"ANTA
dah makan," tegur Tok Guru kepada tatkala melihat kelibat penulis
memasuki bilik jamuan. "Alhamdulillah, sudah Tok Guru," jawab penulis
sambil mengangguk.
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terus membuka bekas
polystyrene yang berada di hadapannya. Bekas tersebut diikat dengan
getah plastik. Di dalamnya ada nasi putih, seketul ayam, sebungkus kuah
gulai dan sebungkus cili.
Tiada makanan ala buffet. Tiada air
sirap, tiada teh dihidangkan. Yang ada hanya air mineral dan nasi
bungkus. Itulah jamuan untuk VIP PAS selepas Menteri Besar Kelantan itu
merasmikan Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas.
Tok
Guru Nik Aziz menjamu selera di bilik khas bersama Exco Kerajaan
Negeri Kelantan, Dr Mohd Fadzli Hassan, Che Abdullah Nawi, Setiausaha
Politik, Wan Nik Wan Yussof, Pengerusi Lujnah ICT PAS, Ustaz Abdul
Ghani Shamsuddin, Pengarah Urusetia Penerangan Kedah, Zulkifli Yahya
dan Pensyarah Unisel, Profesor Dr Azmudden Ibrahim.
Tok Guru
dan para VIP kelihatan berselera sekali menjamah hidangan. Mereka
menjamu selera dan berbual dengan nada yang amat santai. Begitu pun,
akhlak Tok Guru tetap terpelihara. Beliau mencarik-carikan isi ayam
sedikit demi sedikit, dengan tangan kirinya menahan tulang ayam.
Selepas secubit ayam dijamah, beliau menuangkan kuah gulai sedikit-demi
sedikit, untuk dimakan dengan nasi. Begitulah selang-seli hidangan
dimakan hingga habis.
Berbeza dengan kita. Kalau kita yang
makan, kita akan ambil seketul-seketul ayam dan koyakkan dengan gigi
sahaja. Biasa kalau kuah gulai tu, kita akan tuang sampai banjir dalam
pinggan. Sambil-sambil mereka makan, penulis memerhatikan tingkah laku
mereka. Para VIP PAS, khususnya Tok Guru, tidak pernah merungut,
walaupun pada pengamatan penulis, nilai sebungkus nasi dan air untuk
hidangan VIP, tidak sampai RM2.50. Itulah juga hidangan yang disajikan
kepada seluruh peserta hidangan. Sama sekali tiada beza.
Pada
penulis soal harga tidak menjadi persoalan. Bukan soal mahal atau
murahnya sesuatu hidangan. Tok Guru tidak pernah melarang sesiapa pun
untuk menjamu selera dengan hidangan yang lazat-lazat. Asalkan mereka
mampu dan tidak membazir. Tok Guru juga tidak pernah menolak jika
dijemput menjamu selera hidangan yang mahal dan mewah. Tok Guru biasa
menghadiri majlis bersama Raja-Raja dan VVIP terkemuka.
Moralnya,
sama ada makan cara mewah atau makan cara marhain, adalah sesuatu yang
lumrah, yang tidak perlu ditunjuk-tunjukkan. Tetapi Tok Guru tetap Tok
Guru. Sifat tawaduknya bukan dibuat-buat. Dah memang semula jadi sifat
Tok Guru begitu. Hidangan yang simple dan murah. Makan digerai bersama
rakyat kebanyakan sudah biasa baginya. Tidak perlu dihighlight dalam
media, tidak perlu diheboh kepada satu dunia.
Bukan macam
Perdana Menteri 1Malaysia kita. Pada penulis, elok juga ditegur Dato'
Seri Mohd Najib Tun Razak. Kalau dah sifatnya bangsawan, hidup sentiasa
dalam kantung emas, usah nak berlakon seolah-olah berasal dari gubuk
yang buruk. Kalau asal kehidupannya sejak dilahirkan dah standard,
kehidupan sedia mewah, tiada salahnya. Teruskan sajalah, tidak perlu
hendak dibuat-buat.
Lebih baik Najib jadi dirinya sendiri. Usah
jadi macam artis yang boleh melakonkan apa sahaja watak. Berlakon jadi
tok guru membaca tazkirah pun boleh, berlakon jadi kasanova sambil
meneguk 'air kencing syaitan' di kelab malam pun boleh.
Pengampu-pengampu Najib pun satu hal. Tak usahlah nak malukan PM kita,
kononnya PM berjiwa rakyat, sanggup makan nasi sepinggan RM4.00,
kononnya Restoran 1Malaysia, begitu hebat menawarkan hidangan yang murah
untuk rakyat.
Dalam sekelip mata rakyat dapat membuktikan,
harga makanan yang dimakan Najib, seperti yang dihebohkan tok-tok
dalang media pencacai bukannya RM4.00 tapi RM6.00 sepinggan. Minggu
lepas, semasa lawatannya ke Restoran Ukhwah, di Kuala Lumpur yang
dikatakan menawarkan Menu Rakyat, Najib menjamah sepinggan nasi, dua
ketul ayam, sepotong daging goreng, tauge, dan poppadom. Diriuhkan
1Malaysia bahawa harga sepinggan hidangan Najib itu RM4.00, malah ada
media pengampu cuba hendak murahkan lagi dengan harga RM3.50.
Tembelang
dan pembohongan Umno-BN terbongkar, dibuktikan apabila staf Ahli
Parlimen Batu, Tian Chua dihantar ke Restoran Ukhwah, mengambil lauk
yang sama dengan Najib, dicaj dengan harga RM6.00. Apabila didedahkan
dalam media, Menteri Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob
terkial-kial mempertahankan Menu Rakyat 1Malaysia, selepas promosinya
untuk menaik dan mengampu Najib, jadi backfire kepada Umno-BN.
"Ketika itu ada beberapa lauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap dan daging, jadi PM hendak rasa kualiti lauk tersebut.
"Secara
asasnya menu nasi putih, sejenis lauk dan segelas air memang RM4.00,
malah ada yang lebih murah. Apabila kita ambil lebih daripada apa yang
ditawarkan dalam menu, maka kita perlulah bayar lebih," kata beliau
memberi alasan.
Namun, Ismail tidak mampu menjawab mengapa Najib
hanya membayar RM4.00 untuk hidangan berkenaan. Kalau dah tau harganya
memang bukan RM4.00, buat apa Ismail Sabri nak biarkan media pengampu
membohongi rakyat? Ataupun Ismail Sabri memang kaki kelentong, sehingga
memalukan bosnya sendiri.
Itulah hebat Umno-BN ini, punya lah
nak menunjukkan pemimpin yang berjiwa rakyat, sampai menggunakan cara
yang paling bodoh dan memalukan. Nanti orang akan balas balik pada
Najib, nanti rakyat akan kata, buat apa hendak menunjuk-nunjuk makan
nasi RM4.00 sepinggan, sedangkan perbelanjaan mewah PM, isteri dan
keluarga menelan belanja berjutajuta ringgit?
Macam mana Najib
hendak jawab, pengubahsuaian rumah mewah Seri Perdana yang menelan kos
berpuluh juta wang rakyat, dibandingkan ubahsuai rumah Tok Guru
hanyalah beratap zink dan berdinding separuh kayu? Apa Najib hendak
beri alasan, jika rakyat mempersoalkan harga beg-beg tangan Rosmah,
pelbagai fesyen, pelbagai jenama mewah, sehingga menelan belanja jutaan
ringgit?
Apakah tidak dinamakan mewah, berbelanja jutaan
ringgit untuk majlis pertunangan anak di Kazakhztan? Duduk di hotel
mewah di Dubai dengan harga mencecah RM100 ribu satu malam? Bercuti
dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan di Perth? Jika anda memang
jenis hidup mewah dan membazir, usahlah berlakon kononnya susah macam
rakyat kebanyakan, kononnya menjiwai perasaan dan kehidupan rakyat
miskin.
Sedar dirilah, usahlah Najib berlakon hendak jadi tawaduk
macam Tok Guru. Usah jadi bahan gelak ketawa rakyat. Rakyat pun dah
muak dengan lakonan tidak menjadi ini.
To Najib, please be yourself. ini. (Diangkat dari Harakahdaily.net)
Komen Weblog Ibnu Hasyim:
Tok Guru Nik Aziz pernah berkata, '..walau sedap dan mahal mana pun
makanan yang kamu makan, kamu tidak boleh makan lebih dari hadnya. Yang
akhirnya makanan itu jadi najis dibuang ditandas.'
Jadi dimanakah
nilainya makanan, yang hasilnya boleh dibwa ke akhirat? Atau wang
lebihan yang dibazirkan melalui makanan mewah itu dinafkahkan umtuk
fakirmiskin yang melarat?
Kredit : Ibnu Hasyim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan