Translate

Senarai Blog Saya

Khamis, 25 Mac 2010

Tolak Pilihanraya PBT Selepas Najib Tolak Bukti SPR Tidak Bebas - Guan Eng

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan membuktikan badan itu tidak bebas.

Ini kerana, SPR sekadar mengikut apa yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri sebelum ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Kita tidak harus terkejut dengan keputusan ini,” katanya.

“Jika tauke telah memberikan pandangannya, maka siapa yang akan memberikan jawapan bertentangan? SPR harus bertindak bebas, ini menunjukkan SPR tidak bebas,” kata beliau pada sidang media di lobi bangunan Parlimen.

Lim berhujah bahawa di bawah Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan ada dinyatakan bahawa  undang-undang persekutuan dan negeri memberi kuasa kepada SPR untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Katanya kerajaan negeri akan mengkaji kandungan surat penolakan suruhanjaya untuk tindakan masa depan tetapi tidak akan mengubah kedudukan mereka dalam perkara itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula menyifatkan tindakan ini satu langkah penyekatan kepada demokrasi di negara ini.

“Ada baiknya jika SPR  mula mempertimbangkan untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan di mana penduduk setempat boleh mengadakan hubungan baik dengan pihak berkuasa tempatan,” kata beliau kepada sebuah laman wab di bangunan Parlimen hari ini.

“Ini salah satu usaha untuk menjadikan amalan demokrasi negara ini lebih bersifat matang,” katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen  Bandar Tun Razak berkata barisan Exconya akan diberi taklimat tentang sebab SPR menolak rayuan kerajaan-kerajaan negeri PR.

Kedua-dua kerajaan negeri dimaklumkan keputusan SPR itu petang semalam.

Pagi tadi, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada “undang-undang yang membolehkan” pihaknya untuk mengembalikan undi ketiga menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.

Ia sekali gus menolak permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau menjelaskan pilihan raya kerajaan tempatan telah dimansuhkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Seksyen itu mengatakan bahawa “kesemua peruntukan dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan telah dimansuhkan ataupun tidak lagi berkuat kuasa.” (Harakah)
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular