Translate

Memaparkan catatan dengan label PRK Kajang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Kajang. Papar semua catatan

Rabu, 12 Februari 2014

Subky Abdul Latif : Mengapa Saya Elak Berbalah Dengan Anwar.


Sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ditetapkan sebagai  calon Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.
Saya tidak mahu jadi macam setengah suku sakat saya – dari budak hingga ulama - mentakwil muslihat wujudnya PRK di Kajang itu.

Mengapa ADUN-nya meletak jawatan dan gantinya pula Anwar? Lalu ada yang kata tidak akan beri kerjasama pada PRK itu dan macam-macam yang menyerabutkan otak termasuk menyindir politik tinggi Anwar.

Tiba-tiba Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub berkata, kita akan beri kerjasama sepenuhnya pada PRK itu dan mahu tengok kemenangan besarnya.

Apa jadi pada takwil  tadi? Apa orang pandang pada politik yang tidak licin dan tidak diurus dengan baik itu? Tidakkah ia menyusahkan diri bagi menghadapi politik besar yang menjanjikan masa depan yang cerah itu?

Itulah saya dari dulu tidak mahu berbalah dengan Anwar. Sebab tidak mahu susah untuk bersama dalam politik besar yang dia pemain pentingnya.

Ketika saya memulakan politik yang aktif, saya dibayangkan kemungkinan Anwar akan menjadi pemimpin PAS bagi menggantikan Datuk Asri. Maka  saya mengelak dari sebarang masalah dengannya, kerana payah nanti kalau benar dia jadi ketua parti  saya. Tidak selesa berjuang jika berbalah dengan pemimpin sendiri.

Apabila dia jadi Umno, tidak ada apa-apa masalah saya untuk berbalah dengannya. Saya tidak teragak-agak untuk mentakwilnya.

Kita perlu berbalah dengannya ketika itu kerana Umno adalah parti yang menyusahkan rakyat, negara dan kerajaan. Penyertaannya di situ menyusahkan  semua, menghalang mendaulatkan Islam dan tidak salah berlawan dengan sesiapa saja memberi nafas kepada Umno.

Lepas itu secara teknikal dia tidak lagi menjadi sebahagian dari Umno. Tetapi dia ialah panglima dan pahlawan. Dengan politik tingginya, dia sudah menjadi kawan. Walaupun kita tidak boleh  dapat semua yang kita mahu daripadanya, tapi kita dapat sebahagian dari yang kita mahu.

Kalau boleh kita mahu  dia menjadi sebahagian dari kita, tetapi belum tiba masanya. Kalau kita  dapat dia jadi sebahagian dari kita, maka ia adalah satu anugerah yang amat berharga. Kalau dia dari mula menjadi sebahagian dari kita, maka tidak mustahil banyak dari yang diperjuangkan itu sudah selesai.

Orang kata keutamaan beliau ialah untuk jadi Perdana Menteri. Adakah itu betul? Pada saya Perdana Menteri itu bukan matlamat. Matlamat sebenar kita adalah bagi mencapai mardatillah (keredaan Allah). Negara keredaan Allah mudah dicapai kalau kita jadi Perdana Menteri. Menjadi Perdana Menteri memudahkan matlamat itu.

Maka dengan perjuangan yang bersih, semasa dia belum cacat  dulu, kiranya Perdana Menteri itu sasarannya, maka tidak mustahil Perdana Menteri  itu sudah lama tercapai jika dia mulanya bersama kita.

Yang kita tidak boleh capai kejayaan itu dulu kerana kita  dapat kerjasama masyarakat bukan Melayu. Jika kita orang politik tinggi dan bersih, tidaklah payah untuk mendapatkan kerjasama semua kaum.

Kalau dengan politik sederhana kita itu sudah mulai disambut oleh semua, tentulah dengan otak poliltik tinggi Anwar itu, banyak yang dapat dibuat bagi mendapatkan sokongan semua.

Tetapi kerana jalan lain yang dipilihnya, kita pun lambat berjaya, dia pun lambat jadi Perdana Menteri. Apabila dia sudah lebih kuat dari kita menentang Umno, maka dia sudah boleh bersama kita walaupun tidak  sekelambu dengan kita. Kita boleh tidur tanpa kelambu dengannya.

Dengan politik tingginya, walaupun dia tidak menjadi pemimpin parti kita, tetapi   dia boleh orang  paling penting dalam kumpulan kita. Dia tidak menjadi pemimpin PAS dan tidak juga DAP. Tapi dia sudah jadi Ketua Pembangkang.

Adanya dia bersama kita menyebabkan buat pertama kali tembok perkasa Putrajaya itu gegar. Selama 50 tahun kita merdeka, kita jadi macam kancil melawan gajah. Tetapi selepas dia tamat pengalaman di Sungai Buloh, kalau pun kita tidak jadi gajah untuk menggempur Putrajaya, kita sudah macam badak sumbu yang boleh menyondol gajah.

Dengan dia bersama kita atau kita bersama dia, BN tiada kekebalan 2/3 lagi. Bukankah dalam masa tujuh lapan tahun ini BN sudah tidak mustahil direhatkan.

Pada saya  masa ini, kalau Anwar tidak mahukan kita dan DAP pun tak mahukan kita, saya kata tetap mahukan DAP  dan  mahukan Anwar. Kalau Anwar dan DAP tidak mahu datang kepada kita, kita akan pergi kepada Anwar dan DAP. Tiada  ruginya ular menyusur akar.

Melihat kepada kemungkinan dan semua potensi itu, saya mengelak seboleh-boleh berbalah dengan Anwar. Sama  ada  saya suka atau tidak suka kepadanya, dia sudah jadi orang penting dalam Pakatan Rakyat.

Bila dia sudah jadi orang penting, tidak dapat dielak dia sudah jadi salah seorang ketua dalam kumpulan kita. Saya sebagai orang bawah tidak lagi dapat menolak dari berketuakan dia disamping ketua-ketua yang lain.

Kalau saya mahu berperanan dalam perjuangan, maka kita mesti sentiasa selesa dengan sekalian  para ketua. Kalau  saya tidak boleh disiplinkan diri saya, pilhan saya adalah bersara dari berjuang. Ia bukan pilihan bagi orang yang berjuang  dalam Islam yang tiada had usia bersara.

Jika Anwar jadi orang paling penting dalam Pakatan Rakyat, apakah jadi begitu kerana kebetulan? Adakah Pakatan Rakyat terjadi secara "kun faya kun"? Jadilah maka ia pun jadi.

Ia tidak terjadi begitu, bahkan ia terjadi kerana diusahakan. Semua orang mahu adanya muafakat, tetapi muafakat itu terjadi kerana yang mengusahakannya. Boleh dikatakan politik tinggi Anwarlah yang mengambil langkah mengajak menjadikannya. Sebelum ini ia sekadar diseru, tetapi tiada yang berjaya mengadakannya.
Tidaklah apa yang dianjurkan itu terjadi jika tidak disertai orang lain. Tetapi orang lain tidak dapat buat  sebelum ini. Pernah ia dicuba oleh Tengku Razaleigh. Tetapi Ku Li tidak  dapat satukan semua. Akhirnya tidak jadi apa-apa.

Kita jangan marahkan orang lain kalau kita tidak jadi ketuai Pakatan Rakyat, kerana langkah yang diambilnya menjadikan ia ada  dan ia jadi. Kalau kita hendak rungkai pula mungkin boleh, tetapi belum ada yang disepakati boleh menggantikannya. Kita kena terima waqi' (realiti)  kiranya kita bersungguh untuk menggantikan BN.

Jika ADUN Kajang itu meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar, itu kecerdikan Anwarlah. Datuk Harun Idris juga pernah usahakan MP Ampang Jaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepadanya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil, tetapi dia kalah.

Jika saya tidak mahu berbalah dengan Anwar, ia adalah saya mahu berkongsi hasil kejayaan politik tingginya dan saya boleh bersama-sama  semua orang. Kalau saya berbalah dengannya, kejayaannya tidak dapat dihalang, macam mana saya hendak bersama semua orang.

Lagi pun supaya orang tidak melihat saya tak tahu politik langsung. Mungkin kita tidak dapat jadi pemain politik tinggi, tetapi jangan tunjukkan kita tak tahu politik.

Rabu, 5 Februari 2014

Hanya Kerana Pekerja Kontrak, Heboh 1Malaysia, Seperti Ada Yang Tak Kena Jer


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang, manakala penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.

Ia diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor yang dikosongkan berikutan peletakan jawatan ADUNnya, Lee Chin Cheh pada 27 Januari
lepas.

Ini bermakna tempoh kempen akan berjalan selama 12 hari bagi PRK yang pertama bagi tahun ini, yang bakal menyaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding untuk menganggotai DUN Selangor.

Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Kerusi itu dikosongkan oleh Lee sebagai satu langkah oleh parti itu untuk membawa Anwar memainkan peranan yang lebih aktif dalam kerajaan negeri Selangor.

Langkah itu dilihat bakal memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil alih jawatan menteri besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim - dalam usaha Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya serta menamatkan persengketaan antara Khalid dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di Selangor.

BN masih belum membuat keputusan mengenai calonnya bagi kerusi tersebut dan terdapat desas-desus sama ada Umno atau MCA perlu bertanding kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan kepada MCA.

Ia adalah pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 ekoran peletakan jawatan secara sukarela dan bukan disebabkan oleh kematian wakil rakyatnya.

Ia juga merupakan PRK ketiga dalam tempoh lapan bulan sejak pilihan raya umum ke-13 selepas PRK DUN Kuala Besut, Terengganu dan DUN Sungai Limau di Kedah.

Dalam PRK tersebut, BN mengekalkan DUN Kuala Besut, manakala PAS pula berjaya mengekalkan DUN Sungai Limau.MK

Rabu, 29 Januari 2014

TS Khalid : Saya Akan Berhenti Dengan Kemahuan Sendiri.



Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau hanya akan berhenti dengan kemahuan beliau sendiri.
 
Beliau yang memegang kerusi panas itu berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana tekanan atau desakan dari sesiapa pun.
 
"Jika saya berhenti, ia keputusan saya sendiri. Itu sahaja," kata beliau dalam temuramah bersama Malaysiakini hari ini.
 
Beliau memberi komen kemungkinan jawatan beliau bakal digantikan oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal bertanding di pilihan raya kecil DUN Kajang tidak lama lagi.
 
Menurut Khalid (kanan) beliau hanya membuat keputusan sekiranya sampai masa yang sesuai dan sehingga kini, tiada perbincangan mengenai pertukaran menteri besar.
 
Beliau menyifatkan tekanan dan desakan dari semua pihak termasuk parti beliau sendiri hanya merupakan sebahagian dari asam garam dunia dan perjuangan politik beliau. 
 
"Tekanan adalah perkara kecil saya fikirkan. Orang tanya bagaimana saya tidak gila dengan semua tekanan ini. Saya jawab 'turun naik' adalah sebahagian hidup. Saya bermula di pasaran saham," kata beliau.
 
Bagaimanapun Khalid berkata beliau mungkin memberi laluan dan mengundur diri sekiranya diminta oleh Anwar sendiri.
 
"Saya akan (berhenti) jika perlu. Tapi jika saya tak rasa perlu (berhenti), dua perkara akan berlaku. Jika saya tak boleh nak ubah saya berhenti. Jika saya boleh, saya akan teruskan (kerja politik)," kata beliau.
 
Pengunduran Lee tak dirancang
 
Bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan semalam, dikatakan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi ADUN negeri itu.
 
Khalid hari ini turut mengumumkan pencalonan Anwar untuk bertanding bersama pimpinan Pakatan Rakyat 
 
Beliau berkata, keputusan dibuat bagi memastikan "Selangor terus menjadi asas kukuh buat Pakatan Rakyat bagi mengambil alih Putrajaya".
 
Pengumuman itu menguatkan lagi desas-desus Anwar (kiri) akan mengambil alih jawatan menteri besar daripada Khalid bagi menyelesaikan pertelingkahan antara Khalid dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di negeri itu.
 
Ditanya tentang perkara tersebut, Anwar berkata "ia hanya spekulasi" dan beliau mahu menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil akan datang.
 
Khalid turut mengatakan perkara itu sebenarnya dalam perancangan cuma peletakan jawatan Lee tidak dirancang.
 
"Ia bukannya dirancang sejak Mei 2013. Ada perbincanganlah, penilaian politik dan perbincangan (mengenai Anwar bertanding).MK

Selasa, 28 Januari 2014

PAS Dan DAP Sokong Anwar Tanding Di Dun Kajang


PAS hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan PKR yang meletakkan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Naib Presiden PAS, Slahudin Ayub berkata, PAS sebagai sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat sentiasa mendokong semangat kebersamaan dan muafakat bersama PKR dan juga DAP.

"Ini semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat, setiap parti akan memberi sokongan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan itu milik Pakatan Rakyat, khususnya (kali ini) PKR," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui selepas hadir mewakili PAS pada sidang media PKR hari ini di mana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Anwar sebagai calon PRK Dun Kajang.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke.

Mengulas lanjut, Salahudin berkata memang sudah menjadi kebiasaan mana-mana parti dalam Pakatn Rakyat yang bertanding, akan disokong oleh rakan parti yang lain dengan mengambil semangat calon itu adalah calon Pakatan Rakyat.

Mengulas pemilihan Anwar pula, Salahuddin berkata, ianya adalah keputusan terbaik yang dirasakan oleh PKR bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu, dan menerima secara terbuka.

"Pencalonan Anwar itu bagi saya isu dalaman PKR dan ia sebagai penyelesaian terbaik, kita diberitahu kekosongan dan tanggungjawab sebagai rakan Pakatan Rakyat kita akan memberi sokongan.

"Begitu juga jika berlaku dalam PAS mahupun DAP, parti-parti akan memberi sokongan," jelasnya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada sidang media turut menyatakan sokongan kepada calon pilihan PKR itu.

Jelasnya, DAP akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan Pakatan Rakyat di Selangor boleh mencipta kecemerlangan yang lebih baik.HD
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular