Translate

Ahad, 29 Disember 2013

Adakah PingatItu Dapat Membantu Diakhirat Nanti, Derhaka Kepada Allah Lebih Besar Dari Derhaka Kepada Sultan.



Bekas Presiden Johor Corp (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim (gambar) mengesahkan telah mengembalikan tiga darjah kebesaran negeri Johor, semalam.

Menurutnya, tindakan itu diambil ekoran tidak dapat menerima tuduhan yang dibuat oleh Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, 5 Disember lalu, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Abdul Rahim mendakwa sajak dalam artikel Muhammad Ali “Menuntut Hak, Menebus Masa Silam” yang disiarkan Sinar Harian, dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja negeri Johor.
"Saya sangat memandang berat dan serius tuduhan terhadap diri saya yang mencemar nama baik dan reputasi saya.

"Saya mengesahkan bahawa saya telah mengembalikan semua darjah terbabit pada 27 Disember 2013 (semalam)," kata Mohamad Ali kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Darjah terbabit adalah Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), Darjah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Setia Mahkota Johor (SMJ).

Menerusi surat bertarikh 18 Disember lalu kepada Abdul Rahim, Muhammad Ali yang juga Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah memberi penjelasan mengenai penulisan artikel itu.

"Saya telah memberi penjelasan mengenai penulisan artikel terbabit, juga dengan tegas menolak dakwaan atau tanggapan bahawa sajak itu mengandungi apa-apa motif seperti yang digambarkan.

"Melalui kenyataan media ini, saya minta masyarakat umum khasnya rakyat negeri Johor membaca artikel itu dan menilai sendiri sama ada penulisan itu mengandungi unsur menderhaka kepada raja atau tindakan tidak bertanggungjawab atau bertentangan dengan Rukun Negara," katanya.

Beliau memuatkan sajak tulisan anak bongsunya, Allahyarham Khaled Ali yang antara lain menyebut “Sultan yang adil adalah Sultan yang wajib disembah, Sultan yang zalim adalah Sultan yang wajib disanggah”.


5 Disember lalu, Bernama melaporkan, Jemaah Majlis Diraja Johor meminta  Muhammad Ali Hashim memberi penjelasan berhubung artikel tulisannya “Menuntut Hak, Menebus Masa Silam”.
  
Artikel yang disiarkan dalam akhbar tempatan itu dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja di negeri ini.
   
Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata walaupun tidak menyebut sebarang nama, artikel itu boleh disalah tafsir oleh sesetengah pihak dengan mengaitkannya dengan Sultan Johor.
   
"Artikel tersebut menyebut nama Tanjung Puteri yang merupakan nama asal Johor Bahru.Kita khuatir perkataan 'Sultan' pada ayat terakhir artikel tersebut boleh merujuk kepada Sultan Johor.
   
"Penulisan atau tuduhan ini menunjukkan satu perbuatan menderhaka kepada raja, tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan pandangan rakyat terhadap raja terpesong selain bertentangan dengan prinsip Rukun Negara," katanya dalam sidang akhbar di Istana Besar di Johor Bahru. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular