rakyatnya kerana tidak beramal dengan hukum-hukum Islam dan akhlaknya
yang mulia. Ada pun kalangan bukan Islam diajak berdailog secara ilmiah
dan dibuktikan beramal dengan akhlak Islam dan hukumnya yang adil.
Inilah nas Al Quran dan Hadith.
Para ulama sqidah dan Syariat
menyatakan kepada umat Islam secara fardu Ain, bahawa batas-batas Iman
dan Kufur, serta menegaskan takrif murtad apabila seseorang itu
melakukan apa sahaja yang ,membatalkan Iman dan Islamnya atau
membatalkan dua kalimah Syahadah secara ilmu dan yakin tanpa paksaan.
Murtad itu bukan sahaja menganut agama yang lain daripada Islam, tetapi
murtad juga berlaku walaupun tidak menganut apa-apa agama, atau
menganut sebahagian ajaran Islam sahaja, iaitu dengan tidak percaya
kepada mana-mana ajaran Islam atau menghinanya, sama ada perkara rukun
atau wajib dan sunat atau halal dan haram. atau harus. Murtad juga
boleh berlaku dengan mempersenda-sendakannya secara ucapan, tulisan,
kartun, lakunan drama dan sebagainya.
Adakah umat Islam hari ini
diajar batas-batas Iman dan kufur dan perkara –perkara yang
membatalkan dua kalimah syahadah? Atau sekadar mempelajari batal
sembahayang puasa sahaja. Ini menunjukkan kejahilan boleh menempah
murtad walau pun boleh dimaafkan kerana kejahilannya.
Rasulullah
S.A.W. mengajar bangsa dan keluarganya batas sempadan diantara iman
dan kufur, dan sempadan kasih kepada Islam, bangsa dan keluarga.
Walaupun semuanya wajib dicintai. Tetapi aqidah Islam asas kepada
selamatnya keluarga dan bangsa. Sehingga kaumnya menyedari bahawa
selamatnya arab dengan Islam, bukan selamat Islam dengan arab, sehingga
melahirkan bangsa arab yang berpegang dengan Islam tidak berlaku zalim
terhadap kaum lain. Slogan ‘Selamat Melayu Maka Selamat Islam’
menandakan masih kabur kefahaman terhadap batas-batas iman dan kufur.
Seluruh
kajian orentalis yang dicatatkan menegaskan terlalu sedikit mereka
mencapai kejayaan memurtadkan orang Islam sepanjang zaman penjajah,
hanya segelintir sahaja penganut Islam yang berjaya dimurtad
meninggalkan agama Islam. Maka dirancang melalui serangan pemikiran
untuk memurtadkan umat Islam daripada mana-mana ajaran Islam melalui
pendidikan, media dan budaya nafsu yang melalaikan. Bukan melalui cara
meninggalkan agama Islam dan masuk agama lain, tetapi melakukan
kesalahan murtad dalam keadaan masih merasakan dirinya menganut Islam.
Apabila
munculnya Kamal Atarturk yang dianggap bapa Turki Moden, dengan
melaksanakan sekulerisme yang memisahkan politik daripada agama Islam
saperti yang dimaktubkan dalam kitab Injil Mathew, tampil dengan gagah
berani seorang tokoh besar Ulama Turki Shaikh Mustafa Sobri, yang
pernah menjadi Shaikhul Islam kepada kerajaan Othmaniyyah. Beliau
menegaskan dalam buku yang dikarangnya : “Bahawa teori sekulerisme yang
memisahkan politik (urusan pemerintahan negara daripada agama Islam)
adalah jalan pintas paling terdekat menuju kearah murtad. Fatwa ini
dikuatkan oleh Al Marhum Mufti Arab Saudi Shaikh Abdul Aziz bin Baz dan
Pengerusi Persatuan Ulama Antarabangsa Dr Yusuf Al Qardawi yang diberi
tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia.
PAS ingin mengambil
contoh para Sahabat R.A. dan generasi awal umat Islam yang meneruskan
perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi peristiwa murtad
yang paling mencabar dalam seluruh sejarah Islam, dengan kejayaan
mengambalikan semula ratusan ribu mereka yang murtad kepada Islam dan
ramai kalangan selepas murtad berjaya menegakkan Islam sehingga
menumbangkan kuasa besar Parsi yang zalim.
PAS tidak bersedia
bangkit laksana keluar beramai-ramai untuk menangkap hanya segelintir
pencuri yang berjaya melepaskan diri, dengan cara pencuri berada sama
dikalangan orang ramai yang memburunya, sama-sama meneriakkan :
Pencuri! Pencuri! Akhirnya pencuri hilang bersama suara laungan yang
berkumandang.
PAS tetap mengambil kira jasa Al Marhum Tunku Abdul
Rahaman yang menubuhkan Perkim dan berjaya mengIslamkan tokoh-tokoh
besar dizamannya tanpa huru-hara, dan memerhati kalangan mereka yang
gagal meneruskan perjuangannya dan Perkim hilang entah dimana. PAS juga
mengambil kira kejayaan Al Marhum Tun Datu Mustafa yang berjaya
mengIslamkan ribuan rakyat Sabah dengan pertubuhan USIA nya, dan
memerhati mereka yang lupakan tugas dakwah susulan kerana ditindih oleh
kayu-kayu balak di Sabah dan Serawak .
PAS memilih uslub
menyampaikan mesej Islam dengan konsep yang ditunjukkan oleh Al Quran
dan Rasulullah S.A.W. dengan cara memantapkan aqidah umat Islam sendiri
secara istiqamah yang menghalang murtad dengan ilmu dan syariat yang
tegas dan adil, menghukum penganut Islam, dan menyampaikan dakwah
kepada pihak lain tanpa paksaan dengan uslub hiwar antara agama dan
tamadun, serta berhujah dengan ilmu dan amal Islam yang adil dan
sempurna.
Kredit : Ibnu Hasyim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan