Translate

Sabtu, 18 Julai 2009

Nik Aziz bukan lagi faktor penentu....Ulasan Prof. Kangkung.

APAKAH Manek Urai boleh mewakili sentimen sokongan rakyat khususnya sebahagian besar orang Melayu sudah kembali kepada BN?

Atau barangkali kita memerlukan satu lagi pilihan raya kecil untuk merekodkan sentimen itu?

Namun bagi penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamad Mustapha Ishak, berdasarkan pengamatan di dua pilihan raya terakhir di Bukit Gantang termasuk Manek Urai, diakui sentimen orang Melayu kembali menyokong BN itu kian ketara.

''Banyak faktor sebenarnya iaitu selain merupakan perakuan kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat juga melihat bahawa selepas 1 tahun 4 bulan pakatan pembangkang berkuasa di beberapa negeri dan cara mereka mengendalikan diri di Parlimen, sebenarnya rakyat tidak memerlukan masa lama untuk rekodkan sentimen sikap mereka," kata profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu kepada Utusan Malaysia semalam.

Pas yang dianggap boleh menarik sokongan orang Melayu untuk pakatan nampaknya semakin merosot pengaruhnya. Parti itu hanya menang tipis majoriti 65 undi di Manek Urai.

''Malah ternyata tindak tanduk Pas selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu tidak mendapat restu orang Melayu terutama apabila mereka meremehkan soal perpaduan Melayu - yang isu ini amat dekat di hati orang Melayu," jelasnya.

Ditambah dengan insiden politik di Perak, ia semakin menimbulkan kebimbangan mendalam di kalangan orang Melayu.

''Orang Melayu melihat Pas nampaknya tidak boleh menjadi pengganti UMNO yang lebih baik apatah lagi dengan PKR yang semakin hari 'semakin DAPnya'.

''Lebih dari itu, orang Melayu sebenarnya terluka dengan gelagat Pas yang tidak sepakat dalam soal perpaduan ummah, tidak bertindak seperti Rasulullah SAW dalam mengeratkan hubungan kaum Ansar dan Muhajirin satu ketika dulu," katanya.

Dalam soal ini, Mohamad Mustapha memberitahu, keputusan pilihan raya kecil Manek Urai secara langsung memperlihatkan orang Kelantan sendiri sudah merasakan imej Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan lagi faktor penentu kemenangan mutlak parti itu.

''Kalau sudah sebati, Manek Urai takkan begitu. Yang pasti, Manek Urai telah membuka dimensi baru bahawa orang Melayu kini tidak lagi yakin dengan Pas di samping meragui PKR," katanya.

Apatah lagi dengan peranan Pas hendak menentukan agenda dalam pakatan pembangkang, turut sama merudum. Pas tidak lagi dapat diharapkan untuk meraih sokongan Melayu buat pakatan. Ia akan kekal sebagai parti nombor 3 dalam pakatan untuk memartabatkan Islam. Ini dibuktikan lagi dengan kelemahan Pas mentadbir Kelantan selama hampir 20 tahun.

''Bekalan air bersih, jambatan rosak malah hendak sediakan jambatan kecil pun susah (di Kelantan). Selama 18 tahun dijanjikan syurga, yang sebenarnya ia sedap didengar tapi tidak menampakkan keupayaan Pas untuk mentadbir," kata Mohamad Mustapha.

Ternyata, Manek Urai setidak-tidaknya menampakkan wujudnya penyatuan fikiran tanpa ada unsur sabotaj di kalangan jentera pilihan raya UMNO.

Manek Urai adalah berita buruk untuk Pas.

Namun ia juga bukan berita baik untuk UMNO. Tetapi setidak-tidaknya impak keputusan pilihan raya kecil di situ membuka laluan kepada UMNO untuk terus berusaha menarik sokongan rakyat. Tidak mustahil, cuma perjalanannya masih jauh.,(Utusan Malaysia)

Apabila Prof. kangkung daripada UUM iaitu Prof. Dr. Mohamad Mustapha Ishak mengulas mengenai kemenangan tipis PAS di Manek Urai dengan majoriti 65 undi. Apakah orang seperti ini layak mengulas tentang politik semasa tanpa merujuk kepada sejarah pilihan raya kecil di Kelantan.

Saya merasakan yang saya lebih layak mendapat title Prof. daripada beliau sekiranya itu alasan yang diberikan oleh beliau tentang politik di Manek Urai. Sebenarnya pengaruh TGNA lebih terserlah dengan kemenangan di PRK Manek Urai walau pun dengan majoriti tipis. Kerana mengikut sejarah PRK di Kelantan sejak 1997, PAS tidak pernah menang dalam setiap PRK di Kelantan.

Jikalau beliau mengambil kira tentang majoriti di dalam PRU 12, kemudian membanding kan dengan PRK, maka beliau tidak layak mengulas tentang politik semasa. Kerana beliau tidak merujuk kepada apa yang sudah berlaku 12 tahun yang lepas. Maka beliau selayaknya dipanggil Prof. kangkung.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular