Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Labuan
Pertamanya tahniah kepada komponen Pakatan Rakyat atas sikap saling
menghormati dan cuba memahami kerenah serta kehendak antara parti-parti
komponen. Pertembungan ketegasan generasi senior PAS dan DAP berkaitan
dapat direda oleh generasi pertengahan serta generasi baru bukan saja
dalam Pakatan Rakyat, bahkan mereka yang sekadar memerhati dari luar.
Tulisan ini sekadar mengajak pembaca membuka sedikit ruangan minda
terhadap kekalutan yang berlaku. Mungkin tidak sehebat tulisan mereka
yang berpengalaman. Cuma kadangkala timbul persoalan terutama kepada
yang mengaku beragama Islam, kenapakah sukar untuk mengakui, redha,
menggunapakai serta menjadi duta Islam menerangkan keindahan hukum Islam
kepada masyarakat keseluruhannya? Kebiasaannya mereka yang menentang
hukum Islam yang dilihat agak tegas tetapi penuh keindahan ini, samada
jahil , atau kerana mereka sendiri terlibat melakukan jenayah seperti
yang terkandung di dalam hukum Islam itu? Tak pasti, hanya Allah saja
mengetahuinya. Maka, mungkin boleh disimpulkan Hudud digeruni oleh
Muslim yang bersalah sahaja, yang tidak melakukan jenayah tak perlu
takut.
Memang sukar untuk mereka yang tidak memahami untuk mudah menerima
sesuatu yang di luar lingkungan pemahaman mereka. Apatah lagi jika
majoriti menganggap “adil” dalam erti kata samarata. Timbulnya persoalan
(kadangkala dari mulut celupar pemimpin mengaku Islam) berkenaan tidak
adilnya jika berzina, yang non muslim hanya membayar denda sedangkan
yang muslim disebat 100 kali sebatan di khalayak ramai (bagi yang belum
berkahwin), dan rejam sampai mati bagi yang sudah berkahwin. Tidak pasti
persoalan itu timbul kerana kejahilannya, atau supaya masyarakat umum
memandang serong terhadap usaha PAS mendaulatkan hukum Islam.
Mufti-mufti, ulama’ samada dalam UMNO atau non partisan mendiamkan diri,
tidaklah diketahui samada mereka takut bersuara kerana jawatan, atau
memang kenyataan begitu tidak sesat dan menyesatkan orang lain.
Tidaklah juga janggal jika non muslim dalam MCA, DAP, PKR, MIC, PBS,
SNAP atau mana-mana parti atau individu menyanggah hasrat PAS mengangkat
hudud untuk dilaksanakan. Bukankah adil mereka mempersoalkan atau
menyanggah kerana ianya bukan aspirasi, bahkan bukan termaktub di dalam
agama mereka? Adil bagi mereka mempersoalkan mahupun menyanggah, tetapi
zalim bagi yang mengaku beragama Islam bersikap sama.
Namun, jika ahli UMNO sendiri menyanggah dan cuba mengelirukan dengan
memberikan gambaran negatif, sedangkan non muslim dalam Dewan Himpunan
Penyokong PAS (DHPP) boleh menyokong bahkan sedia memberi penerangan
kepada rakan-rakan non muslim, mungkin UMNO boleh berkursus atau
mengambil subjek Perundangan Islam dari mereka (sekadar sindiran).
Jikalah ada yang berkata, kita kena ambil masa supaya “semua” rakyat
tahu apa itu HUDUD barulah boleh dilaksanakan. Baik, cuba kita survey
“semua” rakyat di Malaysia, adakah mereka tahu kandungan undang-undang
sedia ada? Adakah mereka tahu undang-undang terkini yang digubal? Adakah
mereka tahu hak mereka jika ditahan dan disoal siasat penguatkuasa?
Adakah mereka tahu hak mereka apabila dibicara di mahkamah? Pastinya
ramai yang berkata, “Entah”. Tiada pula yang mengatakan undang-undang
sedia ada samada undang-undang sivil mahupun syariah perlu dihentikan
sementara dan dilaksanakan semula apabila “semua” rakyat mengetahui
kandungannya dan hak mereka.
Dalam kes qazaf, agak pelik juga Jabatan Agama Islam negeri-negeri
seolah-olah tidak memberi respon terhadap tuduhan demi tuduhan terhadap
dakwaan liwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Paling tidak pun, mereka
kata ini bukan di mahkamah syariah sebagai mencuci tangan. Sehingga
JAWI ( Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) pun menolak untuk
dilibatkan atas alasan bukan urusan mereka. Jangan nanti ada yang
berkata bila ada organisasi agama lain yang campurtangan terhadap urusan
perjalanan tuduhan liwat ini, barulah geng-geng nasionalis bertempik
supaya orang non muslim jangan campurtangan urusan agama Islam.
Apa yang susahnya untuk membuktikan UMNO yang mengaku beragama Islam
mendakwa DSAI dibawah undang-undang Islam? DSAI beragama Islam, Dr
Munawar Anees seorang muslim, Sukma Darmawan seorang muslim, Mohd Saiful
Bukhari Azlan juga muslim, apakah susah untuk dibawa ke mahkamah
syariah? Islam sebagai satu cara hidup yang merangkumi keseluruhan
perjalanan kehidupan termasuk undang-undang sudah pasti sepatutnya
digunakan demi menegakkan keadilan.
Satu ketika kononnya negarawan kita berkata lebih kurang maksudnya
jika nak makan sup tangan boleh ke Kelantan. Juga kenyataan lebih kurang
maksud jika tangan orang Islam kudung, macam mana mereka umat Islam nak
maju? Bgaimana mereka nak berkerja? Termenung sekali logiknya macam ya.
Termenung sekali lagi, terserlah kebodohannya. Persoalannya, adakah
dengan hukuman potong tangan maka orang Islam berebut-rebut mencuri
untuk dipotong tangan untuk melariskan industri sup tangan? Mungkin saki
baki pencuri adalah non muslim kerana mereka hanya dikenakan denda wang
ringgit? Maka yang muslim pun berkata, tak adillah begitu. Umat Islam
diwajibkan berpuasa, dan tidak kepada non muslim melainkan mereka ingin
mencuba. Tiada pula yang bersuara tidak adil puasa dalam bulan Ramadhan
tidak dilaksanakan kepada non muslim?
Apa maksud adil? Sama rata? Seorang anak perempuan mengatakan bapanya
tak adil (samarata) kerana membelikannya baju kurung sedangkan adik
lelakinya baju melayu bersamping. Seorang budak berumur 3 tahun mendakwa
ibunya tidak adil (samarata) kerana nasi dan lauk untuk sedikit
sedangkan abangnya berumur 13 tahun banyak. Apatah lagi jika ada yang
berkata tak adil (samarata) kerana suami boleh mempunyai lebih seorang
isteri dalam masa yang sama, sedangkan perempuan sebaliknya.
Adakah mereka membuat neraca keadilan berdasarkan kefahaman dan
keyakinan terhadap perintah Allah, atau berdasarkan kejahilan, nafsu
serta dakwaan Islam mengikut kacamata orientalis?
Apa pun, tahniah buat pimpinan Pakatan Rakyat kerana cermat
menghadapi isu ini. PAS perlu lebih berkerja keras untuk menerangkan
kepada rakyat menggunakan segala medium terhad yang ada sebagai jihad
bekal mengadap Allah di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan